Jenama dari Korea Selatan, Wiggle Wiggle, yang dikenali dengan rekaan retro dan ceria, kini membawa peminat jenama itu ke ‘udara’ menerusi lima kapsul bertema khas di Singapore Flyer.
Dari 23 Mei hingga 28 September, pengunjung boleh menikmati satu pusingan sepanjang 30 minit di dalam kapsul berwarna-warni yang direka oleh jenama, Wiggle Wiggle, ditemani watak Merli, ikon Merlion.
Tiket termasuk dua baucar diskaun dan akses melalui ruang istirahat ‘VIP’.
Di darat, kunjungi kedai ‘pop-up’ dan kedai cenderamata yang menawarkan barangan edisi terhad hasil kerjasama, Wiggle Wiggle x Singapore Flyer.
Anda juga boleh bergambar dan menyertai kegiatan interaktif yang lain di situ.
Tarikh: 23 Mei hingga 28 September
Masa: 10 pagi hingga 7 malam (kemasukan terakhir 6.30 petang)
Tempat: Singapore Flyer, 30 Raffles Ave, Aras 3
Buat julung-julung kalinya, Festival Dikir Singapura akan diadakan bagi meraikan lebih 50 tahun sejarah dikir barat di negara ini.
Sejak 1970-an, seni itu berkembang sebagai wadah ekspresi budaya dan sosial dalam kalangan masyarakat Melayu tempatan.
Festival itu menampilkan pelbagai acara seperti bengkel, persembahan, forum panel, dialog serta sesi perkongsian yang bertujuan memperdalam kefahaman terhadap warisan dikir barat.
Di samping meraikan seni tradisi, festival itu turut menggalakkan perbincangan tentang makna dan peranan dikir barat dalam landskap moden dan berbilang budaya Singapura hari ini.
Tarikh: 28 Jun
Masa: 10 pagi hingga 7 malam
Tempat: Wisma Geylang Serai
Bayaran: Masuk percuma (pendaftaran diperlukan untuk program tertentu)
Layari laman web, https://go.gov.sg/fds2025 untuk pendaftaran dan maklumat lanjut.
Paparkan keunikan Geylang Serai menerusi seni lakaran spontan dalam sesi, Street Sketching, anjuran Artspot Geylang Serai bersama Wisma Geylang Serai dan Kamal Arts.
Peserta akan dibimbing artis, Pocholo Issa Eztremoz, yang akan memperkenalkan teknik melakar suasana jalanan penuh warna.
Sesi itu terbuka kepada semua yang berminat meneroka kreativiti sambil mengenali persekitaran budaya Geylang Serai melalui perspektif tersendiri.
Tarikh: 29 Jun
Masa: 10 pagi hingga 12 tengah hari
Tempat: Persada Budaya, Wisma Geylang Serai
Pautan pendaftaran: www.kamal.sg/artspot
Jewel di Lapangan Terbang Changi bertukar menjadi ‘litar perlumbaan’ ikonik Rainbow Road daripada siri permainan, Mario Kart.
Dari 25 April hingga 24 Julai, pengunjung boleh melawati pelbagai pemasangan interaktif yang menampilkan watak seperti Mario dan Luigi di sekitar Forest Valley dan Rain Vortex.
Selain itu, kunjungi juga kedai ‘pop-up’ Nintendo (Aras 4) untuk merebut peluang memenangi hadiah menarik melalui gachapon – mesin kapsul Jepun yang menawarkan hadiah pada setiap cubaan.
Pengunjung boleh mendapatkan token gachapon percuma dengan memuat naik foto di lokasi tertentu, menggunakan tanda pagar #JewelCircuitChallenge di media sosial.
Hadiah termasuk baucar beli-belah, tiket masuk Canopy Park dan barangan eksklusif.
Promosi tertakluk kepada terma dan selagi stok masih ada.
Tarikh: 25 April hingga 24 Julai
Masa: 10 pagi hingga 10 malam
Tempat: Jewel di Lapangan Terbang Changi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg