Jenama makanan dan minuman tempatan baru, Loong Dim Sum, Hai Ge Ji Hainanese Chicken Rice, dan Binge baru-baru ini diraikan sebagai antara yang terbaik dalam dunia kulinari halal.
Ini di samping jenama kegemaran ramai seperti The Fluffy Chef dan Asap & Co, yang terus mengekalkan mutu dan kecemerlangan mereka, lantas diberi pengiktirafan berprestij dalam majlis penyampaian Anugerah Gastronomi HalalTrip pada 15 Oktober.
Anugerah tersebut, yang kembali buat kali kedua pada 2025, menonjolkan tawaran makanan halal terbaik di Singapura – daripada hidangan klasik yang digemari ramai hinggalah sajian baru yang mencipta gelombang dalam dunia kulinari.
Acara gemilang itu diadakan di Hotel Parkroyal Beach Road dan bertujuan menghargai kreativiti, kecemerlangan dan semangat masyarakat makanan halal.
Majlis penyampaian anugerah tersebut merupakan anjuran bersama wadah dalam talian buat pengembara Muslim, HalalTrip dengan Persekutuan Kulinari Halal Singapura (SHCF).
Menurut Pengarah Operasi HalalTrip & CrescentRating, Cik Raudha Zaini, 34 tahun, pengiktirafan itu bukan sahaja membantu pengguna mengenal pasti pilihan tempat makan halal terbaik, malah mengukuhkan reputasi Singapura sebagai destinasi makanan halal bertaraf dunia.
“Inisiatif ini juga menyokong pelancongan halal, menarik minat penggemar makanan dari rantau ini untuk menikmati kepelbagaian dan keunikan cita rasa di kota ini,” katanya.
Presiden SHCF, Cef Muhammad Kamal Khamis, menambah:
“Anugerah Gastronomi HalalTrip terus memperkukuh komuniti kulinari kita dan memupuk kecemerlangan dalam bidang gastronomi halal.
“Anugerah ini bukan sahaja meraikan bakat dan inovasi kulinari, bahkan juga profesionalisme, integriti serta mutu perkhidmatan yang menjadi cerminan kepada cef dan peneraju (bidang) makanan dan minuman kita.”
Sebanyak 16 restoran dan kafe diiktiraf dengan Anugerah Satu Berlian kerana telah membuktikan mutu serta inovasi unggul dalam masakan halal.
Sementara itu, lima restoran yang mengekalkan kedudukan cemerlang mereka sejak tahun lalu menerima Anugerah Dua Berlian.
Antara nama baru yang diiktiraf buat kali pertama pada 2025 ialah Bebek Goreng Pak Ndut, Beigelhaus, Binge, Chicken Ka Kee dan Hai Ge Ji Hainanese Chicken Rice.
Dutch Colony Coffee Co turut mencuri perhatian kerana ia bukan sahaja tersenarai sebagai penerima anugerah, malah dinobatkan sebagai Kafe, Kiosk atau Bakeri Khas Terbaik.
Sementara itu, Restoran Ginger membawa pulang Anugerah Restoran/Kafe Hotel Terbaik.
Pengarah Dutch Colony Coffee Co, Encik Suhaimi Sukiman, berkata ini merupakan tahun pertama syarikatnya diiktiraf setelah gagal meraih anugerah pada 2024.
“Kami mempelajari daripada kesilapan, kami memperbaiki, dan pada tahun ini (2025) kami kembali lebih baik.
“Melihat kerja keras, disiplin dan kemahiran pasukan kami diiktiraf – itu amat bermakna,” kata Encik Suhaimi, yang telah berkecimpung dalam industri makanan dan minuman sejak 2013.
Restoran kegemaran ramai seperti The Fluffy Chef, Asap & Co, Rrooll, The Malayan Council dan The White Label pula terus menyerlah dengan mengekalkan gelaran mereka dari tahun sebelumnya.
The White Label turut menerima Anugerah Konsep Restoran atau Kafe Terbaik dalam acara tersebut.
Pengasas The Fluffy Chef, Cik Zarifah Abdul Rasid, 29 tahun, tidak menyangka menerima pengiktirafan itu sekali lagi, terutama selepas menghadapi pelbagai cabaran dalam sembilan bulan kebelakangan ini.
“Terlalu banyak yang terjadi. Saya kehilangan pekerja, perlu bekerja tujuh hari seminggu, menjalankan operasi sendiri dan memastikan prestasi serta mutu makanan kami kekal tinggi.
“Sejujurnya, saya tidak rasa akan mendapat tempat tahun ini (2025), tetapi alhamdulillah, penat lelah saya dan pasukan saya amat membanggakan saya,” katanya.
Acara makan malam itu disediakan oleh Cef Shah Indra Jasni dari Restoran Oud, Cef Derek Ng Meng Tat dari Loong Dim Sum dan Cef Abdul Rashid Mahmood dari The Butcher’s Table.
Ketiga-tiganya merupakan finalis pertandingan, Chef Cook-Off, yang berlangsung di atas kapal pelayaran StarDream Cruises pada 2 Oktober.
Acara itu mempertemukan cef berbakat daripada komuniti kulinari halal Singapura dan Johor untuk menampilkan kreativiti serta kemahiran teknikal mereka dalam suasana unik.
Anugerah terakhir malam itu – Anugerah Legasi Gastronomi HalalTrip – diberikan kepada Rumah Makan Minang, sebagai penghormatan kepada sumbangan besar dan berterusan mereka terhadap perkembangan landskap kulinari halal di Singapura.
Acara tersebut disokong Honey Land International, StarDream Cruises, dan Q’son Kitchen Equipment, lantas mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kecemerlangan dalam ekosistem makanan dan minuman halal.
HalalTrip kini memperluas jangkauannya ke Johor, menandakan lembaran baru dalam usaha merentasi sempadan bagi mengiktiraf kecemerlangan halal.
Majlis Makan Malam Gala Anugerah Gastronomi HalalTrip 2025 Johor berlangsung pada 23 Oktober.
Dalam masa terdekat, penganjur berhasrat memperluas liputan mereka bagi menonjolkan lebih banyak permata kulinari di rantau ini pada tahun-tahun akan datang.
SENARAI PEMENANG
Pemenang Anugerah Dua Berlian:
– Asap & Co
– Rrooll
– The White Label
– The Fluffy Chef
– The Malayan Council
Pemenang Anugerah Satu Berlian:
– Bebek Goreng Pak Ndut
– Beigelhaus
– Binge
– Chicken Ka Kee
– Dutch Colony Coffee Co
– Ginger
– Hai Ge Ji Hainanese Chicken Rice
– Komunal Cafe
– Loong Dim Sum
– Pondok Jawa Timur
– Rasa Istimewa
– Salai
– Summer Folks Cafe & Steakhouse
– The Mediterranean Deli Turk
– The Seafood Market (Halal) @ Riverwalk
– Yi Zun Noodle
Anugerah Terbaik Mengikut Kategori
– Restoran atau Kafe Berkonsep Terbaik: The White Label
– Restoran atau Kafe Etnik Terbaik: Yi Zun Noodle
– Kafe, Kiosk atau Bakeri Khas Terbaik: Dutch Colony Coffee Co.
– Pendatang Baru Terbaik: Summer Folks Cafe & Steakhouse
– Restoran atau Kafe Hotel Terbaik: Ginger
– Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan: Loong Dim Sum
– Katerer Halal Terbaik – Anugerah Kelestarian dalam Gastronomi Halal dan Katerer Terbaik – Pakej Parti Terbaik: CaterCo
Pemenang pertandingan Gastronomi
– Cef Paling Inovatif: Cef Abdul Rashid Mahmood, Ketua Cef di The Butcher’s Table
– Cef Harapan: Cef Derek Ng Meng Tat, Ketua Cef di Restoran Loong Dim Sum
Pemenang Anugerah Legasi Gastronomi HalalTrip
– Rumah Makan Minang


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg