Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Misi Nuradee sebar kesedaran demensia

Jun 04, 2021 | 05:30 AM



TIADA harta bertimbunan untuk diberi bagi meringankan beban golongan memerlukan.



Sebaliknya, yang ada merupakan bakat seni yang disyukuri, nama yang diingati dan sumbangan kecil dalam persada seni yang diharapkan dapat memancing ramai agar sudi memahami.



Inilah pegangan kumpulan dua beradik, Nuradee, apabila tampil dengan lagu Saya Ada Demensia yang dihasilkan sebagai duta kumpulan sokongan penghidap demensia dalam kalangan masyarakat Melayu, The Chapal Malay Dementia Community.



Demensia adalah sindrom luputnya daya ingatan, pemikiran, tindak-tanduk dan keupayaan seseorang melakukan kegiatan seharian, yang biasanya melanda warga emas.



Namun, ia juga boleh datang awal didorong penyakit saraf misalnya.



Kumpulan yang ditubuhkan secara rasmi pada Januari 2020 ini digerakkan Encik Rosli Anjang Al Faqir, 57 tahun, yang dikesan mengalami demensia campuran (demensia yang bermula awal dan demensia Lewy Body, atau yang berpunca daripada wujudnya protein dalam sel saraf otak) lebih sedekad lamanya.



Beliau yang pernah bertugas dalam sektor keselamatan dan mengendalikan bahan kimia dibantu beberapa pemimpin sukarela masyarakat termasuk anak saudaranya, jurutari Encik Shahrin Johry.



Encik Rosli memilih Nuradee sebagai duta bagi sama-sama menggembleng tenaga dan menghasilkan lagu memupuk kesedaran ramai tentang kondisi demensia yang kurang difahami dan kadangkala menimbulkan salah anggapan masyarakat kerana meminati kumpulan ini dan yakin mereka dapat menyebar mesej yang 'sampai' dan menyentuh jiwa ramai.



Ketika dihubungi menerusi sidang Zoom baru-baru ini, anggota Nuradee, Mohamed Noor Abdullah, 52 tahun, berkata:



"Kami sebenarnya tidak begitu mengetahui tentang kondisi demensia dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya agar kami dapat berkongsi.



"Abang saya mengalaminya. Pada ketika itu, kami tidak tahu apakah ini nyanyuk atau apakah yang meliputi tanda-tanda demensia?



"Ada orang salah anggap dan sangka pesakit demensia ini gila daripada gerak-gerinya lantas dipandang dengan rasa kurang senang.



"Apabila Anjang memberitahu kami mengenainya dan bagaimana beliau boleh berdepan dengan ujian kondisi ini pada usia muda, barulah kami mendapat secebis pengetahuan mengenainya.



"Cukup kasihan apabila memikirkan keadaan mereka yang mengalami demensia. Ada yang sampai bunuh diri dalam kekeliruan dan kecelaruan minda.



"Kami dengar daripada Anjang, ada keluarga yang dikenali mempunyai dua anggota sekali gus mempunyai demensia. Mereka perlukan pemahaman dan penjagaan yang baik."



Dengan pengetahuan yang diraih Nuradee hasil perbualan dengan Encik Rosli Anjang, maka terhasillah Saya Ada Demensia yang diharap dapat menyentuh hati mereka yang mendengar.



"Ia bukan sesuatu yang diminta. Anjang sedih dan menangis mengenang keadaannya.



"Kami tahu ada ramai orang Melayu di luar sana yang berjuang dengan demensia yang meluputkan daya ingatan mereka dan menjejas kehidupan harian.



"Kami bukan orang kaya tetapi berkat bakat yang Allah beri dan ada nama kecil dalam persada seni, maka kami ingin berkongsi tentang jerih payah mengalami demensia," tambah Mohamed Noor lagi.



Nuradee yang pernah mendendangkan lagu tema Bulan Bahasa dan kempen zakat turut dianggotai abang Mohamed Noor, Mohamed Rashid Abdullah, 54 tahun.



Menurut Mohamed Noor, mereka memang senang dengan lagu-lagu kemasyarakatan yang menghibur dan pada masa yang sama menyampaikan pesanan untuk dihadam pendengar.



"Semuanya ke arah kebaikan. Kami berharap lagu-lagu yang disampaikan akan menggerakkan usaha yang baik, melenyapkan stereotaip dan tetap menjunjung adat, tatasusila dan nilai Melayu," katanya.



Encik Rosli Anjang, dalam pada itu, bersyukur dapat melibatkan beberapa individu komited termasuk Nuradee dalam menyebar kesedaran tentang demensia.



Dengan nada sebak, beliau berkata:



"Saya mengalami demensia dan penyakit saraf Parkinson. Namun, demensia yang sudah saya alami pada usia yang sewajarnya masih aktif dikesan lewat dengan daya ingatan saya teruk terjejas.



"Hasil beberapa tinjauan yang dikendalikan institusi pengajian tinggi dan pakar perubatan, didapati jumlah penghidap demensia dalam kalangan masyarakat Melayu agak tinggi dan dijangka bertambah.



"Sebagai seseorang yang mengalami sendiri kecelaruan fikiran dek demensia dengan beberapa perkara daripada tugas saya dan ilmu yang ingin saya timba terjejas, timbul dalam hati saya ingin bangunkan kumpulan sokongan buat orang Melayu yang mengalami demensia.



"Hikmahnya, dalam saya berjuang dengan demensia, saya bertemu dengan Anggota Parlimen Kebun Baru, Encik Henry Kwek yang meminta saya duduk dalam jawatankuasa bagi mewujudkan masyarakat mesra demensia.



"Saya terlibat dalam pembikinan video malah baru juga tamat projek bersama mahasiswa guaman SMU dan Universiti Nasional Singapura (NUS) yang ingin mengutarakan perubahan dalam sistem perundangan.



"Chapal berkembang dari hari ke hari. Kami mengendalikan kunjungan ke rumah pesakit demensia. Ada juga pasukan bekas jururawat daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) yang berpengalaman menjalankan tugas kemasyarakatan bersama kami.



"Jawatankuasa kami ingin tekankan tentang cara berdepan dengan demensia dan mengesan tanda awal kondisi ini.



"Malah, rangkaian kerja kemasyarakatan saya ini turut ditebarkan kepada teman-teman Melayu di Malaysia dan Filipina. Ada yang menjadi pengasuh kepada pesakit demensia seperti ibu yang sudah tidak mengingati anaknya.



"Ada juga penggerak Kelab Heal yang memperkasa individu dengan isu kesihatan minda," ujarnya.



Keterangan lanjut mengenai pergerakan kumpulan ini boleh diperolehi menerusi laman Facebook 'The Chapal Malay Dementia Community'.




"Kami sebenarnya tidak begitu mengetahui tentang kondisi demensia dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya agar kami dapat berkongsi... Abang saya mengalaminya. Pada ketika itu, kami tidak tahu apakah ini nyanyuk atau apakah yang meliputi tanda-tanda demensia?



Ada orang salah anggap dan sangka pesakit demensia ini gila daripada gerak-gerinya lantas dipandang dengan rasa kurang senang."
- Anggota Nuradee, Mohamed Noor Abdullah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >