Topik diikuti
Pergi ke BHkuMengapa melasma sukar diatasi dan apakah rawatan yang berkesan?
Mengapa melasma sukar diatasi dan apakah rawatan yang berkesan?
Didorong pelbagai faktor termasuk pengaruh hormon, kulit terdedah kepada UV; perlu pengurusan dan perlindungan jangka panjang
Mengapa melasma sukar diatasi dan apakah rawatan yang berkesan?
Melasma kekal sebagai salah satu masalah pigmentasi di muka yang paling sukar ditangani kerana sifatnya yang kronik dan didorong oleh pelbagai faktor.
Selain pendedahan pada sinaran ultraungu (UV), cahaya tampak, pengaruh hormon, keradangan, pencemaran dan kecenderungan genetik turut berperanan dalam merangsang melanosit (sel dalam kulit yang menghasilkan melanin).
Pengaktifan berterusan inilah yang membawa kepada kadar berulangnya yang tinggi, walaupun selepas rawatan.
Selain itu, ketidakpatuhan terhadap rawatan juga boleh menjadi satu isu.
Salah satu tunjang rawatan adalah penggunaan pelindung matahari secara tetap setiap empat hingga enam jam, walaupun ketika berada di dalam rumah – dan kebanyakan mereka yang mengalami isu itu sukar mematuhinya.
Secara tradisi, Formula Kligman yang menggabungkan 4 peratus hidrokuinon, retinoid dan kortikosteroid – dianggap sebagai rawatan terbaik untuk melasma.
Walaupun berkesan, pakar dermatologi secara amnya hanya mengesyorkannya untuk kegunaan jangka pendek di bawah pengawasan, memandangkan kesan sampingan yang mungkin berlaku.
Ia termasuk kerengsaan, pigmentasi semula, perubahan kulit berkaitan steroid dan dengan penggunaan hidrokuinon yang berpanjangan, ochronosis (kulit bertukar warna menjadi kehitaman atau kebiruan).
Perbezaan melasma dengan pigmentasi lain
Melasma berbeza daripada jenis pigmentasi lain dari segi patofisiologi dan tingkah laku klinikalnya.
Pigmentasi berbintik pada bintik matahari terutama disebabkan oleh pendedahan UV yang terkumpul dan kelihatan sebagai lesi kecil yang jelas.
Hiperpigmentasi selepas keradangan, seperti bekas jerawat, juga berbintik, berlaku akibat keradangan kulit dan biasanya bersifat sementara.
Sebaliknya, melasma adalah masalah pigmentasi kronik yang kerap berulang, biasanya muncul sebagai tompok gelap yang besar dan sering muncul di pipi, dahi dan bibir.
Ia didorong oleh pelbagai faktor yang melibatkan pengaruh hormon, pendedahan UV dan cahaya tampak, serta keradangan kulit yang berterusan.
Kerana pencetus itu bersifat berterusan, sistemik dan persekitaran, melasma lebih cenderung berulang dan umumnya lebih sukar dirawat, memerlukan pengurusan jangka panjang dan perlindungan teliti daripada cahaya matahari.
Pencetus melasma yang kerap diabai
Kebanyakan orang menyangka melasma hanya disebabkan oleh matahari, tetapi sebenarnya ia dicetuskan oleh pelbagai faktor.
Selain UV dan cahaya tampak, haba juga boleh merangsang pigmentasi, terutama di persekitaran bandar yang panas.
Perubahan hormon kekal sebagai pendorong utama, tetapi keradangan kronik di dalam kulit turut memainkan peranan besar.
Pencemaran alam sekitar juga terbukti menyebabkan pigmentasi kulit dan satu-satunya cara untuk mengatasinya adalah dengan mengelakkan pendedahan dan menggunakan antioksidan kulit.
Faktor utama yang kurang diketahui ramai adalah proses dipanggil skin glycation, yang berlaku apabila lebihan gula terikat pada protein dalam kulit, menyebabkan tekanan oksidatif yang mencetuskan pigmentasi.
Lama-kelamaan, ini boleh menjadikan melasma lebih degil dan sukar dirawat.
Faktor utama lain adalah perintang kulit.
Apabila ia lemah atau kekurangan kelembapan, ia menjadi lebih reaktif terhadap tekanan harian seperti cahaya matahari, pencemaran, dan bahkan penjagaan kulit menjadikan pigmentasi lebih sukar dikawal.
Oleh itu, pendekatan moden terhadap melasma melangkaui sekadar menyekat melanin.
Tumpuan kini beralih kepada melindungi kulit daripada pelbagai sumber cahaya, mengurangkan tekanan dalaman seperti glycation dan keradangan, serta mengukuhkan perintang kulit bagi mendapatkan hasil lebih stabil dan berpanjangan.
Mengurus melasma
Menguruskan melasma memerlukan kesabaran, ia bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam sekelip mata, tetapi boleh dikawal dengan rutin yang betul.
Lindungi kulit daripada matahari setiap hari: Pendedahan matahari adalah pencetus terbesar melasma.
Gunakan pelindung matahari berspektrum luas (SPF 50 atau lebih tinggi) setiap pagi – walaupun pada hari berawan – dan sapukan semula jika anda berada di luar.
Gunakan penjagaan kulit yang betul secara tekal: Cari produk yang membantu mencerahkan kulit dan meratakan warna, tetapi cukup lembut untuk digunakan setiap hari.
Ketekalan adalah kunci – berhenti dan bermula semula boleh menyebabkan pigmentasi kembali.
Jaga kulit agar sihat dan lembap: Apabila perintang kulit kukuh dan terhidrat dengan baik, ia kurang cenderung menjadi radang yang boleh memburukkan lagi pigmentasi.
Lindungi diri daripada pencetus: Haba, cahaya matahari dan bahkan perubahan hormon boleh memburukkan melasma.
Laporan ini hasil tulisan Cik Letty Seah, Editor Kecantikan di Her World Singapore.
