Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Lagu 'Qaram' bangkit semangat bakat hip hop S'pura

Sep 29, 2020 | 05:30 AM



Daripada tidak kenali dan bermula dari bawah setahap demi setahap, mereka membina nama dalam bidang seni, baik muzik atau teater. Yang penting bagi mereka adalah kandungan lagu atau pementasan yang boleh menyentak sesiapa yang mendengar atau menonton serta sarat dengan isu kemasyarakatan. BERITA HARIAN melaporkan kisah perjalanan seni seorang penyanyi setempat yang namanya kini dalam Carta Singa Maksima di corong radio serta kolektif penulis naskhah pentas yang gigih berkarya.




PASANG surut kehidupan silam yang lebih pahit dari manisnya begitu menyentuh kalbu bakat tempatan Ismail Asmadi yang lebih dikenali dengan nama pentas Dilliqeez.



Ini mencetus ilham buatnya menulis lirik lagu bertajuk Qaram dengan kerjasama rakannya, penerbit dan komposer Ashidy Ridwan.



Ashidy merupakan penerbit dan penggubah lagu ini yang kini berada di tangga keenam carta muzik tempatan stesen radio Ria 897, Singa Maksima.



Apakah keistimewaan Qaram?



Kata Dilliqeez, 30 tahun, penyanyi dan 'rapper' yang bekerja sendiri dalam sektor logistik dan muzik:



"Lagu ini dirakamkan sewaktu saya jatuh sakit. Saya memberitahu Ashidy, teman saya sejak dari kecil, mengenai beberapa butiran kisah hidup saya.



"Alhamdulillah, segala rentetan peristiwa yang saya lalui itu dijana menjadi lagu yang cukup indah.



"Qaram adalah kisah jatuh bangun dalam kehidupan saya. Banyak kenangan pahit dilalui. Saya perlu meluahkannya maka terciptalah lirik korus lagu ini yang berbunyi 'Jangan doakan aku 'qaram'...'



"Inilah luahan rasa yang 'melekat' di fikiran, menggambarkan penderitaan minda dan jiwa yang saya lalui ketika sakit.



"Saya mengharapkan doa orang sekeliling saya agar suatu ketika saya dapat bangkit daripada kesakitan dan kecundangnya kehidupan bagi menjadi insan yang berjaya.



"Alhamdulillah, Qaram ibarat lagu 'magis' yang mengubah hidup saya 360 darjah."



Beliau mula menyanyi dan berkecimpung dalam genre muzik rap sejak usia 16 tahun.



Pada awalnya, Dilliqeez bergerak sebagai artis 'underground' (di luar aliran muzik utama) dalam dunia hip hop tempatan.



Beliau sentiasa mencari wadah membuat persembahan bahkan menjinak-jinakkan dirinya menggubah lagu dan menulis lirik sendiri.



"Langkah saya dalam bidang muzik bagaimanapun terhenti seketika kerana terikat dengan tanggungjawab yang lebih penting. Saya bahkan hilang selama 10 tahun.



"Selepas itu, saya bertemu Ashidy, rakan saya sejak kecil. Beliau memang aktif dalam bidang muzik. Saya pun cuba menggubah lagu semula dengan bimbingan beliau dan bergerak bersamanya di Nu Kingdvm Music Group.



"Tahun lalu, saya dan seorang lagi bakat tempatan Syawal Rahman merakam lagu dengan genre gabungan 'urban rap' dan era 1960-an bertajuk Azizah.



"Sebulan kemudian, barulah 'single' solo saya, Qaram, muncul. Ia banyak membuka rezeki saya setelah diedarkan di pelbagai wadah digital," katanya lagi.



Kerana tidak menduga Qaram membawa impak besar dalam kerjayanya, Dilliqeez begitu terkejut, gembira dan terharu apabila lagunya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 lagu tempatan popular dalam Carta Singa Maksima.



Beliau mengucapkan terima kasih kepada deejay dan pendengar radio yang sudi mengundi lagunya itu.



"Lagu-lagu yang saya hasilkan lebih kepada teladan dan pengajaran hidup. Saya banyak singkap kisah peribadi agar pendengar lebih mengenali saya menerusi lagu santapan halwa telinga yang saya sajikan.



"Alhamdulillah, beberapa lagu lain sudah pun dirakam dan boleh dinikmati di wadah digital.



"Majnun adalah lagu terbaru saya yang menceritakan tentang orang yang hilang akal dengan banyak maksud tersirat dalam lagu ini.



"RXZ mengisahkan tentang model motosikal kegemaran saya. Proses menghasilkan lagu ini sangat menyeronokkan.



"Satu lagi lagu adalah Jenuh. Alhamdulillah, lagu ini dan RXZ mendapat perhatian yang menakjubkan daripada pendengar di seberang Tambak sehingga klip lagu ini ditonton sehingga 100,000 kali di media sosial," ujarnya.



Selepas ini, Dilliqeez berusaha menghasilkan lebih banyak lagu yang boleh menekankan keupayaan vokalnya di luar genre rap.



"Kebanyakan lagu saya sebelum ini adalah lagu rap. Saya akan bekerjasama dengan beberapa bakat tempatan lain. Harap-harap, saya boleh menyanyi pula selepas ini dan bukan setakat 'rap'!" kongsinya.



Ditanya mengenai pendorongnya dalam bidang seni, beliau segera menjawab tidak lain dan tidak bukan adalah ibunya yang tidak pernah berputus asa memberinya kata-kata semangat dalam apa jua bidang yang ingin diceburi.



"Saya biasanya nak buat bermacam perkara. Ibulah yang selalu di sisi saya dan meniup semangat positif dalam diri saya dalam apa jua keadaan.



"Sesetengah lagu saya adalah daripada pengalaman peribadi. Ia jujur datang dari hati kerana saya ingin berkongsi kepada ramai demi teladan bersama.



"Lagi pun, saya menghargai nasihat khususnya daripada ibu bapa saya. Nasihat terbaik mereka adalah, 'Jangan mudah putus asa' dan 'Jangan pandang belakang... nikmati hari-hari mendatang dengan kecekalan dan kesyukuran'," ujarnya.




BIODATA



Nama pentas: Dilliqeez



Nama sebenar: Ismail Asmadi



Usia: 30 tahun



Pekerjaan: Bekerja sendiri dalam sektor logistik dan muzik



Tiga lagu yang digemari dan membawa makna dalam hidup:



- Alhamdulillah oleh Malique dan Joe Flizzow. Ia merupakan lagu legenda dengan banyak makna dan pengajaran tersirat.



- Andainya Takdir oleh Anuar Zain. Anuar adalah bintang kegemaran sepanjang masa buat Dilliqeez. Lagu ini membawa banyak kenangan.



- Icebox oleh Omarion. Segalanya dalam lagu ini mampu dinikmati. Ia adalah lagu paling unik yang pernah didengar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >