Drama televisyen yang mendapat pujian pengkritik, Succession, tentang seorang individu berkuasa dalam dunia media serta pergolakan hidupnya dengan keluarga yang berantakan, tamat pada 2023 selepas disiarkan selama empat musim.
Pada 2024, ia menang besar dalam majlis penyampaian Anugerah Emmy di Peacock Theatre, Los Angeles, Amerika, yang dikhususkan bagi meraikan kecemerlangan dalam industri televisyen.
Barisan pelakon Succession, Sarah Snook, Kieran Culkin dan Matthew Macfadyen membawa pulang piala lakonan manakala drama itu juga dinobatkan sebagai Siri Drama Terbaik. Anugerah Penulisan Naskhah Terbaik dan Anugerah Pengarah Terbaik turut dibolot drama ini.
Pencipta Succession, Jesse Armstrong, 53 tahun, dengan sebak menyatakan sedih untuk menamatkan drama itu tetapi seronok menghasilkannya selama empat musim.
“Jangkaan untuk kami berikan yang terbaik begitu tinggi tetapi itulah yang mendorong kami untuk berikan segalanya dalam Succession.
“Kepada ibu dan ayah saya, terima kasih kerana membelikan saya set dandanan dan bergaya dengan kostum baru sewaktu saya kecil. Tengoklah, anak anda berdua kini seorang pelakon!
“Saya juga harus beri penghargaan terbesar buat anak perempuan saya yang buat masa ini tidak memahami apa yang saya perkatakan tetapi dia dalam kandungan saya sepanjang saya menjayakan musim lalu Succession.
“Kerana si kecil inilah, saya kuat semangat bekerja untuk sara hidupnya kelak. Lebih senang berlakon apabila anda hamil kerana hormon yang mencurah-curah!” ujar Snook, 36 tahun, yang memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Dalam Watak Utama.
Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama, Culkin, 41 tahun, pula berterima kasih kepada Armstrong kerana merupakan penulis naskhah yang hebat dan memberi ruang kepada pelakon meneroka watak mereka.
Beliau juga menghargai jasa ibu dan pengurusnya serta isteri dan dua anaknya.
Drama komedi The Bear tentang cef yang kembali ke kampung halamannya untuk mengendalikan kedai sandwic keluarganya pula memenangi tiga anugerah lakonan bagi pelakon Jeremy Allen White, Ayo Edebiri dan Ebon-Moss Bachrach.
White, 32 tahun, berkata beliau penuh kesyukuran berdiri di khalayak ramai untuk meluahkan kegembiraannya menjayakan The Bear sebab ia membakar semangatnya untuk terus berkarya.
Edebiri, 28 tahun, pula berkata:
“The Bear mengisahkan tentang perbezaan antara keluarga anda sebenar dengan keluarga yang anda temui dalam diri teman-teman anda. Ibu bapa saya bersama saya pada hari ini. Terima kasih kerana menyayangi saya dan memberikan saya ruang untuk rasa bangga dan yakin tentang identiti saya sebagai pelakon kulit hitam.”
Enam anugerah dimenangi Succession. Begitu juga dengan The Bear.
Beef tentang ledakan kemarahan di jalan raya yang disiarkan di Netflix pula menguasai kategori untuk siri terhad.
Ali Wong, 41 tahun, dan Steven Yeun, 40 tahun, dua bintang utama Beef dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Dalam Watak Utama (Siri Terhad) dan Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama (Siri Terhad).
Pencipta siri ini, Lee Sung Jin, 38 tahun, yang menerima piala bagi Anugerah Siri Terhad Terbaik berkata:
“Saya bersyukur dan merendah hati menerima anugerah ini dan berterima kasih kepada sesiapa yang menyaksikan drama ini. Ramai yang berkongsi tentang pergelutan peribadi mereka dalam hidup selepas menonton Beef. Ia membuatkan saya terkesima. Terima kasih.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg