Bermula sebagai satu aktiviti meluangkan masa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 di Malaysia, pelakon Nadia Aqilah Bajuri tidak menyangka bakal meluaskan perniagaan minyak cili yang dihasilkan beliau.
“Saya sebenarnya sering membuat minyak cili ini kerana saya suka bahan perasa. Memang saya tidak menggunakan gula putih dalam resipi saya kerana arwah ayah saya ada kencing manis.
“Arwah ayah saya memang pandai memasak. Justeru, saya mengambil masa hampir setahun untuk mendapatkan resipi yang terbaik sambil memastikan mutu bahan-bahan yang digunakan,” kongsinya yang berniaga dengan jenama NAB Delish.
Nadia berkongsi selepas PKP, beliau berhenti menjual minyak cili itu kerana kembali aktif berlakon tetapi tergerak hati untuk menceburi bidang perniagaan dengan lebih serius selepas dipelawa oleh rakan baiknya, pelakon Nadiya Nisaa, untuk bekerjasama.
“Nadiya ajak saya berniaga semasa Ramadan dan saya tergerak hati untuk berniaga semula secara sambilan.
“Saya sangat bersyukur ramai yang menyukainya dan terima tempahan berulang,” kongsi Nadia yang ditemui di reruainya yang dikongsi bersama pelakon Nabila Huda semasa acara Malaysia Fest 2024 di Singapore Expo pada Julai.
Mereka bertiga turut membuka reruai bersama di Bazar Gemilang Kampong Glam semasa Ramadan 2024 di Singapura, di mana Nadiya Nisaa menjual kuah kacang segera dan Nabila menjual sambalnya.
Mengakui terdapat cabaran apabila baru memulakan perniagaan, Nadia bersyukur mendapat sokongan daripada keluarga dan terbuka untuk memperbaiki produknya.
“Pada mulanya saya gunakan botol plastik yang tidak sesuai sehingga minyak cili itu bocor. Saya juga perlu fikirkan saiz botol yang sesuai kerana tidak mahu menjual pada harga yang terlalu tinggi.
“Terdapat banyak yang perlu saya belajar tetapi saya rasa ia sebahagian daripada proses berniaga,” katanya.
Bergerak ke hadapan, Nadia cuba untuk membahagikan tugasan kepada pasukannya.
“Saya mahu lakukan semuanya sendiri jika boleh. Namun saya sedar saya perlu bantuan daripada pasukan saya,” tambah Nadia yang turut menjual ikan bilis rangup.
“
Saya sangat bersyukur ramai yang menyukainya dan terima tempahan berulang... Terdapat banyak yang perlu saya belajar tetapi saya rasa ia sebahagian daripada proses berniaga. Saya mahu lakukan semuanya sendiri jika boleh. Namun saya sedar saya perlu bantuan daripada pasukan saya.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg