Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BUAL SENI

Memperkasa Gen-M menerusi media digital

Renee Ismail, Azurah J bangun portal The Freelancers Academy bagi bolehkan freelancer kongsi masalah, bangkitkan semangat...
Jul 20, 2020 | 05:30 AM



MENJALANI hidup sebagai karyawan seni videografi dan audio bebas yang menjalankan tugas sambilan mengikut projek demi projek tidak semudah yang dibayangkan.



Di sebalik kebebasan mengurus jadual dan menjadi bos pada diri sendiri, Cik Ismarini (Renee) Ismail, 37 tahun, dan Cik Azurah Jan Che Onn Azahar, 28 tahun, akur bekerja sendirian tanpa ada yang membimbing dan memantau agak sukar.



Sungguhpun begitu, inilah haluan yang dipilih sebilangan besar anak muda khususnya golongan milenial sejurus tamat pengajian.



Mereka lebih selesa bergelar 'freelancer' (pekerja bebas) daripada terikat dengan mana-mana syarikat.



Cik Renee, lulusan Diploma Teknologi Infokom daripada Politeknik Singapura (SP), pernah bekerja di industri teknologi maklumat (IT) sebagai eksekutif projek IT.



Cik Azurah, lulusan Sarjana Muda Muzik daripada Maktab Seni Lasalle pula bergerak sebagai pekerja bebas daripada awal, tamat sahaja pengajiannya.



Namun, sudah dinamakan jodoh, mereka bertemu pada Januari tahun ini bagi berkongsi kehidupan sebagai karyawan seni bebas dan tertubuhlah The Freelancers Academy pada Mac lalu.



Institusi yang bergerak di Instagram, YouTube dan Spotify ini dijadikan ruang perkongsian ilmu dan sumber menggalas amanah dengan yakin sebagai karyawan bebas menerusi program di alam maya.



Menceritakan misi mereka, Cik Renee yang mempelajari seni videografi sendiri tanpa menghadiri kursus formal berkata:



"Kami bertemu di kafe Coffee Bean di Novena pada awal tahun ini bagi mengenali satu sama lain dan bersembang tentang kehidupan sebagai karyawan bebas.



"Memandangkan kami berdua bekerja sendiri kini, kami ingin mewujudkan ruang selamat buat karyawan bebas di Singapura dan mudah-mudahan misi ini dapat ditebarkan ke seluruh Asia.



"The Freelancers Academy memiliki misi membangun kelompok karyawan bebas yang boleh berkongsi secara selamat pengalaman atau sumber menggalas amanah masing-masing.



"Kami bermula dengan Singapura dahulu dan kemudian akan menebar sayap ke peringkat serantau. Dengan saya dan Azurah bekerjasama membangun The Freelancers Academy ini, matlamat kami ialah mempertingkat dan menyokong kerjaya karyawan bebas.



"Jadikanlah ia ruang berkongsi ilmu, pandangan dan pengalaman."



Menerusi Instagram The Freelancers Academy, dapat dilihat mereka gigih mengadakan rancangan sembang bersama individu berpengalaman yang berjaya mencatat kecemerlangan sebagai karyawan bebas dalam bidang masing-masing.



Ditanya apakah antara cabaran dan hikmah bergelar karyawan bebas, Cik Azurah pula menambah:



"Kami biasanya bekerja seorang diri dan jarang mempunyai teman untuk berkongsi atau memperhalusi idea yang dimiliki. Tiada juga panduan apabila mula-mula membina bidang kerja kami. Pendek kata, tiada mentor.



"Namun, jika dipandang dari sudut hikmahnya, kami bebas merancang masa, memiliki waktu kerja fleksibel, meraih pendapatan daripada pelbagai sumber dan mampu menjadi bos sendiri."



Antara karyawan bebas yang mencetus inspirasi buat mereka adalah tukang jahit Ken dan Lyn yang bermula sebagai tukang jahit yang berkunjung dari rumah ke rumah.



Mereka kini memiliki kedai jahit yang menyiapkan pakaian mengikut ukuran individu dan cita rasa pelanggan.



Seorang lagi karyawan yang dikenali dengan panggilan Mr Victor adalah pemuzik dan pendidik muzik bebas yang kini mampu membangun sekolah muziknya sendiri.



"Kami selalu berpesan kepada karyawan bebas agar jangan bekerja tanpa dibayar, sesuatu yang kerap berlaku dengan alasan ini demi pengalaman atau pendedahan. Usah terpedaya.



"Hanya apabila keadaan ini dapat membawa keuntungan bagi kedua-dua pihak (pekerja bebas dan orang yang menggajikan mereka), barulah ia boleh dilakukan," jelasnya lagi.



Seorang karyawan bebas, tambah Cik Renee, juga harus yakin kebolehannya setanding dengan mereka yang sudah bertahap profesional.



"Jangan juga mudah mengandaikan anda tahu apa yang pelanggan mahu. Tapi kekalkan sikap rendah hati dan jangan mudah berbangga konon anda lebih baik daripada karyawan bebas lain.



"Jangan juga buat janji manis atau janji kosong sampai tak mampu buat apa yang pelanggan mahu," katanya.



Cik Azurah pula menambah:



"Cari keseronokan dalam pekerjaan anda, bekerjasama dengan karyawan bebas lain dan belajar daripada mereka. Miliki kontrak anda sendiri apabila berurusan dengan klien.



"Ketahui nilai dan harga diri anda. Letakkan bayaran minimum bagi khidmat anda serta pantau kewangan anda. Rajin pasarkan diri anda dan khidmat yang diberi serta urus masa anda dengan baik. Bayangkan diri anda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat anda sendiri."



Dalam pada itu, kedua-dua wanita bersemangat waja ini akur bidang kerja mereka dalam videografi dan penjanaan audio ini merupakan cabang yang sering dikuasai lelaki.



"Namun, kami menganggap kaum Adam dalam bidang yang sama ini sebagai rakan kerja dan sahabat yang dapat sama-sama mewujudkan sekitaran pembelajaran yang menguntungkan sesiapa sahaja," jelas Cik Azurah.



Dua sahabat ini juga gigih memperkasa wanita lain dalam bidang videografi dan audio, melihat pada kesediaan wanita memburu ilmu memanfaatkan videografi dan podcast bagi meluah pandangan atau menguar-uarkan produk masing-masing.



Buat golongan milenial yang ingin bergelar karyawan bebas, Cik Renee menasihati:



"Belia generasi milenial harus ingat bahawa meskipun mereka memiliki kebebasan dan fleksibiliti dari segi masa, banyak disiplin diperlukan. Anda akan rasa kesunyian bergerak sendirian berhad.



"Menjadi pekerja bebas bukan buat semua orang. Tidak salah miliki kerja sepenuh masa jika itulah laluan kerjaya yang sesuai buat anda."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >