MUSIBAH banjir yang membawa pada banyak kerosakan di sekitar kawasan Lembah Klang turut menjejas beberapa artis termasuk pelawak Ebby Yus.
Bagi pelawak Ebby Yus, 56 tahun, sebak terasa apabila mahligai impian yang dibinanya hasil titik peluh lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni musnah sekelip mata dengan rumah berkenaan dihanyutkan air deras dalam bencana banjir di Kuala Langat, Selangor, Sabtu lalu.
Rumah yang tinggal 10 peratus untuk disiapkan di tanah setengah ekar di kawasan penempatan itu, dihanyutkan air deras, mengakibatkan Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, kerugian hampir RM200,000 ($64,822)
Menceritakan kejadian itu kepada akhbar Berita Harian Malaysia (BHM), Ebby berkata, beliau bersama pembantu peribadinya telah pergi melihat kerja-kerja akhir pembinaan rumah dua tingkat itu termasuk proses memasang kertas hiasan dinding pada tengah hari Sabtu.
"Tanpa disangka, musibah datang hingga habis rumah yang dibina menggunakan separuh batu dan separuh lagi kayu 'lenyap' dalam kejadian banjir tersebut.
"Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena seni... Saya akur dengan ketentuan ini," jelasnya.
Ebby berkata, kerja pembinaan rumah itu dilakukan sedikit demi sedikit dan kerap terhenti kerana beliau jatuh sakit, selain sekatan akibat penularan pandemik Covid-19.
"Setiap kali dapat bayaran berlakon, saya peruntukkan untuk rumah itu. Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK), saya lunaskan baki bayaran projek pembinaan rumah itu.
"Sebelum ini, projek pembinaan bertukar kontraktor kerana masalah tidak terduga... Biasalah, kerja bina rumah semuanya perlukan wang," katanya.
Ebby, yang berasal dari Negeri Sembilan, berkata, beliau menyewa rumah di Kampung Baru sejak 20 tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg