SATU demi satu lagu sedih dihasilkan bakat tempatan, Aizad Salleh, untuk dilontarkan sebagai luahan rasa.

Jika sebelum ini, Aizad, 38 tahun, menghasilkan lagu Senyum Dalam Redha, sebagai 'single' pertamanya, lagu susulannya adalah Kedukaan Tanpa Jawapan.

Ketika ditanya dari mana datangnya idea bagi lagu ini, beliau berkata:

"Idea bagi lagu ini datang spontan dan mengingatkan saya pada kisah dahulu. Apabila meniti usia remaja, Aizad selalu bersembang dengan teman-teman.

"Tak semua yang menjalin cinta kekal bahagia dengan cinta masing-masing sampai ke hari ini.

"Kadangkala, ada insan yang benar-benar ikhlas memberi tumpuan pada gadis yang diminati. Namun, ada yang menanti lama bagi mendapatkan jawapan pasti.

"Tunggu punya tunggu, si dia setakat seperti memberi harapan. Akhirnya, setelah lama menanti, hampa pula kesudahannya. Cinta yang disemai pergi entah ke mana dalam ketidakpastian."

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila dalam kedukaan yang dirasakan, ada yang hadir memberi kekuatan dan harapan agar lebih yakin meneruskan perjuangan hidup.

"Tanpa diduga, orang lain yang datang sebagai pengganti ini memberi jawapan yang ikhlas, bagai memberi segala jawapan pada soalan dengan tidak sedikit pun menyembunyikan rasanya," tambah Aizad lagi.

Beliau yang pada usia remajanya merupakan pemain bola sepak bagi kelab bola sepak Gombak United ini menghargai pengalaman seninya sejauh ini.

"Saya banyak belajar erti pergaulan dan perbincangan dalam menjana lagu-lagu baru.

"Kita bekerja sepasukan di Lion Studios, di mana antara saya dengan pemuzik yang mengiringi memastikan lagu, nada dan iramanya dapat dicorak dengan baik.

"Yang penting, kita tak boleh sombong apabila ditegur. Nasihat yang baik kita terima. Kritikan pun kita terima juga walau pahit. Anggaplah segalanya dapat dijadikan teguran membina," katanya lagi.

Aizad yang gemar menonton filem nostalgia seperti Azura, Tragedi Oktober dan Jauh Di Sudut Hati kini dalam perancangan merakam lagu duet bersama seorang lagi bakat Lion Studios, Rika.

Mengenai kata-kata mutiara yang dijadikan pegangannya adalah 'tidak perlu terperuk dalam kesedihan atau biarkan kegagalan mengatasi masalah berlarutan'.

"Saya pegang pada kepercayaan, kita harus segera bangkit dan keluar dari zon selesa kita. Dalam mengejar cita-cita dan arah tuju dalam hidup, keyakinan diri ini perlu," tambahnya.

Baginya, putaran roda hidup yang tidak berhenti harus diikuti dengan tekad menjadi insan lebih baik lagi hari demi hari.

"Waktu tidak pernah menunggu kita. Jadi buatlah sebaiknya demi cita-cita dan keluarga kita," katanya.