Majlis Seni Kebangsaan (NAC) melancarkan pelan induk lima tahun, Pelan Seni SG Kita (2023-2027), yang memberi tumpuan kepada tiga teras strategik yang akan mencorak masa depan persada seni di Singapura.
Pembentangan dibuat NAC pada Selasa itu menyaksikan ‘Masyarakat Yang Berkait Rapat’ dijadikan teras utama untuk rakyat berbilang kaum di sini berpaut pada perkongsian seni dan budaya.
Ini bersandarkan pada konsep ‘Kota Tersendiri’ – yang diadakan sebagai teras kedua di mana ruang yang ada bermaya dengan seni, menjadikan Singapura sebagai negara yang dicintai dan destinasi menarik buat pengunjung asing.
Teras ketiga menjurus ke arah membangun ‘Ekonomi Kreatif’ di mana sektor seni dikuasai kecemerlangan, inovasi dan kerjasama akrab dengan industri kreatif lebih besar menerusi kerjasama, data dan wawasan, teknologi dan inovasi.
Di bawah tiga teras ini, lapan inisiatif turut dibentangkan NAC merentasi sektor seni, gaya hidup, masyarakat dan teknologi, antara lain, sebagai contoh bagaimana setiap orang berperanan dalam mencorak persada seni Singapura akan datang serta kemajuannya dalam tempoh lima tahun mendatang.
Pelan Seni SG Kita ini dilancarkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, dalam satu acara di Pusat Ekspo dan Persidangan Sands. Ia adalah hasil pertemuan dan perbincangan bagi mendapat maklum balas daripada 16,500 individu berkepentingan dalam bidang seni di Singapura.
Antara inisiatif yang diperkenalkan meliputi usaha NAC bekerjasama dengan Lembaga Warisan Negara (NHB), Arts House Limited (AHL), Galeri Nasional Singapura dan Esplanade – Teater Di Persisiran dalam membangun wadah digital sehenti, Catch, bagi menjana kandungan seni dan budaya.
NAC juga bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam tempoh tiga tahun mendatang untuk menggalak masyarakat bersama-sama mengusahakan projek seni di ruang awam seperti estet perumahan dan pengangkutan berulang-alik yang dipanggil Lively Places Program (Program Tempat Meriah).
Ada juga usaha menghidupkan ruang ulang-alik pengangkutan dengan muzik, puisi dan persembahan seniman jalanan hasil kerjasama NAC dan SMRT dengan bermulanya kempen gerakan Hear65, I Play SG Music, yang meraikan muzik dan artis tempatan.
Memasuki alam maya pula, Perikatan Institusi Seni, Alliance For Action (Afa) atau Pakatan Untuk Tindakan akan menggerakkan Projek Arts Metaverse bagi menyediakan sekitaran sokongan buat pertubuhan seni mengusahakan inovasi, bereksperimen, menguji dan mempelajari cara kekal aktif dan yakin berseni dalam berdepan dengan gangguan teknologi mendatang.
Usaha membangun tenaga seni yang berkemahiran bagi menyokong Ekonomi Kreatif juga digerakkan menerusi pelaksanaan Rangka Kerja Kemahiran bagi Seni (Pendidikan Seni dan Teater Teknikal dan Penerbitan) yang juga tertumpu pada usaha menaik taraf kemahiran penggiat seni yang bekerja sendiri.
NAC juga bekerjasama dengan Esplanade bagi program Performing Arts x Tech Lab yang memperjuangkan inovasi dalam seni pementasan yang digabungkan dengan penggunaan teknologi. Akhir sekali, usaha memperluas jangkauan seni turut dimeterai hasil kerjasama dengan Mediacorp dan Marina Bay Sands serta Singapore Airlines.
Kata Encik Tong: “Seni mempunyai peranan penting dalam memupuk masyarakat yang berkait akrab dan memperkuat lagi dinamisme dan semarak Singapura - ia mempunyai kuasa menyatukan masyarakat kita dan membawa kita berpaut pada identiti teras warga Singapura. Kita akan terus menggalak kerjasama dalam lingkungan sektor seni dan merentasi dengan industri berkaitan agar aliran idea dan bakat dapat mempertingkat masyarakat kita secara menyeluruh.
“Kami berharap seni dapat terus berkembang dengan idea, tema dan bentuk estetik baru dengan kerja ini secara kolektif mencetus inspirasi dan memperkaya kita sebagai sebuah masyarakat. Pelan Seni SG Kita (2023-2027) lebih daripada pelan tindakan dasar mengenai apa yang kita harap dapat capai. Ia adalah kenyataan berupa kepercayaan dalam kuasa seni memupuk kreativiti, menerapkan rasa kekitaan, menyatukan manusia dan membezakan Singapura secara global.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NAC, Encik Low Eng Teong, pula menambah, selain melabur untuk sumber dalam industri dan pembangunan penonton, NAC kekal komited membangun bakat artistik dan akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan merentasi sektor awam, swasta dan rakyat.
Ini akan dilakukan menerusi kerjasama yang dijalin dan memanfaatkan teknologi bagi membolehkan seniman dan pertubuhan seni memacu kecemerlangan artistik dan membawa seni Singapura kepada penonton tempatan dan antarabangsa.
Laporan lanjut di Muka 9
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg