Bekas penyanyi kumpulan Wings, Mel, tidak berhenti menyanyi tetapi lebih senang relaks dan memperlahankan kerjaya nyanyiannya bagi memberi tumpuan kepada tugas sebagai pengerusi surau.
Ini yang dikongsinya kepada laman Harian Metro sambil menambah jika ada undangan sekali-sekala, beliau akan menerimanya.
Mel, atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, 58 tahun, berkata beliau sudah tidak begitu aktif menyanyi kerana faktor usia dan kini hanya menjawat jawatan pengerusi surau yang disandang sejak 2019.
“Sebenarnya, saya sekarang pengerusi surau di kawasan Puncak Jalil sekitar Seri Kembangan, Selangor.
“Dah lima tahun dah dan komitmen sebagai pengerusi akan berakhir pada 2026 nanti. Saya pun tak fikir untuk sambung lagi.
“Cuma, semasa kita tua ini, berehatlah. Sudah, sudahlah. Nyanyi pun dah puas, penat dah. Daripada kelab (menyanyi), saya pergi majlis orang kahwin. Kemudian, kelab semula dan akhirnya jadi penyanyi rakaman.
“Maka, untuk saya kini merasakan sudah sepatutnya dan lebih baik memulakan pergi ke arah kebaikan. Relaks dan menyanyi kalau saya terima jemputan. Jika dijemput saya datang,” katanya lagi.
Mel berkata beliau juga sebenarnya tidak mahu lagi dipanggil Mel Wings, namun sampai sekarang tetap ada peminat masih menggunakan nama itu dan tak boleh nak buat apa.
“Saya bersama Wings sebagai vokalis pada 1995 dan sempat menghasilkan sebuah album, Orang Asing.
“Selepas itu, apabila saya buat keputusan keluar daripada Wings, Mus pula masuk menggantikan saya.
“Cuma, kerjaya nyanyian saya memang bersama Wings saja. Sebab, selepas keluar Wings saya memang tak pernah sertai kumpulan lain. Tapi, satu album saja dengan Wings dan tak payah rasanya pakai lagi nama Mel Wings.
“Walaupun saya tahu anggota Wings mungkin tak kisah dengan nama Mel Wings itu, tapi biarlah sekarang orang panggil saya sebagai Mel saja, cukup,” katanya yang mengakui amat mengutamakan vokal.
Mel, bagaimanapun, berbangga pencapaiannya bersama Wings agak baik apabila jualan album Orang Asing berjaya mencatat jualan sebanyak 260,000 unit sekalipun baginya beliau bukan siapa-siapa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg