Subuh
5:34
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:03
Maghrib
6:57
Isyak
8:06

Maher Zain akan promosi S'pura sebagai destinasi 'mesra halal'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Maher Zain akan promosi S'pura sebagai destinasi 'mesra halal'

Penyanyi Sweden dipilih Lembaga Pelancongan S'pura buat promosi kepada pelancong dari luar negara
Sep 24, 2022 | 05:30 AM

JIKA anda terserempak dengan lelaki yang kelihatan seperti penyanyi Lebanon dari Sweden yang popular dengan lagu-lagu kerohanian di sini baru-baru ini, anda tidak salah orang.

Ya, sememangnya Maher Zain berada di Singapura untuk menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik. Bahkan Berita Harian (BH) sendiri sempat menemuinya untuk wawancara eksklusif.

Setelah lima hari di Singapura, Maher mengaku tidak mudah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di sini.

"Singapura panas dan berhawa lembap tetapi saya beruntung, beberapa hari ini, cuaca amat baik sekali dan cuma sehari saja saya rasakan betul-betul panas," kata Maher Zain pada hari terakhirnya di Singapura minggu lepas.

"Baru saya nak menyesuaikan diri dengan cuaca dan jet lag, sudah masanya untuk pulang," tambah beliau.

Jarak masa Sweden dan Singapura sekarang adalah enam jam.

Penyanyi kelahiran Lebanon ini telah dijemput oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) untuk mempromosikan Singapura sebagai destinasi mesra halal kepada pelancong.

Dalam pada itu, beliau telah dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar Singapura, selain mencuba pelbagai jenis makanan di sini. Beliau sempat berkongsi makanan kegemarannya.

"Saya dapat mencuba bermacam-macam makanan di sini, saya tak ingat apa nama-namanya, tetapi yang paling saya suka ialah rendang, laksa dan sate," katanya

Kata Maher, beliau gemar dengan makanan pedas dan suka mencuba makanan baru.

Selain itu, beliau juga dapat bermain air bersama ikan lumba-lumba di Sentosa dan menaiki kapal layar sewaktu penggambarannya di sini.

"Saya juga dapat menaiki vespa dan meronda sekeliling Singapura," katanya mengimbau kembali aktiviti-aktiviti yang paling menyeronokkan di sini.

Maher yang boleh bertutur dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Arab, Inggeris dan Sweden pernah merakamkan lagu-lagunya dalam tujuh bahasa, termasuk Bahasa Melayu.

Walaupun telah lama tidak ke rantau ini, beliau masih ingat beberapa perkataan Melayu yang pernah dipelajarinya dulu seperti "Selamat Datang" dan "Terima Kasih".

"Tahun 2020 seperti tidak wujud bagi saya," kata Maher tentang masa pandemik Covid-19 melanda dunia dan menjejas dunia hiburan.

Pada Ramadan lalu, Maher telah mengeluarkan tiga 'single' baru berjudul No One But You dalam bahasa Inggeris, dan Rahmatun Lil'Alameen dalam bahasa Arab.

Lagu ketiga, Eidun Mubarak juga dalam bahasa Inggeris, lebih berentak rancak dan ada unsur reggae, dikeluarkan sempena sambutan Syawal dan diedarkan oleh syarikat penerbitannya, Awakening Music.

"Pasaran sekarang lebih cenderung kepada mengeluarkan 'single' daripada 'album'", terang Maher tentang perubahan dalam industri muzik sedunia.

"Dulu, orang akan beli CD dan bila dipasangkan di kereta, semua lagu-lagu akan dinikmati dengan sepenuhnya.

Ini baik untuk kami sebagai artis untuk menonjolkan kesemua lagu-lagu kami, tetapi sekarang tidak begitu lagi," ulas Maher tentang penggunaan wadah penstriman muzik sekarang.

Maher mengaku ia lebih sukar untuk artis menembusi pasaran sekarang berbanding dulu.

Walaupun 13 tahun telah berlalu semenjak album pertamanya Thank you Allah, lagu-lagunya masih sering diputarkan, terutama sekali lagu Barakallah yang menjadi lagu wajib di setiap majlis perkahwinan.

"Saya berbesar hati lagu ini masih mendapat perhatian sebegitu. Memang niat saya untuk buat lagu yang sesuai untuk dimainkan di majlis perkahwinan, jadi saya mengambil petikan dari hadis dan memberikan melodi dan susunan muzik," katanya.

Di waktu ini, Maher sedang sibuk mengusahakan album keempatnya dan merancang konsert World Tour, termasuk persinggahan di Singapura.

"Saya tidak sabar untuk kembali ke Singapura untuk bertemu peminat, dan mengadakan konsert di sini tahun depan. Ini adalah dalam perancangan terdekat saya," kata Maher mengakhiri wawancara.


"Singapura panas dan berhawa lembap tetapi saya beruntung, beberapa hari ini, cuaca amat baik sekali dan cuma sehari saja saya rasakan betul-betul panas. Baru saya nak menyesuaikan diri dengan cuaca dan 'jet lag', sudah masanya untuk pulang...
Saya tidak sabar untuk datang kembali ke Singapura untuk bertemu peminat, dan mengadakan konsert di sini tahun depan. Ini adalah dalam perancangan terdekat saya."

- Maher Zain.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3