Topic followed successfully
Go to BHkuLagu duet raih ikatan dalam harungi dugaan
Lagu duet raih ikatan dalam harungi dugaan
Pasangan suami isteri setempat, Diana Nazyra dan Razzaq AN'Ardzy lancar lagu duet sulung
Lagu duet raih ikatan dalam harungi dugaan
WALAUPUN terdapat banyak lagu duet di pasaran, namun lagu yang dinyanyikan oleh pasangan penyanyi suami isteri boleh dihitung dengan jari.
Di era 60-an dahulu, kita ada Allahyarham P. Ramlee dan Saloma.
Di Indonesia pada era 70-an, ada pasangan Muchsin Alatas dan Titiek Sandhora dan kemudian bekas pasangan suami isteri Maria Bachok dan Allahyarham A.Ramlie. Satu lagi bekas pasangan duet, Ajai dan Nurul popular di era akhir 90-an.
Kini, dua dekad kemudian, baru muncul single baru duet yang dinyanyikan oleh pasangan suami isteri Singapura, Diana Nazyra dan Razzaq AN'Ardzy.
Pasangan itu akan melancarkan lagu duet pertama mereka, berjudul Ikrar Cinta pada hujung minggu ini.
Nazyra sebelum ini pernah menghasilkan beberapa lagu Hari Raya, antaranya Trio Beraya (nyanyiannya bersama Rosalina Musa dan Dhwan Abu); menggubah lagu Pertemuan Di Pagi Raya tulisan Kamaria Buang; Joget Riang Raya itu dinyanyikan oleh anaknya, Ainul Yaqin pemenang Juara Mic Junior (JMJ) 2018 dan Fitrah Lebaran, duet beliau bersama Putri Emily, naib juara JMJ 2018.
Diana atau nama sebenarnya Nordiana Akbar Ali berkata lagu Ikrar Cinta sebenarnya dihasilkan Razzaq sendiri pada 2008, mengisahkan perjalanan dua insan yang saling kasih mengasihi, tabah mengharungi cabaran hidup bersama.
Suaminya, yang mempunyai nama sebenar Abdul Razak Johar selama ini menjadi penyokong kuat kerjaya sang isteri dalam bidang muzik, memainkan peranan sebagai penggubah dan penerbit lagu yang dirakamkan Diana sebelum ini.
"Selama ini, Razzaq lebih selesa bekerja di belakang tabir saja biarpun sebenarnya dia boleh menyanyi. Apabila saya ajak suami berduet untuk single ini, dia berat hati. Sebenarnya susah saya nak pujuk dia untuk setuju kerana dia merasakan suaranya tidak sebaik mana. Tetapi saya minta suami menyanyi dengan seikhlas hati kerana saya yakin, nyanyian dari hati yang ikhlas akan menghasilkan suara yang meninggalkan kesan yang mendalam," kata Diana.
Kata Diana, beliau mahu menjadikan rakaman itu sebagai memori indah buat mereka suami isteri dan mengetengahkan karya seni yang dapat dinikmati oleh pasangan-pasangan yang mahu meraikan ikatan kasih sayang.
"Biarlah lagu ini menjadi memori indah buat kami dan pasangan yang teguh mengharungi dugaan hidup dengan kekuatan kasih sayang mereka. Kita perlukan lagu untuk raikan ikatan kasih sayang itu.
"Tujuan kami memperjuangkan seni muzik ini bukanlah untuk menempah nama, tetapi untuk berkongsi muzik dan karya kami agar dapat mewarnaikan lagi industri tempatan kita. Kami masih lagi belajar dan akan terus belajar untuk memperbaiki segala kekurangan kami. ," kata beliau.
Sebelum, Ikrar Cinta, Razzaq pernah menghasilkan lagu Ratuku Diana pada 2004 yang dinyanyikan oleh kumpulan Dinodi (dianggotai Idi Hakim dan Muhammad Dinoh), album yang diterbitkan oleh Zaharian Osman.
"Abang Zaharian adalah orang yang memainkan peranan besar dalam hidup Diana dan Razzaq, sejak kami remaja lagi, sewaktu kami bergiat dalam seni dikir barat. Beliau banyak menasihati kami, membentuk pemikiran positif untuk terus berkarya. Bahkan rakaman bagi Ikrar Cinta juga adalah atas nasihat dan sokongan beliau, " ujar Diana terhadap penggiat seni Singapura itu.
Beliau juga menamakan Allahyarham Zaidy Nandir dan Asnida Daud sebagai sumber inspirasi kerjaya seninya sejak remaja.
Lagu Ikrar Cinta juga mendapat sentuhan magis pemuzik Amir Mansor, terutama dalam penyusunan lagu, selain pemain gitar legenda Abdul Shukor Jalil dan Dhwan Abu sebagai penyanyi latar.
Kata Diana, projek duet seterusnya merupakan rakaman bersama Hazrul Nizam, yang merupakan sahabatnya sejak 20 tahun lalu.
Mereka dijangka merakamkan lagu baru gubahan penyanyi Malaysia, Hazama dan lagu akan diterbitkan oleh Omar K, yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu ke-34 menerusi lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel.
"Biarlah lagu ini menjadi memori indah buat kami dan pasangan yang teguh mengharungi dugaan hidup dengan kekuatan kasih sayang mereka. Kita perlukan lagu untuk raikan ikatan kasih sayang itu.
Tujuan kami memperjuangkan seni muzik ini bukanlah untuk menempah nama, tetapi untuk berkongsi muzik dan karya kami agar dapat mewarnaikan lagi industri tempatan kita. Kami masih lagi belajar dan akan terus belajar untuk memperbaiki segala kekurangan kami."
- Diana Nazyra.

