PERJALANAN muzik Melayu yang rencam diselongkar bagi membawa penonton menyusuri jalan kenangan dan berada dalam landasan evolusi muzik yang beredar dari satu fasa ke fasa lain.
'Langkah Gergasi', konsert ulang tahun ke-30 Orkestra Melayu Singapura (OMS) yang berlangsung di Panggung Victoria pada Rabu malam mengubati rindu ramai pengamat muzik yang menantikan masa menonton acara hiburan gah secara 'live' setelah lama dibataskan oleh ketetapan pandemik Covid-19.
Apa yang boleh dikatakan adalah konsert hampir dua jam ini menepati cita rasa pencinta lagu Melayu. Selain permainan orkestra pimpinan pengarah muzik OMS, 'maestro' Amri Amin yang mantap, menghiburkan lagi memaparkan nyala rasa pemuzik setempat, ia juga dijayakan penyanyi yang mempunyai kekuatan tersendiri.
Baik legenda, Datuk Ramli Sarip yang seperti biasa membawa anda menyelami jiwa di sebalik mahakaryanya, Sejuta Wajah dan Syair Laila Majnun, mahupun anak muda yang baru membina nama dan mempunyai pesona suara, juara Suara 2.0 Wisma Geylang Serai (WGS), Syah Riszuan, memberi yang terbaik buat penonton.
Ramai yang memberi tepukan gemuruh buat Syah yang tampil dengan lagu Hore-Hore Samba, bergabung dengan penyanyi OMS, Hafiz Hamzah, menerusi lagu ikonik Rausyanfikir, Dikir Fikir serta kembali dengan lagu Si Manis 17 dan Tak Mungkin Bersama (lagu nyanyian asal Judika).
OMS membuka tirai persembahan dengan medley lagu 'Semarak Nusantara', lagu instrumental Zapin Telok Belangah disusuli dengan lagu Hati Ke Hati oleh pewaris irama tradisonal dalam kalangan generasi muda, Elfee Ismail dan Sheera J, Dondang Sayang Inang (Hafiz dan Sheera) serta lagu instrumental Joget Gembira.
Sheera tampil dengan lagu malar segar Victor Hutabarat, Fatwa Pujangga, yang beliau dendangkan mengikut versi Datuk Sharifah Aini.
Hafiz dan Elfee kemudian susuli dengan lagu Joget Serampang Laut dan Joget Johor Sports Club sebelum Panggung Victoria bergema dengan lagu rakyat, Keroncong Kemayoran, yang membangkitkan semangat setiap kali disajikan.
Kehadiran Amni Musfirah, lulusan Maktab Muzik Berkelee, menyanyikan lagu Mahligai Kayangan juga sesuatu yang menyegarkan dengan suara merdu dan daya hiburnya yang berinteraksi dengan penonton.
Langkah Gergasi ini juga turut mengetengahkan alumni OMS yang telah mencipta nama dalam bidang masing-masing. Syafiqah'Adha, Md Riduan Zalani, Ismahairie Putra Ishak, Azura Goh dan Alhafiz Jamat tampil dalam memperkasa sinergi bagi lagu Laluan Timur manakala seorang lagi alumni OMS, penyanyi Aisyah Aziz mengalunkan lagu Seroja (dendangan asal Said Effendi atau S. Effendi) dengan lenggoknya tersendiri.
Sebelum itu, Aisyah turut menerima tepukan gemuruh bagi lagu yang dipopularkannya, Bila Entah.
Dunia muzik yang tidak mengenal sempadan negara dapat dilihat dengan penampilan pengarah muzik bukan calang-calang dari seberang, Datuk Mokhzani Ismail, yang tampil dari jauh untuk bergabung tenaga dengan OMS bagi lagu We Are One.
Terdapat kejutan dalam segmen 'Legasi' di mana penyanyi dalam dunia muzik Tamil dan Inggeris, Shabir pula tampil dengan lagu klasik P. Ramlee, Jangan Tinggal Daku, diberi suntikan segar dan disisipkan dengan irama rap.
Namun, seperti mana-mana pelayaran hidup atau perjalanan seni, pasti ada kenangan yang akan merobek tangkai hati atau membuat seseorang itu merintih.
Menerusi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Amni memberi penghormatan buat dua penggerak muzik tanah air yang turut menyumbang bakti pada OMS, Allahyarham Jais Minsawi dan DSP Idris Mohd Yusof, yang sudah berpulang.
Amni kemudian disertai pengarah kreatif konsert, Rudy Djoe, kemudian menyanyikan lagu yang dicipta bagi EP OMS, Pulang.
Tirai konsert ditutup dengan lagu Mari Ke Wisma Geylang Serai nyanyian Syah dan Sheera J.
Langkah Gergasi bukan sahaja memaparkan sajian muzik sebagai santapan halwa telinga. Ia turut kaya dengan paparan visual latar yang mengiringi persembahan dan merupakan perlambangan tentang era di mana sesuatu sajian muzik itu disajikan.
Dalam keterbatasan jumlah pemuzik yang boleh ditampilkan di pentas pada sesuatu masa, usaha mengetengahkan mereka dalam persembahan digital yang digabungkan juga merupakan satu penerokaan teknologi yang tidak pernah dilihat dalam persembahan sebelum tempoh pandemik.
Langkah Gergasi adalah konsert hujung tahun penawar gundah pandemik yang memberi harapan dan membuka pintu bagi lebih banyak acara seni kembali bersemi dalam Singapura bergerak ke arah fasa endemik.
Justeru, syabas buat OMS yang dipimpin Ibrahim Hamid, OMS Belia pimpinan Zulkifli Amin, penyusun muzik bersama OMS, Danial Ariffin dan pengarah teknikal OMS, Yaziz Hassan serta pasukan penerbitan Rudy selaku pengarah kreatif; Syed Ahmad sebagai pengarah seni dan visual serta penerbit eksekutif dari WGS, Yunus Haroon dan Siti Maryam Khan.
Turut serta menyaksikan Langkah Gergasi adalah tetamu terhormat, Presiden Halimah Yacob dan suami, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee. Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, penasihat WGS, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim serta Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, turut hadir.
Konsert ini disokong Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dengan kerjasama Hear65.
Sajian digital Langkah Gergasi akan dimuatnaikkan ke laman YouTube dan Facebook WGS pada 8 malam, 25 Disember ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg