SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Nak buat apa dengan duit Raya anak? Pakar kongsi panduan

Nak buat apa dengan duit Raya anak? Pakar kongsi panduan

Ibu bapa main peranan sebagai contoh teladan bentuk tabiat kewangan sihat
Apr 2, 2026 | 5:30 AM

Nak buat apa dengan duit Raya anak? Pakar kongsi panduan

DNA, duit raya, urus kewangan, financial management
Cik Lily Khairunnisa Johari (tengah), ibu kepada tiga anak dan juga seorang pendidik kekayaan, berpendapat bahawa duit Raya merupakan peluang untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada cara mengurus kekayaan pada usia awal. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila anak beliau memberitahunya tentang bagaimana dia menerima duit ketika mengutip derma di masjid sebelum solat Jumaat bermula, Cik Lily Khairunnisa Johari, menggunakan pengalaman itu untuk mengajarnya tentang nilai amalan tersebut.

Ibu tiga anak itu menjelaskan bahawa setiap kali anaknya memberi wang sebagai derma, ia sebenarnya menggandakan nilai wang yang diderma itu dan kini kembali kepadanya dalam bentuk hadiah yang tidak dijangka.

“Dengan mengaitkan tindakan menderma sebelum ini dengan ganjaran tidak dijangka itu, saya sebenarnya menekankan bahawa menderma tidak menyebabkan wang yang kita miliki berkurang.

“Tetapi ia sebahagian daripada kitaran, yang mana wang itu akan kembali (kepada kita) pada masa depan,” jelas Cik Lily, 38 tahun, seorang pendidik pengurusan harta, yang membantu membina sistem kekayaan untuk individu dan perniagaan.

Begitu juga tradisi tahunan duit Raya yang memberi peluang untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada konsep pengurusan wang.

Menurutnya, duit Raya bukan sahaja wang untuk dibelanjakan kanak-kanak, malah ia adalah peluang untuk memperkenalkan mereka kepada cara mengurus kewangan pada usia awal.

Menyentuh tentang panduan pengurusan wang bagi kanak-kanak, Cik Lily menggalakkan penggunaan nisbah 1-2-2.

Ini bermakna satu bahagian diperuntukkan untuk menderma, manakala baki empat bahagian dibahagi antara perbelanjaan dengan pertumbuhan wang seperti pelaburan.

Memberi contoh, beliau berkata jika anak mempunyai $5, galakkan mereka untuk derma $1.

Anak kemudian boleh membelanjakan $2 untuk membeli apa mereka mahu, manakala baki $2 disimpan dalam bank atau digunakan untuk pelaburan, katanya.

Cik Lily menjelaskan bahawa pendekatan itu membantu kanak-kanak memahami bahawa wang bukan sekadar untuk dibelanjakan, bahkan perlu diurus dengan tujuan.

“Apabila kanak-kanak belajar memberi atau menderma, mereka juga belajar tentang keberkatan dan bagaimana wang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

“Pada masa sama, perbelanjaan juga penting untuk membina rasa pemilikan terhadap wang.

“Ini kerana tabiat menyimpan wang secara ekstrem tanpa ruang untuk berbelanja boleh menyebabkan ketakutan menggunakan wang pada masa depan,” tambahnya.

Untuk membantu kanak-kanak mengurus wang, pendidik pengurusan harta, Cik Lily Khairunnisa Johari, menyarankan penggunaan nisbah 1-2-2, iaitu satu bahagian diperuntukkan untuk menderma, manakala baki empat bahagian dibahagi antara perbelanjaan dengan pertumbuhan wang.
Untuk membantu kanak-kanak mengurus wang, pendidik pengurusan harta, Cik Lily Khairunnisa Johari, menyarankan penggunaan nisbah 1-2-2, iaitu satu bahagian diperuntukkan untuk menderma, manakala baki empat bahagian dibahagi antara perbelanjaan dengan pertumbuhan wang. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Encik Qayyim Isa, pengasas dan pengarah perkhidmatan kewangan Taqwa, wakil bagi syarikat penyedia insurans, AIA Singapore, pula memberi penekanan kepada nilai dan sikap terhadap wang.

Beliau menggalakkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak mereka membuka sampul duit Raya serta-merta, sebaliknya menangguhkannya sebagai latihan kesabaran dan penghargaan.

Menurutnya, pendekatan itu membantu kanak-kanak memberi tumpuan kepada niat pemberi, dan bukan jumlah yang diterima.

Encik Qayyim turut menekankan perbezaan antara keperluan dengan kehendak seorang anak, dengan menyatakan bahawa ibu bapa bertanggungjawab memenuhi keperluan asas anak, manakala kehendak anak perlu dibiayai sendiri oleh mereka.

Beliau mencadangkan sekurang-kurangnya separuh daripada duit Raya disimpan, manakala selebihnya boleh digunakan untuk membeli perkara yang diinginkan.

“(Pemilikan) wang hanya mencerminkan siapa diri kita, dan saya rasa pendidikan kewangan perlu menekankan nilai seperti kerja keras dan keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan,” nasihat Encik Qayyim.

Menurut pengasas dan pengarah perkhidmatan kewangan Taqwa, Encik Qayyim Isa, penting untuk mengenal perbezaan antara keperluan dengan kehendak seorang anak sebelum membuat keputusan tentang cara wang mereka harus dibelanjakan.
Menurut pengasas dan pengarah perkhidmatan kewangan Taqwa, Encik Qayyim Isa, penting untuk mengenal perbezaan antara keperluan dengan kehendak seorang anak sebelum membuat keputusan tentang cara wang mereka harus dibelanjakan. - Foto ihsan QAYYIM ISA

Di samping itu, Sheikh Muhammad Said Omar, pengurus kanan perkhidmatan kewangan di AI Financial, wakil kepada syarikat insurans Manulife, mencadangkan pendekatan yang lebih berstruktur mengikut peringkat usia.

Bagi kanak-kanak di bawah enam tahun, beliau menyarankan ibu bapa mengawal sebahagian besar duit Raya anak, dengan hanya 10 hingga 20 peratus dibenarkan untuk perbelanjaan segera.

Bakinya pula boleh disimpan untuk matlamat jangka panjang seperti pembelian barangan bernilai tinggi atau keperluan pendidikan.

Apabila kanak-kanak meningkat ke peringkat sekolah rendah dan menengah, saranan beliau adalah untuk ibu bapa memperkenalkan peraturan 50-30-20 sebagai panduan mudah mengurus wang.

“Di bawah pendekatan ini, 50 peratus diperuntukkan untuk wang simpanan; 30 peratus untuk perbelanjaan keperluan; dan 20 peratus untuk perbelanjaan kehendak.

“Ini sekali gus membantu kanak-kanak memahami aliran wang secara lebih tersusun,” terangnya.

Pengurus kanan perkhidmatan kewangan AI Financial, Sheikh Muhammad Said Omar, mencadangkan ibu bapa agar mengurus dan membimbing penggunaan duit Raya anak mengikut peringkat usia melalui pendekatan yang berstruktur.
Pengurus kanan perkhidmatan kewangan AI Financial, Sheikh Muhammad Said Omar, mencadangkan ibu bapa agar mengurus dan membimbing penggunaan duit Raya anak mengikut peringkat usia melalui pendekatan yang berstruktur. - Foto ihsan SHEIKH MUHAMMAD SAID OMAR

Dalam dunia yang dipengaruhi media sosial dan tekanan rakan sebaya, Sheikh Muhammad Said turut menekankan kepentingan memahami perbezaan antara keperluan dengan kehendak.

“Sebagai contoh, telefon mungkin satu keperluan untuk berkomunikasi, tetapi peranti permainan adalah kehendak,” katanya.

Para pakar turut memberi amaran bahawa kegagalan ibu bapa berbincang tentang wang dengan anak pada usia awal boleh menyebabkan mereka membesar tanpa hala tuju kewangan yang jelas.

Dalam konteks ini, ketiga-tiga pakar bersetuju bahawa peranan ibu bapa sebagai contoh teladan adalah kunci utama bagi kanak-kanak membentuk tabiat kewangan sihat sejak kecil.

Cik Lily mengibaratkan keadaan itu seperti arahan keselamatan dalam kapal terbang, yang mana ibu bapa perlu “memakai topeng oksigen sendiri” terlebih dahulu sebelum membimbing anak-anak.

“Ibu bapa perlu membina dan mengukuhkan sistem kewangan mereka sendiri terlebih dahulu.

“Dengan mengamalkan tabiat kewangan baik dan memahami bagaimana sistem itu memberi manfaat kepada diri mereka, ibu bapa dapat menjadi contoh berkesan dan menurunkan nilai tersebut kepada anak mereka,” jelas Cik Lily.

“Apabila kanak-kanak belajar memberi atau menderma, mereka juga belajar tentang keberkatan dan bagaimana wang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Pada masa sama, perbelanjaan juga penting untuk membina rasa pemilikan terhadap wang.”
Cik Lily Khairunnisa Johari, pendidik pengurusan harta.

“(Pemilikan) wang hanya mencerminkan siapa diri kita, dan saya rasa pendidikan kewangan perlu menekankan nilai seperti kerja keras dan keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan.”
Encik Qayyim Isa, pengasas dan pengarah perkhidmatan kewangan Taqwa.

“Di bawah pendekatan ini (50-30-20), 50 peratus diperuntukkan untuk wang simpanan; 30 peratus untuk perbelanjaan keperluan; dan 20 peratus untuk perbelanjaan kehendak. Ini sekali gus membantu kanak-kanak memahami aliran wang secara lebih tersusun.” 
Sheikh Muhammad Said Omar, pengurus kanan perkhidmatan kewangan di AI Financial.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg