LAGU Gila yang tercipta dalam dunia berdepan dengan jerangkap dan tamparan hebat Covid-19 yang membawa rasa resah gelisah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada Ahad malam (14 Mac).
Penyanyinya, si tiga serangkai - Kaka Azraff, Loca B dan Noki (dari kumpulan hip hop popular, K-Clique) serta penggubah bersama lagu 'urban' ini, Ezra Kong - membawa pulang trofi dan RM50,000 ($16,327) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Noki, dalam satu wawancara awal bersama media seberang, pernah menyatakan bahawa Gila menceritakan tentang keperkasaan diri dalam menangani kecelaruan yang membelenggu minda dan jiwa dengan menguasai rasa gentar dan terus menanam semangat waja menjalani kehidupan.
Kerana kisah peribadi dan jerih payah sebagai anak seni yang dilalui disisipkan dalam lirik Gila oleh Noki dan Loca B sebagai pencipta bersama lagu ini, maka mereka dan Kaka juga tidak dapat menahan sebak apabila diumumkan sebagai juara pertandingan yang dinanti-nanti pencinta muzik dan tertunda dengan bermacam kesulitan sebelum ini kerana penularan wabak Covid-19.
AJL anjuran TV3 dengan gandingan hos serasi, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni, kekal meriah walaupun tanpa penonton tahun ini sebagai mematuhi langkah keselamatan.
Gelaran naib juara pula jatuh ke tangan penggubah lagu, penulis lirik dan penyanyi berbakat, Aina Abdul, yang muncul dengan lontaran vokal mantap bagi lagu Semalam. Beliau membawa pulang piala dan RM35,000.
Si cantik manis, Wany Hasrita, pula dapat menebus kegagalan semalam apabila gandingannya dengan idolanya, Datuk Jamal Abdillah, menerusi lagu Belenggu Rindu, memenangi tempat ketiga dan membawa pulang piala dan RM20,000. Lagu ini ciptaan bersama Hael Husaini dan Ezra Kong.
Seperti dijangka ramai, guru vokal dan penyanyi comel Ernie Zakri pula dinobatkan sebagai Vokal Terbaik bagi lagu Gundah. Beliau membawa pulang trofi dan RM12,000.
Dengan gaya penuh penghayatan di pentas, Zizi Kirana, dipilih sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagunya Eh. Zizi yang sudah lebih sedekad dalam industri muzik dan kian menyerlah sejak akhir-akhir ini menerima piala, RM12,000 dan baucar makanan McDonald's bagi tempoh setahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg