Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KESIHATAN

Makan lewat malam: Apa anda perlu tahu

Kajian dapati wanita hadapi risiko alami penyakit jantung jika makan selepas 6 petang, jadi makan awal dapat membantu
Mar 09, 2020 | 05:30 AM



SERONOKNYA menonton televisyen lewat malam sambil mengunyah keropok dan bertih jagung selepas makan.



Ditambah pula air teh atau kopi manis tiga-dalam-satu dan cokelat kegemaran... Wow nikmatnya.



Sekarang baca dapatan ini.



Satu kajian mendapati bahawa kaum wanita (tidak dinyatakan pula kaum lelaki tergolong sama) yang gemar makan selepas 6 petang menghadapi risiko menghidap penyakit jantung, lapor The Straits Times.



Satu kajian yang dijalankan Universiti Columbia mendapati wanita yang mengambil kadar kalori harian yang lebih tinggi pada waktu ini lebih cenderung mengalami tekanan darah lebih tinggi, mempunyai berat badan berlebihan dan kurang berupaya mengawal paras gula dalam darah mereka - kesemua ini adalah faktor risiko penyakit jantung.



Lebih buruk, bagi setiap 1 peratus tambahan kalori selepas 6 petang, peserta yang terlibat dalam kajian tersebut didapati cenderung mempunyai tekanan darah dan indeks jisim badan (BMI) lebih tinggi serta gagal mengawal paras gula dalam darah.



Hasil kajian tersebut dibentangkan dalam Sesi Saintifik Persatuan Jantung Amerika Syarikat pada November lalu.



Kajian itu melibatkan 112 wanita dengan usia purata 33 tahun dengan pengkaji merekodkan apa mereka makan, berapa banyak mereka makan dan waktu mereka makan selama seminggu pada permulaan kajian dan sekali lagi setahun kemudian.



Penyelidik juga meneliti faktor risiko mereka mengalami penyakit jantung seperti merokok, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, obesiti, tidak aktif secara fizikal dan amalan pemakanan yang kurang baik pada permulaan kajian dan setahun kemudian.



Kajian itu menunjukkan bahawa wanita yang mengambil lebih banyak kalori selepas 6 petang dan selepas 8 malam mempunyai kesihatan jantung yang lebih buruk.



Wanita kaum Hispanik (asal Mexico dan Amerika Tengah yang mengamalkan budaya Sepanyol) membentuk 44 peratus peserta kajian dan penyelidik mendapati kaitan lebih tinggi dengan pengambilan kalori pada waktu malam dan tekanan darah tinggi di kalangan mereka berbanding wanita lain.



TIBA MASA UBAH WAKTU MAKAN MALAM?



Pakar kardiologi dan pemakanan yang ditemu ramah The Straits Times mempersoal bilangan kecil peserta yang terlibat dan perbezaan kaum dalam kajian itu berbanding penduduk di Singapura.



Namun, seperkara yang tidak disangkal adalah hakikat bahawa penyakit kardiovaskular merupakan pembunuh utama kaum wanita di Singapura.



Dr Chan Po Fun, pakar kardiologi di Hospital Besar Ng Teng Fong, berkata: "Ramai orang menyangka masalah jantung kebanyakannya melibatkan kaum lelaki.



"Sebenarnya, penyakit jantung, terutama penyakit arteri koronari, adalah punca No. 1 kematian kaum wanita di Singapura.



"Penyakit kardiovaskular membunuh lebih ramai wanita daripada semua bentuk kanser digabungkan."



Penolong Profesor Low Ting Ting, pakar (Jabatan Kardiologi) dan pengarah program (Program Kesihatan Jantung Wanita) di Pusat Jantung Universiti Nasional, Singapura, berkata penyakit kardiovaskular meragut nyawa seramai 2,635 wanita pada 2018.



Secara keseluruhan, seorang daripada tiga wanita meninggal dunia.



Dr Chan berkata kajian menunjukkan bahawa kaum India lebih berkemungkinan mengalami serangan jantung, manakala orang Melayu lebih terdedah kepada komplikasi yang membawa maut selepas serangan jantung.



Walaupun komposisi kaum dalam kajian di Universiti Columbia itu berbeza dari di sini, terdapat beberapa iktibar bagi kaum wanita Singapura.



Dr Chan berkata: "Pendekatan gaya hidup untuk kesihatan kardiovaskular yang baik secara tradisi memberi tumpuan kepada apa yang kita makan dan berapa banyak yang kita makan.



"Fakta yang kurang diketahui adalah masa kita mengambil kalori juga penting untuk kekal cergas dan sihat.



"Apabila kita makan pada waktu petang, tubuh kita lebih cenderung menyimpan kalori itu sebagai lemak dan tidak membakarnya sebagai tenaga.



"Ini menyebabkan BMI lebih tinggi dan penyakit metabolik berkaitan, seperti tekanan darah lebih tinggi, paras kolesterol tinggi, kawalan gula dalam darah yang lemah dan pembentukan plak dalam arteri."



Cik Chow Pek Yee, ketua Jabatan Pemakanan & Dietetik di Yishun Health, berkata:



"Makan lewat boleh mengakibatkan ketidakseimbangan jam induk dalam tubuh kita, yang boleh membawa kepada masalah metabolisme yang menyebabkan perubahan pada paras gula dalam darah, insulin lebih tinggi, penunjuk yang lebih tinggi terhadap insulin dan tekanan darah lebih tinggi.



"Biasanya jika kita tidak bersarapan, kita berkemungkinan berasa lebih lapar dan makan lebih banyak semasa makan malam."



Menurut beliau, dengan selera lebih besar pada waktu petang, orang cenderung makan lebih banyak dan boleh berasa lapar lagi dan memakan snek pula kemudian.



"Dengan ini, lebihan kalori akan menyumbang kepada pertambahan berat badan dan obesiti, yang membawa kepada peningkatan risiko kesihatan kardiovaskular, tekanan darah, BMI dan gula dalam darah.



"Jika kita mengambil tambahan 50 kalori setiap hari selama 365 hari, ia akan menyumbang kepada kenaikan berat badan sebanyak 18kg dalam setahun," jelas beliau.



Makan lewat boleh mengakibatkan kesan lain.



Cik Heng Mei Shan, seorang pakar pemakanan di Hospital Alexandra, berkata keupayaan tubuh menggunakan insulin untuk mengawal gula dalam darah berkurang di penghujung hari.



"Makan pada lewat malam juga boleh menyebabkan masalah lain seperti limpahan asid dalam saluran makanan, pedih hulu hati dan kualiti tidur yang kurang baik."



Keadaan tidak boleh tidur selepas makan lewat boleh berubah menjadi tabiat.



Profesor Low menambah: "Kajian mendapati tabiat melambatkan waktu tidur boleh menyebabkan keinginan memakan makanan ringan bertambah, yang menyebabkan seseorang itu semakin suka makan snek pada waktu malam - satu tabiat yang kurang sihat - yang boleh membawa kepada pertambahan berat badan.



"Tidur awal dan waktu tidur yang cukup mungkin cara yang baik mengelakkan diri daripada makan pada lewat malam."



JALAN KELUAR



Jadi apa jalan keluar bagi wanita bekerja dan yang menjaga anak dan ibu bapa yang sudah tua? Apa yang boleh mereka lakukan untuk mengurangkan kesan akibat makan selepas 6 petang?



Saran Dr Chan: "Bersarapan seperti seorang raja (lebih), nikmati makan tengah seperti seorang putera (kurang sedikit) dan jamah sajian malam bagai orang miskin (sangat sedikit).



"Mengambil lebih kalori harian semasa bersarapan dan makan tengah hari dan kurang pada waktu malam adalah satu cara berkesan bagi mengurangkan impak makan pada lewat malam.



"Senaman lebih kerap juda dapat mengurangkan kenaikan insulin selepas makan dan menghalang penyimpanan lemak.



Dr Chan turut mencadangkan menikmati makan malam lebih awal dan diikuti dengan amalan berjalan kaki selepas itu.




KESAN TIDAK BERSARAPAN?



"Biasanya jika kita tidak bersarapan, kita berkemungkinan berasa lebih lapar dan makan lebih banyak semasa makan malam.

Dengan selera lebih besar pada waktu petang, orang cenderung makan lebih banyak dan boleh berasa lapar lagi dan memakan snek pula kemudian.

Dengan ini, lebihan kalori akan menyumbang kepada pertambahan berat badan dan obesiti, yang membawa kepada peningkatan risiko kesihatan kardiovaskular, tekanan darah, BMI dan gula dalam darah."



- Cik Chow Pek Yee, ketua Jabatan Pemakanan & Dietetik di Yishun Health.




TIDUR AWAL DAPAT ATASI TABIAT



"Kajian mendapati tabiat melambatkan waktu tidur boleh menyebabkan keinginan memakan makanan ringan bertambah, yang menyebabkan seseorang itu semakin suka makan snek pada waktu malam - satu tabiat yang kurang sihat - yang boleh membawa kepada pertambahan berat badan.

Tidur awal dan waktu tidur yang cukup mungkin cara yang baik mengelakkan diri daripada makan pada lewat malam."



- Penolong Profesor Low Ting Ting, pakar (Jabatan Kardiologi) dan pengarah program (Program Kesihatan Jantung Wanita) di Pusat Jantung Universiti Nasional, Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >