Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mengejar impian seni selepas cecah 50 tahun

Nov 22, 2021 | 5:30 AM
SUDAH BUAT PERANCANGAN AWAL BERNIAGA: Mantan pegawai penyiasat CID, Encik Kamaruzaman Gaffar, sudah tergerak hati nak berniaga lima tahun sebelum akhirnya bersara. - Foto-foto BH oleh KHALID BABA
SUDAH BUAT PERANCANGAN AWAL BERNIAGA: Mantan pegawai penyiasat CID, Encik Kamaruzaman Gaffar, sudah tergerak hati nak berniaga lima tahun sebelum akhirnya bersara. - Foto-foto BH oleh KHALID BABA -

Memburu impian seni yang telah lama terpendam melepasi usia 50 tahun ialah nikmat terbesar dua individu berikut. Pengalaman tersebut telah membuka mata mereka terhadap dimensi hidup yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. BERITA HARIAN melaporkan kisah dua pencinta seni - seorang yang memikirkan pelan persaraan lebih awal manakala yang seorang lagi yang dahagakan ilmu seni demi memperkaya balai seni yang dikendalikannya.

Mantan DSP ghairah teroka bisnes seni lukisan khat Islam yang diminati

MERANCANG untuk persaraan jauh lebih awal dan bukan tatkala di ambang tempoh tersebut merupakan prinsip yang dipegang Encik Kamaruzaman Gaffar.

Daripada kerja lasak sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (CID) yang diselubungi suasana cemas saban hari, dia beralih menjadi usahawan seni lukisan khat dan bahan dekor keislaman kini.

Bapa sepasang kembar perempuan berusia 14 tahun itu kini gigih mengendalikan syarikat reka dan bina XL Design Build Pte Ltd yang menyediakan khidmat bahan hiasan buat masjid, pejabat dan rumah pelanggan.

Masjid Ahmad Ibrahim dan Masjid En-Naeem serta Wisma Geylang Serai (WGS) adalah antara pelanggannya.

Sedang bisnesnya dikendalikan dalam talian, untuk tidak menghampakan mereka yang ingin melihat sendiri bahan dekor itu, Encik Kamaruzaman turut mengusahakan kedai di bangunan Millage 55 Changi Road.

Di situ, pelanggan boleh meninjau dan menyentuh bahan dekor Islam dan seni khat yang dibekalkan dari Malaysia dan Turki.

Menceritakan apa yang membuatnya beralih dari dunia siasatan jenayah kepada perniagaan yang menenangkan, lebih-lebih lagi yang berteraskan kesenian Islam, dia yang berusia 56 tahun, berkata:

"Saya memasuki Pasukan Polis Singapura pada 1982. Awalnya, selepas habis sekolah menengah, saya nak elakkan diri daripada Perkhidmatan Negara (NS).

"Saya tengok gajinya rendah tetapi entah macam mana hari demi hari, saya mula tertarik kepada kerja polis sampailah saya berkhidmat selama 37 tahun. Jawatan terakhir saya sebelum bersara adalah Timbalan Superintendan Polis (DSP) di CID.

"Alhamdulillah, saya diberikan kesempatan terdedah pada kerja polis yang jauh berbeza daripada rondaan rutin. Saya antara kumpulan penyiasat pertama yang bergegas ke tapak runtuhan Hotel New World, menahan emosi melihat bangkai mayat dan serpihan nahas pesawat SilkAir MI 185 di Palembang, menangani rompakan besar dan pembunuhan ngeri.

"Orang tanya tak rasa takutkah? Saya kata alah bisa, tegal biasa. Baru-baru memanglah saspens. Dah lama-lama, sudah jadi amanah. Saya serahkan segalanya pada Tuhan.

"Namun, lima tahun sebelum bersara, saya tergerak hati untuk berniaga Memang saya boleh terus bekerja tetapi saya inginkan pertukaran udara baru. Lagi pun, kalau nak meniaga, buatlah ketika masih sihat. Saya memang meminati seni khat Islam dan dekor bermotifkan keislaman.

"Di sini, tidak banyak saingan bagi produk tersebut. Permintaan semakin meningkat dengan kesedaran ramai terhadap agama dan kecenderungan pada estetika bermotifkan Islam tetapi bekalan kurang."

Encik Kamaruzaman membuat persiapan awal sambil mengamati tugasan rakan niaganya. Antara yang diusahakan adalah mendapatkan ilmu pemasaran digital.

Justeru, tahun lalu, apabila hari persaraan tiba, Encik Kamaruzaman yang juga Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid An-Nur dan pernah terlibat dalam kerja-kerja Jawatankuasa Penduduk (RC), teruja memulakan fasa baru dalam kehidupan.

"Walaupun saya tidak tahu apa-apa tentang perniagaan, tiada salah mencuba asal sahaja hati dan minda kita terbuka untuk pelajari sesuatu yang baru. Ambil pensijilan yang perlu untuk bekalan buat usia persaraan. Jadi tak terbiar bingung dan bosan di rumah.

"Saya rasa nikmatnya sebab berniaga adalah anjuran Rasulullah saw. Kalau kita gajikan orang dan kita berkongsi rezeki dengannya, ini juga satu kebahagiaan.

"Ilmu pemasaran digital yang saya pelajari malahan amat berguna dalam era masa kini. Tidak ada batasan usia untuk pelajari sesuatu yang dianggap canggih dan menjadi sandaran ramai anak muda," kongsinya lagi.

Menurut Encik Kamaruzaman, permintaan seni khat amat tinggi sewaktu Ramadan atau musim Hari Raya.

"Antara cabaran yang dihadapi dalam perniagaan produk seni keislaman ini adalah jika produk itu merupakan bingkai berkaca dengan risiko retak atau pecah dalam perjalanan dari Malaysia ke Singapura.

"Saya juga dapati menarik apabila kami dapat gunakan produk berteraskan bahan kalsium, 'celuka', yang lebih tahan lama dan boleh dicorak mengikut kehendak pelanggan," jelasnya.

Tidakkah rindu pada tugas lama?

"Alhamdulillah, khidmat saya masih diperlukan Akademi Home Team. Saya adalah penilai bagi modul kursus siasatan. Saya hanya perlu datang ke akademi sekitar tiga hari sebulan. Kirakan, jalinan dengan kerja pegawai penyiasat masih kekal walau tidak lagi di barisan depan membongkar kes jenayah," katanya.

Cinta pada seni terus mekar, pemilik galeri seni kini genggam ijazah Sarjana Seni

PERJALANAN seni pemilik bersama balai seni Maya Gallery, Cik Masturah Sha'ari, tidak serupa dengan pelukis lain yang mengikuti pendidikan seni visual dari awal.

Beliau tamat pengajian dari Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 1992 dengan subjek utama Ekonomi dan Pengajian Melayu serta subjek sampingan Statistik.

Berbekalkan cinta pada seni dan dunia grafik, dia memperoleh Diploma Komunikasi Rekabentuk daripada Maktab Seni Lasalle pada tahun 2000 pula.

Selepas dua dekad tidak masuk dewan kuliah, Cik Masturah, 52 tahun, ibu tiga remaja, menggagahkan semangat untuk mengambil kursus Sarjana Seni dalam Sejarah Seni Asia daripada Goldsmiths, Universiti London, menerusi pengajian di Lasalle.

Baru-baru ini, harapan mendalami dunia seni sebagai memperkasa amanah selaku pemilik galeri dan anggota Jawatankuasa Pengurusan Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) tercapai dengan ijazah sarjana itu dalam tangan.

"Minat saya dalam seni dan reka bentuk bermula sejak kecil. Saya mengambil bahagian dalam peraduan lukisan kanak-kanak dan menangi beberapa anugerah.

"Walaupun arwah ayah saya, Sha'ari Tadin, yang ketika itu Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kementerian Kebudayaan (tahun 1970-an) sibuk dengan tugasannya, beliau meluangkan masa membawa saya dan adik-beradik saya yang lain ke acara kesenian.

"Saya mahu jadi seorang seniman dan belajar di Maktab Seni Lasalle. Namun, ibu bapa saya merasakan memandangkan saya berjaya dalam subjek akademik, lebih baik untuk saya lalui pengajian ke NUS.

"Bapa saya bagaimanapun berkata selepas tamat pengajian di NUS dan mempunyai pengalaman bekerja, saya boleh teruskan belajar di Lasalle," cerita Cik Masturah.

Selepas tamat pengajian di NUS, dia bekerja di Perpustakaan Pusat Rekabentuk di bawah Lembaga Kemajuan Perdagangan (TDB).

Sebagai pustakawan, dia mengurus koleksi lebih 8,000 buku, jurnal dan video.

Dia juga menulis laporan pasaran dan perindustrian buat anggota perpustakaan perniagaan.

Pengalaman di situ sudah membuatnya terbuka hati untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana suatu ketika nanti.

Namun, permohonannya bagi kursus Sarjana Pengajian Maklumat di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) ditolak berkali-kali.

"Mungkin itu adalah satu isyarat bidang pengajian maklumat bukan buat saya. Kesedaran itu adalah salah satu sebab mengapa saya 'gali' sedalamnya minat dan laluan kerjaya saya yang sebenar.

"Apabila suami saya, Jeffrey Wandly, seorang arkitek, meneruskan pengajian Sarjana Pengurusan Projek di Universiti Australia, anak sulung kami baru berusia setahun.

"Saya membantu menyunting tesisnya dan dia lulus dengan cemerlang. Saya bergurau dengannya bahawa ijazah sarjana itu adalah pencapaian saya juga!

"Melihat suami memburu pendidikan possiswazah membuatkan saya terfikir akan niat saya mengambil ijazah sarjana saya pula tetapi saya ingin fokus pada kerjaya rekaan dan membesarkan anak-anak kami dahulu," katanya.

Menurut Cik Masturah, apabila usianya mencecah 50 tahun, ia ibarat satu titik tolak untuknya memburu impian menggenggam ijazah Sarjana yang sekian lama diidamkan.

"Kami telah membangunkan balai seni kami sebaik mungkin tetapi operasi mengendalikan Maya Gallery menjejaskan kewangan kami. Anak-anak kian dewasa. Yang sulung bakal mulakan pengajian universiti.

"Suami saya berulang alik dari Singapura ke Hanoi selama lima tahun. Secara kebetulan, saya bertemu Ketua Program Sarjana Sejarah Seni Lukis Asia, Encik Jeffrey Say, apabila seorang sahabat seni meninggal.

"Beliau menekankan tentang betapa program sarjana ini akan memberi manfaat buat karyawan seni seperti saya. Beliau menggalakkan saya memohon," tambahnya.

Dengan restu suaminya, Cik Masturah mulakan pengajian setahun setengah dan menyiapkan tesis bertajuk 'Spirit of Collectivism: Malay Art Societies In Singapore, 1940's-1970's'.

Kajian ini meninjau peranan persatuan seni lukis dalam pembangunan dan amalan penggiat seni di Singapura pada tempoh seawal 1940-an lagi.

"Pada waktu itu, tumpuan diberikan pada gerakan pelukis Nanyang dari kaum Cina yang lebih menyerlah tetapi wujud juga beberapa persatuan seni lukis Melayu yang menyediakan ruang dan peluang buat pelukis Melayu berkarya.

"Sedang pelukis Cina menerima pendidikan seni mereka di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), bakat pelukis Melayu dicungkil hasil kelas seni Cikgu Aman Ahmad dan M. Sawoot di balai rakyat.

"Pelukis wanita juga membantu membentangkan asas buat persatuan lukisan seperti Apad untuk terus kekal relevan hingga ke hari ini di ambang usianya 60 tahun," cerita Cik Masturah.

Menurutnya, tesisnya menekankan bahawa pelukis Melayu dalam era awal 1940-an itu iaitu sesudah Perang Dunia Kedua, sudah giat menjana karya seni, mengajar seni lukisan dan menganjurkan pameran lukisan.

"Seperti rakan seni mereka yang berbangsa Cina, mereka juga gigih mencipta sejarah dalam dunia seni lukis. Cuma sayangnya, kurang dokumentasi tentang kerja seni mereka. Topik inilah yang ingin saya terus teroka buat rujukan untuk generasi mendatang," jelas Cik Masturah.

Dia masih ingat kata-kata arwah ayahnya iaitu 'menuntut ilmu biar sampai ke negara China'.

Ibunya, Hajah Latifah Mohd Tahir, 84 tahun, pula bangga dia dapat menyambung pengajiannya lagi demi masa depan dan buat dorongan anak-anak.

"Mak saya selalu kata, inilah harapan arwah bapa saya agar anak-anaknya menambah ilmu duniawi dan ukhrawi," jelas Cik Masturah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg