Permintaan dalam kalangan pengembara Singapura ke Afrika telah meningkat pada 2023, menurut beberapa syarikat pelancongan.
Bilangan tempahan tidak merosot meskipun timbulnya virus mpox – sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet dan berasal dari Republik Demokratik Congo – yang telah diisytiharkan sebagai darurat kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), penolong pengarah perhubungan pemasaran Chan Brothers Travel, Encik Jeremiah Wong, berkata penyakit mpox tidak menjejas tempahan sedia ada bagi lawatan ke Afrika dengan ketara.
“Walaupun terdapat sebilangan pengunjung yang bertanya tentang keprihatinan keselamatan berkaitan mpox, pertanyaan juga berkurangan sedang musim air terjun Victoria Falls dan musim puncak penghijrahan seladang besar-besaran pada 2024 berakhir. Kami tidak melihat sebarang pembatalan,” ujarnya.
Malah, Encik Wong menyatakan terdapat peningkatan sebanyak lima kali ganda dari segi tempahan kunjungan ke Afrika Selatan sejauh ini berbanding dengan 2023.
Menurutnya, air terjun Victoria Falls – terletak di sempadan antara Zambia dengan Zimbabwe – muncul sabagai tarikan paling popular di benua tersebut sedang orang ramai mendambakan pengalaman unik yang menitikberatkan keindahan alam semula jadi.
Selain Afrika Selatan, Encik Wong berkata kunjungan ke Kenya dan Tanzania telah menyaksikan kenaikan sebanyak 15 peratus pada 2024 berbanding musim puncak penghijrahan seladang besar-besaran dari Julai hingga September 2023.
Pengendali kunjungan mewah, Scott Dunn, turut berkongsi pemerhatian bahawa terdapat 40 peratus peningkatan dalam tempahan bagi percutian ke Afrika Selatan pada 2023.
Seiring itu, TTC Tour Brands Asia yang mengendalikan beberapa jenama seperti Trafalgar dan Contiki, dan menawarkan kunjungan ke Afrika Selatan, Kenya, Tanzania dan Zimbabwe, berkata tempahan mereka tidak terjejas walau keadaan mpox berterusan di beberapa bahagian Afrika.
Pengarah urusan TTC Tour Brands Asia, Cik Mae Cheah, berkata Trafalgar menyaksikan tempahan ke Afrika naik sebanyak 10 peratus berbanding 2023, sementara Contiki, yang lebih tertumpu kepada belia berusia 18 tahun hingga 35 tahun, mencatat kenaikan 30 peratus.
“Tidak dinafikan, pengunjung lebih berhati-hati di tengah-tengah keprihatinan kesihatan yang berterusan, tetapi kami rasa terdorong dengan jumlah perjalanan keberangkatan yang pasti ke Afrika.
“Ini menunjukkan bahawa secara global, tetamu kami kekal berdaya tahan dan bersemangat untuk meneroka benua itu.
“Oleh kerana kesihatan dan keselamatan tetamu kami kekal sebagai keutamaan tertinggi, kami sedang memantau rapat keadaan mpox dengan penyelarasan bersama pasukan kami di Afrika.
“Kami akan terus mengutamakan kesejahteraan tetamu kami sambil memastikan pengalaman pelancongan mereka kekal selamat dan tidak boleh dilupakan,” ujarnya. – NUR HUMAIRA SAJAT
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg