Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nama Madhuri Dixit jauh lebih besar daripada ‘hero’ Bollywood

Madhuri terima bayaran lebih daripada Salman Khan
Jul 1, 2024 | 5:30 AM
Madhuri Dixit tidak pernah meremehkan kebolehan individu lain bahkan pernah bekerja dengan pengarah baru, Soumik Sen, yang menghasilkan filem bajet rendah, ‘Gulaab Gang’, dengan banyak watak wanita perkasa.
Madhuri Dixit tidak pernah meremehkan kebolehan individu lain bahkan pernah bekerja dengan pengarah baru, Soumik Sen, yang menghasilkan filem bajet rendah, ‘Gulaab Gang’, dengan banyak watak wanita perkasa. - Foto INSTAGRAM MADHURI DIXIT

Dengan senyuman manis yang terukir di bibirnya, Ratu Bollywood, Madhuri Dixit, mampu memikat perhatian ramai yang menyaksikannya di layar perak ataupun kaca televisyen.

Madhuri yang baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-57 pada 15 Mei lalu, dianggap pelakon serba boleh yang boleh membawa watak janda penuh dendam kesumat mahupun gadis desa yang teraniaya suatu ketika dahulu.

Beliau dianggap pelakon berani kerana tidak gentar melakonkan babak intim dan mesra dengan legenda Bollywood yang jauh lebih berusia seperti Vinod Khanna dalam filem Dayavan meskipun dikecam.

Pendek kata, wanita kelahiran Bombay, Maharashtra di India ini, dianggap wirawati Bollywood yang memiliki nama lebih besar daripada ‘hero-hero’ layarnya bahkan diberi pendapatan lebih tinggi daripada Salman Khan.

MADHURI TELADAN BAGI RAMAI PELAKON

Sempena hari lahirnya, laman The Indian Express menyingkap semula siapa Madhuri di kaca mata ramai.

Pada tahun 1980-an dan 1990-an, namanya bermain di bibir ramai karyawan dan pencinta filem Bollywood.

Dalam dunia perfileman yang dikuasai pelakon lelaki, Madhuri diingati sebagai tokoh dan ikon wanita Bollywood yang disegani hingga ke hari ini dengan pencapaian enam Anugerah Filmfare dan Anugerah Kebanggaan Nasional India, Padma Shri pada 2008.

Wartawan Amrita Prasad menganggap Madhuri sebagai menakjubkan dalam filem 1988, Tezaab, di mana beliau membawa watak wanita muda bernama Mohini yang berani memperjuangkan cinta di sebalik kemiskinan.

“Saya juga terkesan dengan watak yang digalas Madhuri, Chandramukhi, dalam Devdas (2002). Beliau memecahkan tembok stereotaip dengan menggabungkan ciri-ciri wanita penuh empati dan kekuatan semangat, berbeza dengan watak wanita peneman orang kaya yang selalu diketengahkan dalam filem Bollywood lama,” jelas Amrita.

Apa yang membuatkan ramai mengagumi Madhuri adalah kerana kesediaannya mengambil risiko dan menentang jangkaan orang ramai.

Pada 1989, beliau mencapai kejayaan filem ‘pecah panggung’ pertamanya, Ram Lakhan, yang mengisahkan tentang dunia samseng.

Kemudian, pada 1991, Madhuri terperangkap dalam kisah cinta tiga segi, Saajan, di samping filem tentang ketenteraan dan korupsi, Prahaar.

Penonton filem juga mengingati Madhuri sebagai penari buta dalam filem Beta.

Si manis ini sentiasa menyentuh jiwa ramai dengan paparan watak yang diselubungi masalah tetapi sentiasa berjaya keluar daripada kepompong kedukaannya.

Beliau sentiasa berusaha mencuba kelainan seperti dalam filem Gulaab Gang pada 2014, yang turut dilakonkan Juhi Chawla.

Madhuri mampu membawa watak wanita garang yang boleh menumpaskan lawan dengan sepak terajangnya.

Beliau tidak pernah bermegah bahkan menerima seadanya peluang bekerjasama dengan pengarah baru ketika itu, Soumik Sen, dalam filem aksi berbajet rendah itu.

“Saya memilih untuk menjayakan Gulaab Gang sebab terfikir pernah tak saya jayakan filem Bollywood di mana ramai watak utamanya adalah wanita?

“Saya rasa peranan yang diberi menarik sebab ia mengubah kebiasaan dalam filem Bollywood. Ia ibarat saya melontar boling dan semua pin boling ‘terbang’ ke udara. Seronok!” kongsi Madhuri dalam sidang media Gulaab Gang.

Ada masanya, kerjaya filemnya merudum tetapi beliau cepat bangkit melalui filem ‘pecah panggung’, Dayavan, Tezaab, Tridev, Parinda dan Ram Lakhan, yang datang silih berganti.

Sembilan filemnya berjaya pada 1989 manakala 10 filem pula di tangga teratas pada 1990.

Ini bererti beliau bukan sahaja menandingi tarikan semberani gandingannya (semuanya lelaki) di samping berupaya meminta bayaran lebih daripada pihak penerbitan.

Bahkan, dalam filem Beta, Madhuri kelihatan jauh lebih menyerlah daripada hero filem itu, Anil Kapoor.

Watak Madhuri selaku wanita yang berani mencabar ibu mentuanya menjadi daya tarikan filem ini di samping babak menari mengikut irama seksi, Dhak Dhak.

Dilaporkan bahawa Anil sendiri rasa tersisih kerana Madhuri lebih dipuja dalam filem tersebut.

Penganalisis dagangan filem, Arnod Mehra, memberitahu laman The Caravan, status ‘superstar’ Madhuri nampak ketara selepas menjayakan filem percintaan remaja, Dil, bersama Aamir Khan, seorang pelakon yang gagal menunjukkan kebolehannya pada masa itu dengan banyak filem ‘mendak’.

“Pada masa itu, ramai penerbit dan pengarah risau. Pelakon lelaki pun takut dengan Madhuri sebab watak wanita perkasa yang sering diberikan kepadanya. Wanita berpemikiran bebas dan bijak serta berani menentang lelaki,” jelas Arnod.

Madhuri dikagumi ramai termasuk Raja Bollywood, Shah Rukh Khan, yang bekerjasama dengannya dalam Devdas, Dil Toh Pagal Hai dan Hum Tumhare Hain Sanam.

“Madhuri adalah teladan buat ramai pelakon Bollywood. Pemikirannya baik, daya tahan emosinya kuat dan beliau sering meyakini apa yang dilakukannya baik buat industri filem Bollywood.

“Ciri-ciri ini membezakannya daripada pelakon wanita lain. Madhuri adalah satu-satunya bintang yang sering membuatkan saya rasa ada perkara yang masih belum lengkap dalam diri saya sebagai pelakon. Beliau lebih ternama dan berbakat daripada saya,” kongsi Shah Rukh dalam satu wawancara bersama laman Filmfare.

Walaupun pernah berhenti berlakon seketika demi membina rumah tangga bersama pakar bedah, Dr Shriram Nene, Madhuri kembali ke layar perak dengan filem Aaja Nachle pada 2007.

Beliau masih lagi berlakon dalam filem atau drama untuk wadah penstriman dan menjadi pengadil peraduan realiti menari.

Madhuri yang ditemukan bakatnya pada usia ‘si manis 17’ oleh pengarah Subhas Ghai membuktikan beliau berupaya menyesuaikan dirinya untuk kekal relevan dalam industri filem yang pesat berubah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg