Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

FILEM MELAYU KLASIK

'Lela Manja', 'Si Tanggang', antara filem nostalgia yang kembali di pawagam Shaw

Oct 13, 2021 | 05:30 AM



SETELAH ramai bergelak tawa ataupun tersentuh mengamati pelbagai isu sosial dalam siri tayangan filem klasik P. Ramlee di pawagam Shaw@PLQ Mall dua tahun lalu, masanya tiba bagi menikmati filem klasik Melayu lain di bawah Malay Film Productions kini.



Dalam e-mel kepada Berita Harian, Eksekutif Jabatan Filem-Filem Melayu, Shaw Organisation, Cik Rosie Othman, berkata filem yang tidak menampilkan P. Ramlee dalam siri tayangan sebulan sekali, Memories with Malay Film Productions Classic Films di Shaw@PLQ Mall ini mempunyai mutu tidak kurang hebatnya, melucukan dan dramatik.



"Kami menyaksikan kejayaan luar biasa tayangan filem P. Ramlee pada 2019 yang mampu menarik penonton Melayu bersama keluarga dan sahabat-handai mereka mengimbas nostalgia filem lama.



"Maka, kami melanjutkannya dengan filem bukan P. Ramlee pula. Sebanyak 10 tajuk dipilih bagi ditayangkan di pawagam Shaw@PLQ Mall setiap Sabtu terakhir setiap bulan.



"Kami akan mulakan tayangan kami dengan filem penuh emosi Lela Manja pada 30 Oktober ini dalam dewan buat golongan yang sudah lengkap divaksin. Sehari, satu sesi tayangan.



"Ini disusuli dengan tajuk-tajuk lain (tanpa mengikut urutan tayangan) seperti Anak Pontianak, Isi Neraka, A Go-Go 67, Raja Bersiong, Singapura Dilanggar Todak, Sayang Si Buta, Batu Belah Batu Bertangkup, Pusaka Pontianak dan Si Tanggang," ujar Cik Rosie.



Menurutnya, filem ini dipilih berdasarkan jalan ceritanya - sama ada ia yang membuat anda meratap sayu, terhibur dek paparan muzikal, membuat bulu roma berdiri kerana faktor seram atau sayu-mendayu kerana sebuah filem melodramatik.



"Kami mempunyai dalam simpanan arkib kami filem klasik Melayu yang seronok kalau ditonton kembali di layar pawagam.



"Ia juga filem yang mengetengahkan seniwati dan seniman legenda seperti Habibah Haron, Bat Latiff, Ahmad Mahmud, Normadiah, Hashimah Yon, Salleh Kamil, Zaiton, Aziz Jaafar, Jins Shamsuddin dan Dayang Sofia," jelas Cik Rosie lagi.



Filem-filem ini memberi impak buat bintang yang menjayakan filem ini atau penonton yang dewasa dengannya.



Dalam satu wawancara bersama biduanita Sanisah Huri, 69 tahun, yang pernah menjayakan filem muzikal A Go-Go 67, terpahat dalam ingatannya beberapa babak menyeronokkan.



"Saya tak sangka sebagai penyanyi, kita pun dapat menghiasi filem sekali gus. Seronok dapat lihat bagaimana filem dihasilkan dan terlibat walau sekejap sahaja sebagai penyanyi dalam filem yang memaparkan zaman kegemilangan Pop Yeh Yeh.



"Yang saya ingat, saya begitu bimbang menari sambil menyanyi sebab penggambaran dibuat berhampiran kolam renang. Takut termasuk sahaja dalam kolam dalam rasa teruja menari," ceritanya.



Pencinta filem klasik Melayu, Encik Rosli Rostam, 55 tahun, seorang penyelia operasi mesin, pula berkata:



"Saya menghabiskan masa kanak-kanak menonton filem klasik Melayu seperti Batu Belah Batu Bertangkup dan Si Tanggang dengan adik-beradik saya di pawagam dan kemudian di televisyen.



"Seronok betul kalau dapat tonton filem ini kembali di pawagam. Boleh kenalkan anak-anak saya dengan jalan cerita penuh nasihat tentang nilai menghormati ibu bapa ini," kongsinya.



Tiket $15 seorang (termasuk sebungkus bertih jagung dan sebotol air) boleh ditempah mulai 20 Oktober ini. Keterangan lanjut boleh diperolehi menerusi www.shaw.sg.



Anda perlu mengimbas aplikasi atau token TraceTogether sewaktu membeli tiket dan masuk ke pawagam.



Hanya dua orang dibenarkan duduk bersama dengan jarak ruang dua tempat duduk diamalkan sebagai langkah keselamatan Covid-19.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >