Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mencari makna seni: Atrez & Syed gabung genre, hadapi ancaman AI

Perubahan jejas mata pencarian penulis dan penggubah lagu
Dec 1, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi dan penerbit muzik rap, Atrez (kiri), bergabung dengan penyanyi asal Bushmen, Syed Mahdzar Al Shabab (kanan), untuk lagu bertema kerohanian ’Mencari’ yang berentak reggae-rap.
Penyanyi dan penerbit muzik rap, Atrez (kiri), bergabung dengan penyanyi asal Bushmen, Syed Mahdzar Al Shabab (kanan), untuk lagu bertema kerohanian ’Mencari’ yang berentak reggae-rap. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Industri kreatif kini merasai bahang persaingan apabila Kecerdasan Buatan (AI) mula mengambil alih tugas-tugas yang sebelum ini memerlukan kemahiran manusia, termasuk penulisan, reka bentuk, ilustrasi, muzik dan pemasaran.

Penyanyi dan penerbit muzik rap/hip hop, Muhammad Nuridris Mohamad Samshuddin, 39 tahun, atau lebih dikenali sebagai Atrez, turut terkesan.

Beliau menjelaskan bahawa perubahan ini telah menjejaskan mata pencarian penulis dan penggubah lagu sepertinya.

“Pendigitalan telah mengubah industri secara drastik. Sebelum ini artis dapat menjual album, tetapi setelah pendigitalan dan muzik berpindah ke wadah dalam talian, kami hanya dapat mengeluarkan single (lagu tunggal).

“Kini dengan AI, persaingan untuk mendapatkan perhatian bagi karya-karya baru semakin sengit,” kata Atrez yang juga memiliki sebuah syarikat pemasaran selain syarikat penerbitan muzik.

Menurut Atrez, jenama-jenama dari syarikat besar sudah mula menggunakan jingle (melodi iklan) dan pengiklanan yang dicipta (atau dipermudah) oleh AI, sekali gus meminggirkan artis dan bakat tempatan.

“AI sangat pintar. Ia menggunakan algoritma yang lebih bijak daripada manusia, malah mampu menghasilkan bunyi yang sempurna (dengan arahan/ prompt yang betul). Adakah ia mengganggu periuk nasi? Ya, mengganggu,” jelas Atrez.

Dua dunia, satu jiwa

Walaupun terpaksa akur dengan kehadiran dan persaingan AI, Atrez tidak patah semangat. Beliau baru-baru ini bergabung tenaga dengan bekas penyanyi asal kumpulan tempatan Bushmen, Syed Mahdzar Al Shahab, 53 tahun, untuk menghasilkan single berjudul ‘Mencari’.

Sungguhpun berasal dari latar belakang muzik yang jauh berbeza – Atrez cenderung kepada Rap dan Hip Hop, manakala Syed pula lebih kepada muzik reggae dan blues – mereka berjaya berpadu dalam sebuah lagu yang asalnya ditulis oleh Syed.

“Selepas saya menulis lagu itu, saya rasakan saya perlukan suara yang berbeza (dari suara saya) untuk menonjolkan lagi lagu ‘Mencari’ yang bertema spiritual.

Selain vokal Atrez yang lebih rendah, dia juga dapat menghasilkan lirik yang mendalam (bahagian rap) dan menaikkan lagi taraf lagu itu,” kata Syed.

Menggabungkan lirik puitis, rap yang bermelodi dan vokal yang menyentuh hati, penyanyi dan komposer itu berharap ‘Mencari’ dapat merapatkan jurang generasi muzik.

“Dengan menyatukan reggae dan hip hop, kami berharap mendapat sambutan dari peminat muzik dari dua dunia muzik yang berbeza,” tambah Syed yang kini anggota kumpulan Ground Nation sejak 2019. (Kumpulan Ground Nation pernah mengeluarkan dua single dalam bahasa Melayu, iaitu “Menerang Kegelapan” dan “Pemilik Hati”).

Perjalanan mencari makna

Single reggae-rap yang penuh emosi ini menceritakan perjalanan mencari makna, kebenaran, dan cinta melangkaui hawa nafsu duniawi.

Menurut Syed, penceritaan lagu itu adalah perjalanan beliau sendiri dalam mencari kebenaran dari kegelapan.

“Saya pernah hidup dalam ‘kegelapan’, dalam dunia muzik yang boleh melalaikan, bukan hanya kepada saya, tetapi kepada mereka yang mendengar juga.

Tetapi kini saya anggap muzik adalah satu alat – jika anda menggunakannya untuk kebaikan, ia akan menjadi baik, dan sebaliknya,” jelas Syed yang ingin menyampaikan mesej kerohanian melalui muzik.

Bagi Atrez pula, ‘Mencari’ adalah mengenai perjuangan beliau yang masih mencari hala tuju, matlamat hidup, impian, dan tujuan hidup.

Akan datang

Buat waktu ini, Atrez sedang bersiap untuk projek akan datang dan sedang berehat dari menganjurkan konsert.

“Saya baru sahaja menghasilkan lagu comeback (kemunculan semula) dalam projek ‘Bangkit’ yang disenaraikan dalam Singapore Book of Records, dan satu lagi projek antarabangsa melibatkan lapan negara dengan 33 penyanyi rap dalam setiap lagu.

Beberapa lagu lagi akan menyusul tahun hadapan, termasuk album baru, sambil mengimbangi perniagaan di Kuala Lumpur,” kata jejaka yang masih solo itu.

Bila ditanya sama ada beliau sudah berpunya, Atrez hanya tersenyum dan mengaku sudah ada ‘bunga’ yang menetap di taman hatinya, tetapi belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut perihal peribadinya.

‘Mencari’ boleh didengar di wadah muzik Spotify, Apple Music dan YouTube.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg