Perjalanan seni penyanyi kelahiran Klang, Selangor, Liza Hanim, yang mencecah 28 tahun pada 2025, bukan hanya membabitkan dirinya sahaja malah ramai orang sekeliling yang terkesan dan dapat menyaksikan jerih payah seorang artis.
Mereka termasuk peminat Singapura yang sebahagiannya sudah menjadi sahabat yang tidak putus-putus memberi sokongan dan sanggup menemuinya barang seketika di Lapangan Terbang Changi setiap kali beliau singgah ke Kota Singa.
Lantaran itu, Liza, atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, 45 tahun, berasa sudah sampai masanya untuk beliau berkongsi kemanisan dan cabaran bergelar anak seni selama hampir tiga dekad menerusi konsert solo di The Star Theatre pada 26 April 2025.
Konsert solo pertama Liza di Singapura, Liza Hanim 28 Years Journey In Concert, dibawakan ke sini oleh penerbit baru, AS Entertainment, yang diterajui pereka fesyen Singapura, Adam Rashid.
Bermula pada 8 malam, ia akan menyajikan lebih 20 lagu hit Liza yang pastinya membuatkan beliau mengingati detik-detik awal mempromosikan lagu berkenaan di negara ini.
Selebihnya, bintang ramah yang ditemui Berita Minggu (BM) di Restoran Permata di Kampong Gelam pada 1 Disember lalu, enggan mendedahkan secara terperinci senarai lagu yang bakal disajikan.
Biar kekal misteri dan menjadi tanda tanya peminat hingga munculnya hari yang dinanti-nanti itu.
“Sebenarnya, sewaktu saya meraikan ulang tahun ke-27 dalam industri seni pada 2024, saya juga kepingin bikin konsert di Singapura. Tapi rezekinya nampaknya ada pada ulang tahun ke-28 pada 2025.
“Konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert, diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Februari.
“Rentetan daripada konsert itu, terlalu ramai penggemar Liza Hanim di Singapura memberi maklum balas mereka tak dapat datang kerana tarikhnya tidak sesuai.
“Sebab ia merupakan Ahad, mereka kata susah nak turun ke Kuala Lumpur kerana tak dapat cuti. Jadi kita usahakan bagi mencari penerbit di Singapura.
“Alhamdulillah, AS Entertainment tampil dan mereka bukan yang pertama ingin mengendalikannya tetapi sebab sudah jodoh, rezeki berpihak pada mereka untuk bawa konsert Liza ke The Star Theatre,” kata Liza.
Sebelum ini, konsert di Kuala Lumpur diterbitkan suami Liza, Mohd Shahrin Mohd Samsudin, juga anggota kumpulan Indigo.
Apakah konsert di Singapura akan mempunyai keunikan tersendiri atau lagunya sama seperti konsert di Malaysia?
Liza menjelaskan: “Semestinya akan ada perubahan dari segi senarai lagu tetapi saya tidak akan pinggirkan lagu wajib karaoke yang boleh didendangkan peminat bersama.
“Bagaimanapun, lagu yang disajikan akan mengikut apa sahaja minat penonton di Singapura. Ini merupakan konsert solo saya di Singapura tetapi ia bukan hanya tentang diri saya sahaja.
“Ia akan menggambarkan perjalanan saya bersama peminat saya. Saya memang sudah menyanyi lama tetapi tak pernah bikin konsert solo.
“Selepas mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur tempoh hari, saya dapat maklum balas peminat mahukan lagi persembahan daripada saya. Setiap kali buat sesi sembang ‘live’ di media sosial, mereka akan tanya bila nak bawa konsert solo ke Singapura?
“Saya rasa terharu dan mohon maaf kerana tidak dapat mengumumkan perkara yang diputuskan lama ini atas ketetapan dan perancangan pemasaran penganjur yang sudah dipersetujui.
“Tak sabar rasanya nak hiburkan orang Singapura sebab mereka ada dalam setiap titik tolak penting saya sebagai penyanyi, pelakon filem mahupun teater.”
Ibu lima anak ini menghargai kehadiran peminat, khususnya yang sama-sama dewasa dengannya, dari sejak beliau masih berstatus anak dara hinggalah ‘mak dara’ kini.
“Saya ingat lagi detik bersama-sama peminat Singapura yang menang peraduan Berita Harian untuk menghabiskan masa sehari suntuk dengan saya di taman bertema Downtown East di Pasir Ris.
“Ketika itu tak sihat tapi demi mereka, saya tak nak hampakan, cuba beberapa permainan dengan pecutan adrenalina dan kemudian kita ada barbeku pada waktu malam di mana mereka bertanding karaoke.
“Kerana acara itu, sebahagian besar peminat ini terus dah jadi seperti sahabat saya yang sampai ke hari ini masih menyokong dan usahakan bertemu saya kalau saya ke Singapura,” tambahnya.
Jiwa peminat setia Liza memang mudah terkesan dan kadangkala mereka tertanya-tanya mengapa bintang kesayangan mereka itu tidak berada di tangga teratas setiap kali memasuki peraduan seperti Gegar Vaganza 4 (GV4) dan All Stars Gegar Vaganza (ASGV).
Beliau berada di tempat kedua selepas Datuk Wan Aishah Wan Ariffin dalam GV4 dan menduduki tangga keempat dalam ASGV, di belakang Jaclyn Victor, Hady Mirza dan Nikki Palikat.
Pada zaman muda remajanya pula, Liza yang memiliki vokal yang baik pula hadir dalam dunia hiburan yang sudah mempunyai fenomena tersendiri, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Liza tersenyum mendengar soalan penulis seraya berkata: “Rezeki semua Allah yang tetapkan. Yang penting, peminat saya nampak bahawa saya telah memberikan sebaik mungkin dan tak pernah naik pentas tanpa memberikan segalanya untuk mereka.
“Mereka merasakan perjuangan seni saya. Saya pula sangat terharu dan akan memberikan semula kepada peminat sebagai hadiah dalam konsert solo saya.
“Saya yakin pada rezeki dan berdamai dengan apa yang ditentukan untuk saya. Kalau memang bukan rezeki saya, ia tetap bukan rezeki saya. Saya harus lihat secara menyeluruh situasinya.
“Tak kisahlah menang atau kalah. Dari awal lagi, saya tak menang apabila masuk pertandingan. Kemungkinan kalau saya menang di tempat pertama, saya tak seperti sekarang dan tak tahu di mana saya berada.
“Bukan memperkecilkan sesiapa tetapi ada juga juara pertandingan nyanyian yang hilang daripada industri. Justeru, saya bersyukur dengan apa jua rezeki yang Allah beri dan pandang ke depan sahaja tanpa abaikan kerja keras yang menjadi sandaran sampai bila-bila.”
Dalam berbakti kepada industri hiburan Nusantara sejak usia remaja lagi, Liza tidak pernah terasa masa remajanya terbuang begitu sahaja kerana beliau memang suka menyanyi dan menghiburkan orang ramai.
“Salah satu perkara yang saya senangi sebagai penyanyi adalah kerjaya ini sendiri membawa saya ke tempat-tempat yang saya tidak pernah pergi termasuk ke kawasan pedalaman.
“Rakan-rakan sebaya saya tidak dapat peluang sebegitu. Cuma kalau dulu ke luar negara, ada kerja. Terkejar-kejar dalam sehari untuk acara, tinggal semalam...esok dah nak balik,” katanya.
Beliau, bagaimanapun, inginkan cuti bak bulan madu bersama suami mahupun bercuti santai dengan anak-anaknya.
“Disember ini, saya nak ke Sabah dengan anak-anak sebab mereka belum pernah ke sana.
“Hobi suami menunggang motosikal. Jadi kami dah rancang nak pergi Thailand berdua dengan menaiki motosikal. Itu hobi suami asalnya tetapi dah ‘melekat’ jadi hobi saya juga,” jelasnya.
Dalam meniti kebahagiaan hidup bersama keluarga, beliau juga sebak memikirkan soal kehilangan arwah bapanya, Abdul Halim Abdul Razak, yang meninggal dunia pada Jun 2019 kerana barah paru-paru.
“Dari saya kecil sampailah dah berumah tangga, ayahlah orang yang paling takut kalau saya masuk pertandingan. Dia tak nak tengok saya kecewa.
“Saya sudah hilang doa seorang ayah tetapi saya masih mempunyai ibu yang tinggal bersama saya.
“Semasa zaman anak dara, ibulah yang menemani saya ke mana-mana termasuk bila ada kerja di Singapura. Kami kini menjaga mak macam menatang minyak yang penuh. Beliaulah yang mendoakan saya di mana-mana,” ujar Liza.
Tiket konsert Liza Hanim 28 Years Journey In Concert yang berharga antara $78 dengan $248 boleh ditempah menerusi laman Sistic.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg