Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mas Idayu enggan ditanya punca cerai

May 22, 2025 | 5:09 PM
Malaysia, Mas Idayu, cerai
Mas Idayu memfailkan perceraian tanpa pengetahuan bekas suami selepas melakukan solat istikharah setiap malam. - Foto INSTAGRAM MASIDAYU1001

PUCHONG (Selangor): Penyanyi Mas Idayu menjelaskan perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Sufian Che Isa, bukan dibuat mengikut perasaan, sebaliknya sudah difikirkan masak-masak.

Mengulas lanjut, pemilik nama lengkap Mas Idayu Mesnun, 53 tahun, memaklumkan sebelum keputusan dibuat, beliau terlebih dahulu merujuk kepada pihak sepatutnya untuk mendapatkan nasihat, lapor Berita Harian Malaysia.

“Saya sangat sayangkan perkahwinan ini. Disebabkan itu, saya cuba mempertahankannya selama dua tahun.

“Beberapa bulan sebelum memfailkan cerai, saya rujuk kepada kadi yang nikahkan saya, ustaz dan mutawif, adakah saya layak tuntut cerai.

“Saya solat istikharah setiap malam untuk dapatkan petunjuk, malah sepanjang Rejab, saya sentiasa bersujud meminta Allah berikan jawapan.

“Cuma jangan tanya punca (perceraian) sebab saya tak nak aibkan sesiapa. Biarlah saya simpan sendiri,” katanya ditemui pada majlis pelancaran ‘single’ terbaru berjudul Air Titik ke Batu, yang berlangsung di Rusa Cafe, di sini, pada 21 Mei.

Mengimbas kembali detik perpisahan, penyanyi Robek Hatiku itu memberitahu tindakan memfailkan perceraian dibuat tanpa pengetahuan bekas suami.

“Saya tuntut cerai tak sorok-sorok, tapi tak cerita pada orang. Saya tak rahsiakan kedatangan saya ke mahkamah. Bekas suami pun tak tahu saya fail cerai.

“Beliau hanya tahu perkara ini beberapa hari sebelum diminta hadir ke mahkamah syariah.

“Tapi, saya bersyukur sebab Allah bantu tutup aib perceraian sebab tiada siapapun yang membocorkan biarpun mereka tahu saya yang failkan perceraian,” ujarnya.

Mengenai kehidupannya, Mas Idayu berkata beliau menemui kebahagiaan selepas perpisahannya.

Bagaimanapun, katanya, perasaan terkilan tetap wujud apabila konflik yang berlaku mengecewakan peminat yang menyokong perkahwinannya.

“Saya sebenarnya tak sedih tentang perceraian. Cuma, saya ralat dan kasihan kepada mereka yang menaja perkahwinan kami.

“Saya gembira sangat-sangat dan saya harap pihak sana pun begitu,” ujarnya.

Pada 5 Mei lalu, Sufian, 54 tahun, yang juga Penerbit Eksekutif saluran TV3 mengesahkan sudah berpisah dengan Mas Idayu pada 4 Mac lalu.

Terdahulu, Mas Idayu dan Sufian mendirikan rumah tangga pada September 2022.

Difahamkan, mereka saling mengenali sejak program realiti, Mentor 3, pada 2008 dan semakin akrab pada 2021.

Sebelum itu, Sufian pernah berkahwin dengan personaliti televisyen, Intan Suraya, namun bercerai dan mempunyai seorang anak.

Mas Idayu juga pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Aman Graseka pada 1997, namun bercerai pada 2006.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg