BANYAK potensi pelakon cilik Nur Zara Sofia dikesan jelitawan Maya Karin apabila mereka digandingkan bersama sebagai anak dan ibu dalam filem 'pecah panggung' Munafik 2.
Maya, 38 tahun, malah yakin masa depan yang cerah dalam dunia lakonan terbentang buat si cilik yang baru berusia tujuh tahun itu.
Cuma di lubuk hati pelakon kacukan Jerman-Melayu itu, ibu bapa pelakon-pelakon cilik seperti Nur Zara akan tetap memberi ruang buat anak mereka menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak sebaya lain.
Sebagaimana kongsinya kepada Gah! dalam pertemuan di kafe Kaw Kaw SG, baru-baru ini:
"Nur Zara memang mempunyai banyak potensi. Dia berbakat dan mempunyai masa depan cerah.
"Nalurinya sebagai pelakon juga kuat. Cuma kalau saya boleh menasihati atau mengingatkan semua ibu bapa pelakon cilik sepertinya agar tidak terlalu memerah tenaga si anak bagi tugasan lakonan.
"Silap bagi sesetengah orang tua pelakon cilik ini adalah apabila mereka menerima bermacam-macam tugas atau projek lakonan buat anak mereka sampaikan budak itu tereksploitasi.
"Ada yang umur baru 11 tahun atau 12 tahun. Mereka sudah pun terkejar-kejar ke set penggambaran sampaikan tugasan sekolah pun terabai. Kasihan lihat mereka buat kerja sekolah di set."
Menurut Maya yang ke Singapura bagi mempromosikan filem Munafik 2 di beberapa pawagam Cathay, ibu bapa harus memberi kebebasan buat si anak menikmati zaman kanak-kanaknya.
"Saya tahu ibu bapa pelakon cilik ini bangga dengan pencapaian anak mereka tetapi janganlah sampai si anak rasa tertekan dan terlalu penat sampaikan sakit. Mereka pun nak bermain dan beriadah macam teman-teman sebaya dan bukan setakat bekerja. Saya faham.
"Lagipun, walau bagaimana bagus pun si kecil ini dalam bidang lakonan, mereka tetap perlukan persekolahan dan pendidikan yang baik demi masa depan mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Maya, yang dipuji ramai kerana lakonan yang merentap tangkai hati sebagai ibu tunggal bernama Sakinah dalam Munafik 2, berkata berlakon dengan kanak-kanak, bayi dan haiwan amat mencabar buatnya.
"Saya tak menyamakan tiga gandingan ini. Namun, mereka memang tak boleh kita nak araharahkan. Mereka ikut 'mood'. Si bayi atau haiwan, kalau penat akan tidur.
"Kita nak tak nak perlu tunggu. Kalau kuda yang ditunggang tak nak lari, baiklah. Kita perlu ikut rentaknya," ceritanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg