Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ke manakah pergi ‘demam sinetron’?

Fenomena drama bersiri Indonesia yang pernah banjiri S’pura pada 2000-an pudar dengan pelbagai pilihan alternatif
Feb 15, 2025 | 5:30 AM
Pelakon ‘Cinta Fitri’, (dari kiri) Bemby Putuanda, Iqbal Pakula, Shireen Sungkar, Adly Fairuz dan Teuku Wisnu, di acara ‘Raya-Hi Tea Cinta Fitri’ di Singapura pada 2008.
Pelakon ‘Cinta Fitri’, (dari kiri) Bemby Putuanda, Iqbal Pakula, Shireen Sungkar, Adly Fairuz dan Teuku Wisnu, di acara ‘Raya-Hi Tea Cinta Fitri’ di Singapura pada 2008. - Foto fail

“Pernikahan dini.. bukan cintanya yang terlarang..”

Lirik lagu Pernikahan Dini oleh Agnez Mo (dahulu dikenali sebagai Agnes Monica) yang merupakan lagu runut bunyi (OST) bagi sinetron Indonesia dengan judul yang sama ini terngiang-ngiang di fikiran semasa saya ingin menulis wacana ini. 

Ia membuat saya mengimbau kembali zaman sekolah tatkala saya ingin pulang ke rumah dengan segera kerana ingin menonton sinteron tersebut di televisyen. 

Sinetron iaitu singkatan bagi ‘sinema elektronik’ merupakan istilah bahasa Indonesia yang digunakan bagi drama bersiri panjang yang diterbitkan bagi siaran televisyen di negara itu. 

Penerbitan sinetron berkembang secara pesat pada lewat 1990-an apabila terdapat pengurangan dalam penerbitan filem dan memberi fokus pada kehadiran saluran televisyen swasta di Indonesia yang memerlukan program untuk mengisi masa. 

Pelakon Tamara Bleszynski melakonan semlua adegan ikonik daripada sinetron ‘Hikmah’ (kiri) di gerai makanannya, Teh Manis Bali yang dibuka pada 2019.
Pelakon Tamara Bleszynski melakonan semlua adegan ikonik daripada sinetron ‘Hikmah’ (kiri) di gerai makanannya, Teh Manis Bali yang dibuka pada 2019. - Foto INSTAGRAM TEHMANISBALI

Membesar dengan ibu dan nenek yang boleh digelar peminat tegar sinetron, saya turut mengingati pengalaman berkunjung ke Muzika Records di Joo Chiat Complex bersama ibu kerana ingin membeli video cakera padat (VCD) drama Hikmah yang dibintangi pelakon Tamara Bleszynski dan Gunawan. 

Ini disebabkan ibu tidak sabar dan enggan menunggu saluran televisyen tempatan menayangkan episod baru setiap minggu.

Beliau memang teruja ingin tahu apakah yang berlaku dalam drama yang bersiaran selama tiga musim dan 180 episod itu.

Kesan sinetron kepada penonton Singapura

Fenomena drama dari Indonesia membanjiri persada hiburan di Singapura dapat dilihat pada awal 2000-an. 

Selain keluarga saya, rakan sekolah dan saudara-mara turut menonton sinetron dan mengupas tentang plot drama yang disajikan.

Ia menjadi antara topik yang sering dibualkan apabila kami bertemu.

Dengan beberapa siri hit dimainkan di saluran televisyen tempatan, wajah-wajah pelakon Indonesia turut menghiasi majalah tempatan dan menjadi tarikan utama pada acara khas seperti sambutan Hari Ibu dan bazar Hari Raya. 

Selain Hikmah, antara sinetron lain yang turut mendapat sambutan termasuk, Dia (lakonan Lulu Tobing dan Ari Wibowo); Suci (lakonan Bunga Zainal dan Rezky Aditya); dan Mimpi Manis (lakonan Dewi Perssik dan Iqbal Pakula). 

Pasangan selebriti suami isteri, Shireen Sungkar (kiri) dan Teuku Wisnu, mula mengenali isi hati satu sama lain semasa di set penggambaran sinetron ikonik ‘Cinta Fitri’ yang berlangsung selama tujuh musim.
Pasangan selebriti suami isteri, Shireen Sungkar (kiri) dan Teuku Wisnu, mula mengenali isi hati satu sama lain semasa di set penggambaran sinetron ikonik ‘Cinta Fitri’ yang berlangsung selama tujuh musim. - Foto INSTAGRAM SHIREEN SUNGKAR

Terdapat juga sinetron ikonik yang diminati ramai, Cinta Fitri (lakonan Shireen Sungkar dan Teuku Wisnu) yang bersiaran dari 2007 hingga 2011, dengan tujuh musim dan 1002 episod.

Selain kisah percintaan di luar set penggambaran antara kededua pelakon utama menjadi bualan hangat penonton, OST bagi drama itu, Atas Nama Cinta, turut menjadi antara lagu hit penyanyi Indonesia, Rossa.

Sering kali plot bagi drama sinetron meneroka kisah percintaan antara gadis desa dengan jejaka yang datang daripada keluarga berharta sambil diselitkan cabaran harian dihadapi keluarga itu. 

Walaupun jalan ceritanya boleh dianggap bukan sesuatu di luar kebiasaan, apa yang membuat saya ‘melekat’ di hadapan skrin televisyen ialah cara lakonan yang begitu dramatik dengan setiap episod berakhir dengan satu kejadian yang mengejutkan dan menjadi satu tanda tanya bagi penonton. 

Cara si pengarah menggunakan teknik kamera dengan memaparkan ekspresi setiap pelakon hanya menerusi raut muka mereka juga membuat saya tertarik. 

Kurangnya sambutan di Singapura

Walaupun industri sinetron terus berkembang di Indonesia, ia tidak lagi begitu popular dalam kalangan penonton di Singapura mulai awal 2010-an. 

Selain saluran televisyen tempatan mula kurang menayangkan drama dari negara itu, antara penyebab utama mungkin disebabkan kehidupan warga Singapura yang sangat sibuk dan kesuntukan masa untuk mengikuti drama beratus-ratus episod lamanya. 

Terdapat juga keadaan apabila jalan cerita kelihatan seperti tidak masuk akal dan sinetron itu hanya dipanjangkan kerana ingin bermain dengan jumlah episod dan mendapatkan tontonan tinggi. 

Bagi saya, keinginan untuk melihat jalan cerita yang lebih dekat dan relevan dengan kehidupan harian masyarakat Melayu Singapura antara penyebab utama saya kurang menonton sinetron kini.

Kehadiran drama tempatan dengan konsep menyegarkan dan mengetengahkan jalan cerita yang unik seperti Rahsia Perkahwinan (2003, 2007); Interns (2015); Kisah Tok Kadi (2016); dan Kultus (2019) turut membuat saya lebih tertarik untuk menonton hasil karya tempatan.

Dengan wadah penstriman Nextflix dan Viu memasuki Singapura pada 2016, penonton mempunyai lebih banyak pilihan drama alternatif dari pelbagai negara yang boleh ditonton pada bila-bila masa.

Perubahan gaya penonton dan konsep ‘siri terhad’

Drama 10 episod Indonesia, ‘Layangan Putus’ yang dikenali sebagai ‘siri terhad’ mula disiarkan pada 2021 di wadah penstriman WeTV dan dapat ditonton di 25 negara.
Drama 10 episod Indonesia, ‘Layangan Putus’ yang dikenali sebagai ‘siri terhad’ mula disiarkan pada 2021 di wadah penstriman WeTV dan dapat ditonton di 25 negara. - INSTAGRAM LAYANGANPUTUS.MD

Dengan adanya pelbagai pilihan, cara seseorang menonton drama juga bertukar dengan ramai yang ingin tahu keseluruhan jalan cerita dalam satu sesi tontonan.

Ini dilakukan dengan ‘binge-watching’ iaitu menonton semua episod dalam satu sesi. Saya turut terjerumus dengan trend ini apabila ada drama menarik memikat hati.

Perubahan ini melihat pihak penerbitan memilih untuk menghasilkan ‘limited series’ atau ‘siri terhad’ iaitu drama dengan jumlah episod sedikit tetapi dengan jalan cerita padat.

Ini dapat dilihat dengan drama Indonesia Layangan Putus (2021) dengan 10 episod dan Gadis Kretek dengan lima episod (2023), masing-masing di penstriman WeTV dan Netflix.

Layangan Putus meraih lebih 15 juta tontonan dalam hari pertama ia ditayangkan dan dalam carta ‘trending’ buat beberapa minggu di 25 negara ia ditayangkan.

Gadis Kretek pula memasuki carta 10 teratas bagi drama bukan bahasa Inggeris di Netflix buat dua minggu berturut-turut selepas mula ditayangkan.

Memandang ke hadapan, saya melihat trend ‘siri terhad’ ini semakin berkembang bukan sahaja di Indonesia tetapi juga bagi drama tempatan dengan pihak penerbitan akan terus cuba untuk memahami kemahuan dan ragam penonton.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg