Topik diikuti
Pergi ke BHkuMikroplastik dan kecantikan: Apa kesan pembungkusan penjagaan kulit anda?
Mikroplastik dan kecantikan: Apa kesan pembungkusan penjagaan kulit anda?
Mikroplastik dan kecantikan: Apa kesan pembungkusan penjagaan kulit anda?
Kemungkinan besar majoriti produk penjagaan kulit dan kecantikan yang anda gunakan dibungkus dalam plastik.
Ramai antara kita tidak menyedari perkara tersebut, namun memandangkan perbincangan tentang mikroplastik semakin meluas dalam pelbagai aspek kehidupan, dari makanan hingga pakaian, kesan plastik terhadap produk kecantikan juga patut diberi perhatian.
Pakar dermatologi, Dr Inna Szalontay, pengasas klinik penjagaan kulit Libi & Daughters, tidak memahami mengapa kita menyapukan krim dan serum pada kulit kita yang telah disimpan dalam plastik untuk tempoh yang lama.
Beliau mempersoalkan sikap kita yang seolah-olah tidak memberi keutamaan kepada kulit, sedangkan ia merupakan organ terbesar badan yang melindungi dan memisahkan kita daripada dunia luar.
Apa kesan plastik terhadap kecantikan?
“Dari perspektif saintifik, kebimbangan utama adalah kestabilan kimia pembungkusan dan formula produk kecantikan tersebut,” jelas Dr Szalontay.
Beliau menyebut bahawa produk sering berada di rak kedai “selama bertahun-tahun” sebelum digunakan.
“Adakah anda sanggup minum air dari botol plastik yang telah berada di rak selama bertahun-tahun? Kini bayangkan, ia turut terdedah kepada matahari, haba, dan diangkut dalam lori. Dan tiada siapa yang peduli kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi zarah mikroplastik turut berpindah ke dalam produk tersebut.”
Doktor estetik, pendidik global dan pengasas Skin Medical di United Kingdom, Dr Sabika Karim, merujuk proses ini sebagai “leaching” atau penyerapan.
Dr Karim menjelaskan kesan produk terhadap plastik itu sendiri yang menyebabkan penyerapan, iaitu proses pemecahan plastik kepada mikroplastik.
Bagi Dr Karim, terdapat produk tertentu yang beliau amat menasihatkan agar tidak dibungkus dalam plastik: seperti minyak, pencuci muka berasaskan minyak, vitamin A atau retinoid dalam bes minyak, kerana ia boleh menyebabkan penyerapan bahan kimia dan merosakkan pembungkusan.
“Walaupun kulit kita adalah penghadang yang sangat baik, bahan-bahan ini masih boleh menembusi ke dalam kulit.”
Sebaliknya, Dr Karim turut mencadangkan bahawa plastik boleh menjejaskan kestabilan sesetengah bahan dalam produk penjagaan kulit, menyebabkan ia “kehilangan keberkesanan dan kekuatannya”.
Terutamanya vitamin C, bahan popular yang dapat melindungi kulit daripada kerosakan persekitaran, memudarkan kesan parut hitam serta memberikan kecerahan menyeluruh.
“Vitamin C, jika tidak disimpan dalam botol kaca biru atau coklat, cenderung menjadi tidak aktif dengan sangat cepat,” jelasnya.
Apakah risiko kesihatan yang berpotensi?
Bagi Dr Karim, risiko terbesar pembungkusan plastik untuk produk kecantikan ialah keupayaannya untuk “mengganggu sistem hormon kita”.
Beliau menjelaskan bahawa bahan-bahan itu boleh berinteraksi dengan sistem endokrin dan menyebabkan masalah hormon, termasuk isu berkaitan kesihatan reproduktif.
Malah pada dos yang sangat rendah pun, kesan kronik jangka panjang boleh mengganggu sistem endokrin.
Dr Szalontay pula menyentuh potensi kesan mikroplastik terhadap penghadang kulit.
“Terdapat bidang penyelidikan yang baharu dan menarik mengenai interaksi antara zarah plastik dan mikroplastik dengan mikrobiom kulit,” katanya.
“Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa produk dalam pembungkusan plastik tidak memusnahkan mikrobiom kulit sepenuhnya, tetapi melemahkannya dengan ketara. Ia meningkatkan tekanan oksidatif”, sesuatu yang kita cuba atasi dengan menggunakan produk penjagaan kulit pada mulanya.
“Jadi kita menyapukan sesuatu, dengan sangkaan ia memberi manfaat kepada diri kita — ada kebaikannya, namun ada juga keburukkannya. Keradangan dalaman dalam tisu turut meningkat, dan mikrobiom kulit turut berubah.”
Dr Szalontay menambah bahawa zarah plastik yang besar dapat disingkirkan melalui sistem usus kita, melalui najis, tetapi zarah mikro adalah yang paling membimbangkan kerana ia mampu melalui penghadang biologi.
“Plastik ditemui dalam susu ibu, ditemui dalam paru-paru, dalam darah dan anda tidak dapat mengeluarkannya dari situ. Ia akan menambah pelbagai keradangan dalaman yang terkumpul seiring usia kita.
“Ia tidak menyebabkan demam tinggi, kesakitan atau apa-apa gejala, ia hanya secara senyap memendekkan hayat kita dan menjejaskan kualiti kehidupan kita.” - Agensi berita.
