SEBAGAI penyelidik dan ahli akademik, Faris Ridzuan (gambar), 32 tahun, sering menghabiskan masa kerja membuat kajian dalam bidang sosiologi dan budaya serantau, serta membimbing mahasiswa universiti.
Dalam masa lapangnya, beliau gemar menyanyi dan bermain muzik.
Bakatnya dalam bidang muzik mendapat perhatian baru-baru ini apabila beliau memenangi pingat perak dalam Peraduan Muzik Antarabangsa Canada. Peraduan itu diadakan secara dalam talian di mana peserta diminta mengirimkan video persembahan mereka.
Sebagai meraikan pencapaiannya, lulusan kepujian kelas pertama dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan kini bertugas sebagai tutor akademik di universiti tersebut, telah meluangkan masa baru-baru ini untuk mempersembahkan sebuah lagu di studio Berita Harian.
Beliau memilih lagu Bukan Kerana Nama, lagu yang dipopularkan oleh Ramli Sarip.
Biarpun tidak pernah menerima pendidikan formal dalam bidang muzik, Faris menceburi bidang itu pada 2022 sebagai seorang penyanyi dan penggubah lagu.
"Saya berada di detik yang sesuai dalam hidup saya untuk benar-benar meneroka minat saya dalam bidang muzik.
"Pertandingan ini memberi peluang mempamerkan bakat saya di peringkat antarabangsa," kata beliau.
Faris juga boleh bermain gitar. Selain itu, beliau bukan hanya boleh menyanyi dalam bahasa Melayu bahkan boleh mendendangkan lagu Arab, Mandarin dan Perancis.
"Saya sering diundang membuat persembahan di majlis perkahwinan, tempat seperti Timbre, dan acara kebangsaan seperti Hari Migran Antarabangsa," katanya yang pernah bekerja di TikTok sebagai Pengurus Dasar Amanah dan Keselamatan.
Beliau kini juga sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam Pengajian Melayu di NUS.
Dalam masa lapangnya beliau juga gemar merakamkan persembahannya dan menyiarkan kandungan itu di TikTok dan di YouTube.
Menyusuli pencapaiannya dalam peraduan muzik antarabangsa itu, Faris telah diundang menyertai satu lagi peraduan di peringkat antarabangsa iaitu Peraduan Muzik Antarabangsa Euro Elite.
"Alhamdulillah, saya berjaya dipilih ke peringkat akhir, ujar beliau.
Saksikan persembahan Faris di wadah media sosial Berita Harian di TikTok dan Instagram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg