Mahu kembali dengan rentak baru
Mereka berdua mungkin sudah menjelajah ke mana-mana bagi pertandingan adu bakat yang memperkasa kemahiran seni dan persembahan. Namun, tidak pernah timbul rasa ingin menggantung mikrofon atau malu untuk bertanding meskipun berpengalaman. BERITA HARIAN melaporkan kisah Rizuan Rashid dan Ize Suliman.
NAMA bakat Singapura yang muncul dalam rancangan hiburan TVISM dan Anugerah 2009, Ize Suliman, mungkin tidak asing dalam kalangan mereka yang mengikuti perkembangannya.
Penyanyi dengan nama sebenar, Muhammad Idris Suliman, kini 37 tahun, pernah merakam album kumpulan Xclusive pada 2010 bersama dua artis Singapura lain, Ikah Jamil dan Atrez.
Setelah itu, Ize sibuk melaksanakan amanahnya sebagai perancang perkahwinan yang berulang-alik antara Johor dengan Singapura selama lebih enam tahun.
Di Johor, beliau tinggal bersama bapa, ibu tiri dan adik-beradik tirinya.
Namun, pandemik Covid-19 membawa Ize ke Singapura kerana beliau perlu menjalani vaksinasi lengkap di tanah airnya sendiri.
Kembalinya beliau ke Singapura juga membuka pintu rezeki buatnya menyertai peraduan anjuran Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 3.0.
Ize yang mendendangkan lagu Cakra Khan, Harus Terpisah, Sonata Musim Salju (dendangan Hazami) serta Di Alam Fana Cinta (Fotograf) bagi beberapa peringkat sebelum ini berjaya ke peringkat akhir pada 23 Januari ini.
Pada peringkat akhir kelak, Ize akan mendendangkan lagu Naim Daniel, Purnama pula.
Apakah yang membuatnya ingin tampil semula dalam persada seni Singapura?
Ikuti wawancara bersama Ize yang kini adalah kakitangan dalam bidang jagaan kesihatan.
SOALAN (S): APAKAH YANG BUAT IZE KEMBALI KE SINGAPURA UNTUK BINA SEMULA NAMA?
IZE: Saya sudah lama tidak menyanyi di Singapura. Di Johor, ada juga masuk peraduan di sana.
Setelah lebih enam tahun menetap di seberang Tambak, saya kembali ke sini untuk vaksinasi. Saya jalani kuarantin sewaktu bulan puasa tahun lalu hingga Hari Raya kedua.
Setelah sekian lama tidak kedengaran khabar berita di Singapura, saya ingin kembalikan keyakinan diri saya untuk menyanyi lagi.
Ada kawan baik yang minta saya memasuki Suara 3.0. Saya ikuti perkembangan peserta Suara WGS dan Suara 2.0.
Memandangkan saya pun nak keluarkan lagu baru bagi memenuhi permintaan peminat, saya rasakan Suara 3.0 adalah wadah yang baik untuk kembangkan bakat saya dan perkenalkan saya semula ke persada seni Singapura.
Saya ingin orang tahu saya masih aktif menyanyi. Di WGS, saya selesa dengan penganjur dan peserta lain. Kami dilayan dengan baik dan kami macam sebuah keluarga besar yang saling menyokong bukan bersaing.
S: APAKAH YANG IZE SIBUK LAKUKAN KETIKA PANDEMIK DI JOHOR BAHRU?
IZE: Saya tak boleh bekerja kerana banyak tugasan terjejas semasa pandemik.
Memandangkan saya pencinta haiwan, saya dan seorang teman usahakan khidmat menguruskan pengambilan kucing angkat buat keluarga atau individu yang berminat.
Saya juga memelihara beberapa ekor kucing. Salah seekor daripadanya yang terlalu manja dengan saya, Laudya Permata Hati, saya malahan bawa pulang ke Singapura kerana tidak mampu berpisah dengannya. Laudya pasti cari saya.
Di Johor, saya juga seronok bela haiwan eksotik seperti iguana, ular, unggas murai batu, arnab dan tikus belanda.
S: CERITAKAN MENGENAI TIGA LAGU BERMAKNA BUAT IZE
IZE: Harus Terpisah adalah lagu yang mengingatkan saya tentang kehidupan yang sayu terpisah daripada ibu kandung saya sebab saya berada di Johor bersama ayah dan ibu tiri.
Saya pernah menyanyikan lagu ini ketika bertanding di Johor dan menang. Apa yang saya pelajari melalui lagu ini adalah setiap yang kita miliki tak dapat kita miliki sepenuhnya.
Terima Kasih Cinta oleh Afgan memberi kesedaran kerana dalam tempoh pandemik, hikmahnya adalah saya lebih ingin mendekati Tuhan.
Pada usia 30-an tahun, saya lebih menyedari betapa kehidupan kita ini sementara sahaja. Saya harus lengkapi diri dengan amal ibadah. Kalau dahulu saya tidak begitu endahkan aspek ini kerana jiwa muda atau buat kesilapan, kini saya fokus ingin pertingkat hubungan saya dengan Tuhan.
Saya dapati lagu ini sangat emosi seiringan dengan lagu Sedetik Lebih oleh Anuar Zain. Kita perlu ingat suatu ketika kita akan ditinggalkan atau meninggalkan orang tersayang. Jadi hargai semua orang selagi mereka dan kita masih ada.
S: APAKAH PERANCANGAN ANDA BUAT 'SINGLE' TERBARU NANTI?
IZE: Saya enggan lagu itu kedengaran terlalu kemelayuan. Ia harus mempunyai ciri bunyian antarabangsa. Lagu ini sudah dicipta. Cuma perlu menanti masa yang baik untuk merakam dan menerbitkannya.
Saya pun perlu turunkan berat badan agar tidak nampak terlalu berisi dalam video muzik kelak.
Teras lagu ini adalah perpisahan dan komitmen yang dibuat untuk bertemu di penghujung jalan kelak.
Saya ingin kembali dengan kekuatan dan lagu yang dapat membawa perubahan. Saya belum mengkaji lagi pasaran lagu di Singapura. Diharapkan orang ramai dapat menerima saya kembali.
Ada ketikanya saya terasa saya tidak berbakat untuk berjaya sebagai anak seni. Tertanya-tanya apakah aspirasi saya kelak menjadi kenyataan?
Namun, saya harap WGS kelak dapat membuka pintu buat saya gali semula cinta saya terhadap seni.
S: APAKAH HIKMAH YANG IZE PEROLEHI DARIPADA PANDEMIK INI?
IZE: Dalam dibelenggu stres dan kesusahan sehingga melihat keadaan sekeliling... maaf cakap seperti dunia sudah sampai ke penghujungnya, tenat dan nak kiamat, saya usaha untuk lebih dekat dengan Tuhan.
Masa interaksi dengan-Nya amat saya hargai. Sekurang-kurangnya rasa kehilangan itu terluput kerana Allah ada.
Saya baca tentang anak kecil dan remaja yang kehilangan ibu bapa tempat bergantung kerana Covid-19. Sedih sangat.
Dalam tempoh tersebut, ayah saya tersendat di Singapura kerana bekerja di sini.
Saya menjadi lebih rapat dengan ibu tiri saya kerana kami sama-sama usahakan untuk terus berkomunikasi dengan ayah yang berjauhan. Ibu tiri saya pun banyak membantu saya menangani kehidupan yang tertekan. Saya sangat bersyukur.
"Saya enggan lagu itu kedengaran terlalu kemelayuan. Ia harus mempunyai ciri bunyian antarabangsa. Lagu ini sudah dicipta. Cuma perlu menanti masa yang baik untuk merakam dan menerbitkannya. Saya ingin kembali dengan kekuatan dan lagu yang dapat membawa perubahan." - Ize Suliman atau nama sebenarnya, Muhammad Idris Suliman.

