Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Lagu kahwin 'Hanya Kau' rakam cubaan bertunang

Jun 12, 2022 | 08:14 AM



PERKENALAN antara Danial Baharin, penyanyi Singapura yang sedang meningkat naik namanya, dengan isterinya Nurulhuda Salim, hanya lima bulan sebelum mereka mengikat tali pertunangan pada 19 Julai tahun lalu.



Mengenali hati budi masing-masing meskipun dalam tempoh singkat telah mewujudkan kemesraan, keakraban dan persahabatan yang membuahkan ilham bagi lagu terkini Danial, Hanya Kau.



Lagu ciptaan bersama Danial dengan penerbit, penggubah lagu dan penulis lirik Qai Rahman bahkan dijadikan hadiah istimewa Danial buat Huda sempena majlis persandingan mereka yang berlangsung di Bay Laurel, The Oval, pada 4 Jun lalu.



Ketika dihubungi Berita Minggu, Danial, 34 tahun, berkata:



"Tahun lalu, selepas bertunang, saya terfikir untuk hasilkan lagu mengenai fasa pertunangan saya dengan Huda.



"Alhamdulillah, Qai senang dengan idea itu dan mencadangkan agar "Hanya Kau" diberikan sentuhan rentak dan genre yang agak berlainan daripada lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini.



"Maka, ditetapkan agar lagu saya itu berentak pop dan R&B masa kini.



"Sejujurnya, lagu ini paling sukar untuk saya nyanyikan. Proses itu mengambil masa enam bulan untuk dihabiskan, lebih panjang daripada selalu.



"Dalam tempoh itu, saya hampir berputus asa. Alhamdulillah, dengan sokongan Qai, siap juga lagu ini untuk saya dendangkan sempena hari persandingan saya."



"Hanya Kau" ialah luahan hatinya mengenai pasang surut alam percintaan yang masuk ke fasa pertunangan dengan banyak cabarannya.



"Apabila ada keraguan dan kurang keyakinan diri, mesti akan timbul pelbagai masalah.



"Pada masa itu, saya pernah meragui diri sendiri. Apakah saya benar-benar sudah bersedia menjadi seorang suami dan dapat membimbing Huda sebaiknya?" katanya.



Karya tersebut ibarat memberikan keyakinan diri dan jaminan buatnya untuk meneruskan niat baik membina mahligai impian bersama Huda.



"Lagu ini akan sentiasa memberikan peringatan bahawa Huda jodoh saya, satu-satunya buat saya dengan amanah menjaganya harus diutamakan," kata Danial yang sebelum ini dikenali dengan lagu "Demi RahmatMu" dan "Dia Cinta" (bersama Mai Dhaniyah).



Danial berkenalan dengan Huda, 29 tahun, seorang ahli terapi tingkah laku bagi kanak-kanak autistik, apabila Huda dipilih untuk menyanyikan lagu "Kabut Cinta" bersamanya dalam projek memperkenal lagu Singapura, #ProjekNafasSG yang diusahakannya bersama beberapa teman yang lain.



"Kami mencari vokalis baru yang tidak dikenali dan kurang diketengahkan. Itu adalah kriteria yang saya tetapkan.



"Kami bertemu secara profesional. Selepas berlatih, terus balik. Selepas itu kami berhubung melalui WhatsApp sebelum berputiklah rasa cinta dan ingin lebih mengenali.



"Huda penyabar tetapi tegas. Dia juga memberikan pandangan yang membina dan memberikan sokongan yang tinggi kepada saya dalam arena muzik. Sepanjang perkenalan kami, dia temanita yang amat memahami jadual saya yang perlu membahagikan masa antara tugas sepenuh masa dan persembahan seni.



"Orangnya sederhana dan tidak kebendaan serta sangat praktikal," jelas Danial lagi.



Menurutnya, Huda mulanya agak terkejut apabila dapat tahu tentang lagu "Hanya Kau" yang tercipta buatnya.



"Huda sangat terharu apabila mendengar lagu ini di wadah penstriman Spotify buat kali pertama. Dia tidak menyangka saya akan membawanya bersama meneroka perjalanan muzik," kongsi Danial, juga finalis peraduan Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0.



Kini, dia berharap dapat bekerjasama dengan ramai lagi bakat tempatan kerana yakin ada ramai lagi yang belum diketengahkan.



"Melalui inisiatif seperti #ProjekNafasSG, saya berharap kita dapat sama-sama gegarkan persada muzik Singapura.



"Secara peribadi pula, saya ingin menghasilkan lagu berlainan genre dan selongkar cita rasa masa kini pendengar," jelasnya. - HARYANI ISMAIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >