Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Mahu tarik lebih ramai anak muda cintai seni, budaya Melayu

Sep 27, 2020 | 05:30 AM



Bahasa dan budaya melambangkan bangsa. Perlu ada pelapis supaya seni, bahasa dan budaya Melayu tidak pupus dimamah waktu. Itulah antara yang dikongsi individu-individu ditemu bual BERITA MINGGU (BM). Sempena bulan bahasa, BM mengetengahkan penglibatan mereka dalam pelbagai bentuk seni Melayu, dari muzik ke nyanyian. Ikuti kisah mereka.



SESETENGAH anak muda mungkin menganggap seni dan budaya Melayu sesuatu yang kolot atau ketinggalan zaman. Tetapi, ia sesuatu yang perlu ditepis dan diatasi.



Berpegang kepada hal itu, yang merupakan antara matlamatnya, Encik Afi Hanafi, 35 tahun, giat mengetengahkan pelbagai aspek budaya seni Melayu, dari nyanyian, kraf tangan hinggalah ke muzik.



"Saya memikirkan macam mana ingin mengajak lebih ramai anak muda untuk bukan sahaja diperkenalkan kepada seni budaya Melayu yang orang anggap kolot atau old-fashioned, malah agar mereka menjadi orang yang lebih manusiawi.



"Seseorang itu memerlukan budaya, kesenian yang melambangkan diri dan juga bangsanya," ujar penggiat seni yang sudah berkecimpung dalam bidang tersebut berdekad lamanya.



Berkongsi tentang perjalanannya dalam bidang seni, Encik Afi berkata ia mula sejak kecil lagi di mana beliau membesar dengan pendedahan terhadap budaya dan seni secara am.



Memandangkan ibunya, Cik Juliah Ahmad bekerja di tempat wayang Cina, Encik Afi akan ke sana setiap hari setelah selesai sekolah dan suka memerhatikan perincian dalam persembahan itu. Dalam pada itu, beliau kerap membantu makcik-makciknya di acara-acara Melayu.



Justeru, aspek budaya dan seni sering diterapkan ke dalam kehidupannya.



Ketika melangkah ke bangku sekolah menengah pula, Encik Afi berjinak-jinak dalam tarian Melayu, lakonan serta menulis, dan dari situlah tercetus ilham untuk menceburi bidang seni sepanjang hidupnya.



Setelah lebih sedekad cuba menganggotai pelbagai persatuan termasuk di Variasi Performing Arts, Encik Afi menubuhkan kumpulan seninya tersendiri.



Lapan tahun lalu, Encik Afi mula dengan pembuatan kraf tangan berhias songket Afi Hanafi Singapura, sebelum mengasaskan bersama kumpulan pemuzik tradisional Orkestra Sri Temasek, dan kemudian menubuhkan kumpulan koir PermaiSuara, dan kumpulan syair Syairpura.



Jiwa pemuda itu begitu dekat dengan dunia seni dan kreatif Melayu hingga beliau sering 'membebel' dengan temannya tentang apa yang harus dilakukan bagi menarik generasi muda agar mencintai bahasa dan budaya Melayu.



"Kebimbangannya bukan sama ada anak Melayu tak pandai berbahasa Melayu dengan baik, tetapi dari segi kesantunannya. Mungkin kesantunannya itu ada tetapi saya bimbang ia berkurangan," ujarnya lagi.



Melebihi minat sahaja, Encik Afi berkata sepanjang perjalanannya yang "berwarna-warni" sebagai anak seni, beliau diberikan banyak amanah, termasuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Tampines West di mana beliau perlu memastikan kejiranan itu sentiasa bersemarak dengan kegiatan kemelayuan yang membina semangat ukhuwah.



"Saya rasa tugasnya penting, dan perlu ada pengorbanan. Harus benar-benar jujur dan menilai dengan baik. Niat juga untuk sebarkan ilmu seni kepada anak bangsa, bukan untuk cari glamor atau disanjung-sanjung orang," katanya.



Selain menyebarkan budaya dalam masyarakat, secara sendirian dan menerusi bidang perniagaan beliau, Encik Afi turut mengadakan bengkel di sekolah seperti pantun dalam lagu tradisional dan syair.



Sejak Covid-19 melanda, Encik Afi berkata beliau turut terjejas dan sehingga kini, belum ada sekolah yang mengundangnya untuk mengadakan bengkel.



Dalam pada itu, persembahan juga dipindahkan ke dalam talian memandangkan penonton tidak boleh hadir secara fizikal.



Ketika ditanya tentang pelan masa depannya, Encik Afi berkongsi bahawa antaranya adalah Orkestra Sri Temasek sedang menunggu dana Majlis Seni Kebangsaan (NAC) untuk merakam lagu yang pernah dipersembahkan di Esplanade.



"Ia adalah lagu barat klasik yang kami Melayukan. Kami ingin memberi rentak Melayu kepada lagu barat dalam filem yang popular. Ini bertuuan supaya dapat menarik anak muda kita," ujarnya.




Saya memikirkan macam mana ingin mengajak lebih ramai anak muda untuk bukan sahaja diperkenalkan kepada seni budaya Melayu yang orang anggap kolot atau 'old-fashioned' malah agar mereka menjadi orang yang lebih manusiawi. Seseorang itu memerlukan budaya, kesenian yang melambangkan diri dan juga bangsanya.''
- Encik Afi Hanafi




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >