Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Mirage' teroka dilema manusia apabila didesak gadai prinsip

Nov 29, 2021 | 05:30 AM



SETIAP kali naskhah filem yang ditulisnya berjaya ditayang di layar perak atau wadah perkongsian video, Encik Afiq Jaafar rasa teruja dan gembira.



Ini meskipun dalam jiwanya tertanya-tanya apakah filem tersebut disampaikan dengan cara sewajarnya atau plotnya mampu memancing perhatian penonton.



Baru-baru ini, dalam tempoh pandemik Covid-19, Encik Afiq, 30 tahun, seorang penerbit kreatif di Viddsee, terlibat dalam penulisan naskhah dan arahan siri drama 'Mirage' buat platform perkongsian video itu.



'Mirage' yang dihasilkan bersama Encik Kenneth Lee, menjejak lima watak protagonis yang diuji prinsipnya apabila dilanda kesusahan hidup yang mengkaburkan pegangan moral dan hala tuju mereka.



Seorang pekerja migran dari China perlu memilih antara keluarga dengan kehidupan rakan sejawatnya, seorang pekerja Bangladesh, yang cedera dan kehilangan darah.



Seorang wanita yang tidak waras bergelut dengan nilai akhlaknya apabila dia meyakini dia layak menerima secebis kebahagiaan meskipun ia bukan miliknya.



Pelajar maktab rendah mengambil tindakan sendiri setelah mengesyaki bapanya mempunyai hubungan dengan wanita lain.



Seorang lelaki yang dipenjara kerana memecut laju kenderaannya sehingga membunuh anggota keluarganya sendiri berdepan dengan rasa bersalah yang memuncak setelah dibebaskan dan diwawancara seorang siswa sarjana dalam bidang kewartawanan.



Akhir sekali, seorang pekerja kolar biru dengan isteri yang hamil ingin bina hidup baru di Malaysia tetapi langkahnya terhenti dek bapanya yang lama terpisah, menghidap penyakit barah.



Setiap kisah yang Encik Afiq dan Encik Lee papar dalam Mirage merupakan komentari sosial mengenai situasi dengan garisan sempadan antara yang benar atau tidak mahupun hitam putihnya payah dipisahkan.



Ia bak satu ilusi optikal yang menghasilkan bayang-bayang cahaya atau logamaya (mirage).



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Encik Afiq.



SOALAN (S): Apakah yang mendorong anda menjadi karyawan filem?



ENCIK AFIQ (A): Saya adalah pencinta filem. Justeru, saya mengambil kursus filem sewaktu memasuki institusi pengajian tinggi.



Cukup menyenangkan hati saya apabila melihat hasil penulisan saya direalisasikan dalam bentuk filem di layar perak atau wadah perkongsian video.



Namun, pada masa yang sama, kadangkala timbul tanda tanya atau rasa curiga sama ada anda menyampaikan teras filem itu dengan cara terbaik atau tidak.



Bagaimanapun, pembikinan filem telah lama menjadi sebahagian perjalanan saya dalam mempelajari sesuatu yang baru. Saya harus mendakapnya dengan sesungguh hati.



S: Apakah yang membuat anda menjejak kisah lima individu ini? Apa pengajaran yang anda perolehi?



A: Melihat pada komen media sosial, kita terbiasa melabel orang sebagai berakhlak mulia atau tidak beretika.



Menerusi lima protagonis ini, dapat dikatakan kesilapan tindak-tanduk mereka boleh dianggap sebagai tidak beretika, tetapi perkaranya tidak semudah apa yang dilihat dari permukaan sahaja.



Bagi Kenneth dan saya, konsep akhlak dan etika bersifat bendalir. Tiada wira atau penjahat dalam siri drama kami. Inilah tema yang cuba kami teroka dalam siri ini.



S: Apakah cabaran menghasilkan 'Mirage'?



A: Terdapat banyak sekatan logistik kerana Covid-19, tetapi mujurlah kami mempunyai penerbit berdaya sumber yang dapat menghurai isu ini.



Dari segi aspek kreatif, cabaran terbesar adalah bagi kami mengekalkan unsur perpaduan dari awal hingga akhir siri ini.



S: Bagaimana anda melihat platform seperti Viddsee menjadi ruang buat pembikin filem Singapura menyajikan lebih banyak kerja seni?



A: Memandangkan saya adalah kakitangan Viddsee, saya melihat bagaimana pembikin filem dapat menyumbang suara mereka yang unik lagi kreatif menerusi kandungan berbeza, sama ada video berjenama atau kandungan khidmat awam.



Akhir sekali, seronok melihat bagaimana kita dapat menjana lebih banyak peluang buat pembikin filem dengan nyala rasa dan berbakat.



S: Apa harapan anda bagi persada filem Singapura?



A: Saya mengharapkan lebih banyak penghargaan buat filem tempatan, baik ringkas atau ceritera. Moga kami sebagai pembikin filem dapat menjana lebih banyak kandungan yang menarik perhatian penonton menjangkaui rantau Asia Tenggara.



S: Namakan tiga filem yang memberi impak buat anda.



A: 'Goodfellas' oleh Martin Scorsese. Ia adalah filem pertama yang menunjukkan saya betapa teknik pembikinan filem boleh menaiktarafkan pengalaman menonton.



Filem kedua adalah 'About Elly' oleh pengarah Iran, Asghar Farhadi. Ia adalah filem yang membuktikan kepada saya bagaimana drama yang ditulis dengan baik boleh memegunkan dan pada masa yang sama menakutkan, lebih daripada filem 'thriller' atau seram.



Akhir sekali, siri drama 'Dekalog' oleh pengarah Poland, Krzysztof Kieslowski, yang meneroka isu akhlak dan etika.



Ia menunjukkan saya bagaimana tema sebegini relevan bila-bila masa sahaja dan boleh membawa impak pada latar moden.



Salah satu episod drama ini malah membuka perbincangan tentang hukuman mati di Poland dan menyumbang kepada pemansuhannya beberapa tahun selepas itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >