Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Muzikal papar kisah hidup Ogy Ahmad Daud dipentas di S'pura

Ogy, 60 tahun, nyanyi, menari dan berlakon dalam muzikal 'Wajah Rahsia Hati', kongsi kisah hidup mendewasa di sini sebelum ke M'sia
Dec 24, 2022 | 05:30 AM



TIDAK berapa lama dahulu, pelakon dan penyanyi veteran dari seberang tambak Fauziah Ahmad Daud terkejut apabila beliau menerima banyak ucapan tahniah daripada kenalan yang menyangka beliau akan naik pelamin lagi.



Fauziah, yang lebih dikenali dengan nama 'Ogy' menerima ucapan sedemikian selepas memberitahu pengikut di sosial media beliau sudah menerima pinangan dan bakal mengadakan majlis.



Namun, kata-kata itu sebenarnya seloroh semata-mata, dan beliau sekadar ingin mengumumkan pementasan muzikal kisah hidup dan kerjayanya.



'Pinangan' yang dimaksudkannya itu adalah pinangan daripada penerbit muzikal, Hafeez Harun untuk menjayakan projek bersama.



"Terus terang bila saya pos, tak sangka viral. Saya nak bergurau senda dengan netizens, kata-kata bermain dari sudut dirisik, melamar, majlis minggu depan - saya bergurau. Tak sangka gimik menjadi, tetapi saya terharu yang mendoakan bila mereka sangka saya ingin dirikan rumah tangga," kata Ogy, yang telah menjanda sejak 2003, selepas beliau berpisah dengan bekas suaminya, pelakon Eman Manan.



Bersikap rendah hati, Ogy, 60 tahun, berkata beliau berfikir panjang sebelum menerima tawaran itu kerana menganggap dirinya 'insan biasa' yang melalui pancaroba hidup seperti orang lain.



Namun, bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau juga akur, beliau enggan mensesiakan peluang berkongsi kisah hidup dengan peminat dan untuk berkembang sebagai seorang seniwati.



"Saya ingin mencabar diri saya dan meningkatkan diri saya ke satu peringkat yang lain. Dalam muzikal ini saya dikehendaki berlakon, menyanyi, menari - elemen-elemen persembahan akan dipersembahkan oleh saya sendiri - dalam usia saya yang sudah menjangkau 60 tahun. Jadi ini adalah cabaran yang saya terima dengan rasa penuh kerelaan," kata Ogy.



Ogy, yang semasa muncul di layar perak pada era tahun 1980-an, dianggap sebagai antara jelitawan industri, berbakat menyanyi dan berlakon.



Pada usia mudanya beliau pernah membintangi banyak filem dan antara yang paling melekat dalam ingatan ialah watak yang dimainkan dalam filem 'Ali Setan', 'Suara Kekasih', 'Azura' dan 'Ceritaku Ceritamu'.



Dilahirkan di Singapura kepada pasangan artis Dato' Ahmad Daud dan Datin Sa'adiah, Ogy mendewasa di sini dan menuntut di Sekolah Rendah Balestier hingga darjah lima.



Beliau menjinak-jinakkan diri dalam dunia lakonan di Singapura seawal usia 10 tahun, sebelum keluarganya berhijrah ke Kuala Lumpur.



Namun pada ketika itu, impian menjadi seorang penyanyi telah tersemat di dadanya dan pada usia 17 tahun, beliau mencetus rancangan untuk pulang ke Singapura dan mencari kerja di kelab malam di sini.



Berkongsi dengan BH, Ogy berkata beliau telah meminta kebenaran orang tuanya untuk pulang ke Singapura dan menjaga neneknya di sini. walaupun tujuan sebenarnya adalah untuk menghadiri uji bakat menyanyi.



'Saya ada banyak kenangan manis di Singapura," kata Ogy.



Menambah, beliau berkata akan berkongsi banyak lagi kisah dan rahsia hati peribadi menerusi muzikal nanti, terutama dalam tempoh sejurus kejatuhan Shaw Brothers di Jalan Ampas yang menjejaskan periuk nasi keluarga seni.



"Selalunya orang akan berkongsi melalui autobiografi buku - tetapi saya ingin mengambil pendekatan yang berbeza. Saya ingin peminat tahu siapa Fauziah Ahmad Daud yang sebenarnya. Saya manusia biasa dan saya juga ada perasaan. Ini adalah sebuah muzikal dari perspektif saya sendiri - bukan saya di kaca tv atau di radio," ujarnya.



Muzikal yang berjudul 'Wajah Rahsia Hati' itu dijadual dipentaskan di Gateway Theater di Bukit Merah pada 16 Februari nanti.



Ia diterbitkan oleh DStar Management, yang diwakili Hafeez, sebagai penerbit eksekutif.



Hafeez, seorang dejay radio yang lebih dikenali sebagai Hafeez Glamour berkata beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk 'melamar' Ogy setelah menonton sebuah persembahan teater monolog sekitar 1996.



"Memang impian saya ingin mementaskan sebuah muzikal. Saya gembira akhirnya mendapat peluang ini, dalam skala yang besar seperti ini, dibintangi oleh Ogy sendiri, saya amat teruja sekali."



Muzikal ini turut akan dijayakan oleh penyanyi setempat Hazrul Nizam dan Fuad Rahman, yang baru-baru ini melangkah ke pusingan lanjut peraduan adu bakat Gegar Vaganza di Malaysia; pemuzik Mansor Mohamed dan guru vokal Cikgu Siti Hajar Ismail.



Tiket berharga antara $78 dengan $148 boleh diperolehi daripada laman ticketmaster.sg.




"Selalunya orang akan berkongsi melalui autobiografi buku - tetapi saya ingin mengambil pendekatan yang berbeza. Saya ingin peminat tahu siapa Fauziah Ahmad Daud yang sebenarnya. Saya manusia biasa dan saya juga ada perasaan. Ini adalah sebuah muzikal dari perspektif saya sendiri - bukan saya di kaca tv atau di radio."
- Fauziah (Ogy) Ahmad Daud.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >