SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lagu 'old-school' sebar nilai, singkap nostalgia

Lagu 'old-school' sebar nilai, singkap nostalgia

Fauzie Laily dan Zalelo pegang amanah anak seni yang menghibur sambil mendidik
Apr 12, 2022 | 5:30 AM

Lagu 'old-school' sebar nilai, singkap nostalgia

FAUZIE LAILY: 'Tersebutlah Kisah' merupakan projek tahun akhir ijazah sarjana mudanya yang menerapkan tentang kepentingan dan kemurnian bahasa Melayu. - Foto INSTAGRAM FAUZIE LAILY
FAUZIE LAILY: 'Tersebutlah Kisah' merupakan projek tahun akhir ijazah sarjana mudanya yang menerapkan tentang kepentingan dan kemurnian bahasa Melayu. - Foto INSTAGRAM FAUZIE LAILY -

SOALAN demi soalan sering muncul di fikiran penyanyi, pelakon dan pengacara Fauzie Laily tentang mengapa penggunaan bahasa Melayu yang fasih dan teratur dalam kalangan generasi muda kian pudar.

Setiap kali menonton wawancara wartawan penyiar dengan anak Melayu di dalam siaran berita di kaca televisyen, budak-budak ini baginya bagai bertutur bahasa makhluk asing yang kedengaran canggung lagi bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris .

Ini membuatkan Fauzie, 36 tahun, tergerak untuk menghasilkan lagu terbarunya Tersebutlah Kisah yang kini boleh didengar di gedung digital dan YouTube.

Lagu terbitan Hairi Eyes dengan muzik serta lirik ciptaan bersama Fauzie dan Hairi ini juga merupakan projek tahun akhir Fauzie bagi kursus sarjana muda penerbitan media penyiaran dengan kepujian di Universiti Teesside, United Kingdom.

Kursus ini diambil di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) dengan Fauzie berjaya meraih ijazah Kepujian Kelas Pertama untuk pengajiannya itu.

Dua rakan sedarjahnya merupakan anak seni, pelakon, pelawak dan pengacara Suhaimi Yusof dan penulis skrip Rubiah Mohd, yang kini koresponden Berita Harian.

Ketika dihubungi Berita Harian menerusi Zoom, Fauzie yang dapat disaksikan di aplikasi meWATCH membawa watak abang sulung dalam drama Kecoh Kahwin, berkata:

"Saya tergerak untuk menghasilkan lagu Tersebutlah Kisah kerana beberapa sebab.

"Antara pengamatan saya adalah kecenderungan ibu bapa dan mentua saya berbual Inggeris dengan cucu mereka atau budak-budak muda.

"Walhal dalam kalangan mereka sendiri, mereka selesa dan tiada masalah berbual dalam bahasa Melayu.

"Apabila saya menonton siaran berita pula, saya tengok budak sekarang berbual Melayu dengan penuh keresahan dan kedengaran canggung...macam bahasa 'alien'!

"Ia berbeza dengan generasi saya dan sebelumnya di mana kami tahu penting untuk menjunjung penggunaan bahasa Melayu yang baik yang melambangkan budaya kita.

"Justeru, Tersebutlah Kisah adalah satu usaha dan amanah saya sebagai penyanyi untuk kembalikan cinta kita kepada bahasa Melayu."

Menurut Fauzie, apabila difikirkan semula, detik pertama beliau terdedah pada kegiatan seni dan budaya adalah sewaktu perlu menggantikan temannya bagi peraduan syair di peringkat sekolah menengah.

"Ia merupakan sesuatu yang tidak disengajakan. Itulah kali pertama saya naik pentas di khalayak ramai dan bersyair. Setiap syair bermula dengan alunan frasa 'Tersebutlah Kisah'.

"Sekali gus, lagu ini juga membuka cerita perjalanan saya dalam industri seni. Harapan saya apabila orang ramai mendengarnya, mereka akan terpanggil untuk memikirkan tentang pentingnya menghargai bahasa Melayu kita dan tidak membiarkannya pudar ditelan zaman.

"Malahan, saya berurusan dengan penerbit muzik dan video muzik yang muda-muda belaka. Usia mereka 25 tahun ke bawah. Mereka lebih cenderung pada muzik hip hop. Apabila ditanya apa itu syair, mereka kurang pasti.

"Menerusi pembikinan lagu ini dan klip videonya, mereka juga boleh pelajari tentang budaya kita. Moga dengan adanya lagu ini, ia akan membuka ruang untuk bersembang tentang bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan generasi muda," ujar Fauzie.

Amanah sebagai penghibur yang menyampaikan nilai-nilai murni dan membawa pendengar terbang ke alam nostalgia kian menjadi teras sandaran pemuzik masa kini.

Dalam penerbitan muzik, ramai yang mula kembali pada tema kesederhanaan hidup silam yang penuh nostalgia sebagai peringatan.

Zalelo Ingat Cinta Vintaj Papa Mama

Penggubah lagu dan penyanyi R&B, Afrah Athasha Aman Shah, 23 tahun, yang dikenali dengan nama pentas Zalelo pula mendapat ilham menghasilkan lagu Cinta Vintaj, mengenang kisah cinta ibu bapanya antara tahun 1980-an dan 1990-an dahulu.

"Idea bagi lagu ini timbul ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19, di mana kita tidak boleh keluar makan dan mengembara bersama keluarga dan teman-teman.

"Saya menyedari masa berharga dan bermutu adalah yang ramai inginkan. Pada detik itu, hubungan saya dengan ayah saya yang menetap di seberang kian utuh. Ibu bapa sudah lama berpisah. Sebulan sekali, saya dan ayah buat panggilan telefon.

"Saya pernah bertanyakan kepada ibu bapa saya dan pengikut saya di Instagram mengenai 'date' paling bermakna buat mereka. Ternyata ia adalah cinta 'old school' atau vintaj di mana buat perkara sederhana seperti berkelah atau masak bersama sahaja sudah memadai. Kadang duduk bersama tanpa berbual pun dah kira berharga," jelasnya.

Menurut Zalelo, apa yang ingin disampaikan adalah cinta yang berharga tidak memerlukan banyak wang dihabiskan atau dandanan mahupun busana mahal.

"Lagu ini juga membuatkan saya terharu kerana ia makan masa untuk disiapkan dari November tahun lalu hingga Mac tahun ini.

"Sebabnya, kali ini, saya belajar terbitkan lagu sendiri, simpan duit untuk beli komputer MacBook bagi tujuan penerbitan muzik. Saya hanya dapatkan bantuan PRNZ dan The Wonda Factory untuk perhalusi ciptaan saya.

"Menerusi lagu ini juga, saya dapat beri pendedahan buat teman lain seperti rakan politeknik untuk jadi penata rias saya serta rakan yang baru belajar seni dandanan untuk siapkan solekan saya.

"Alhamdulillah, cabaran TikTok yang meminta warganet bikin video evolusi dandanan dahulu sampai sekarang atau sekarang kembali pada masa lalu dapat diusahakan," ujar Zalelo.

"Saya tergerak untuk menghasilkan lagu 'Tersebutlah Kisah' kerana beberapa sebab. Antara pengamatan saya adalah kecenderungan ibu bapa dan mentua saya berbual Inggeris dengan cucu mereka atau budak-budak muda. Walhal dalam kalangan mereka sendiri, mereka selesa dan tiada masalah berbual dalam bahasa Melayu." - Fauzie Laily.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg