SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Nenek 47 tahun dengan enam cucu dinobat 'Grandma Universe 2023'

Nenek 47 tahun dengan enam cucu dinobat 'Grandma Universe 2023'

Feb 2, 2023 | 6:08 PM

Nenek 47 tahun dengan enam cucu dinobat 'Grandma Universe 2023'

Foto BH oleh CHONG JUN LIANG
Foto BH oleh CHONG JUN LIANG -

GETARAN muzik kedengaran di dalam dewan ballroom bersalut emas Hotel Montecito di ibu kota Bulgaria, Sofia.

Penonton mengeluarkan telefon mereka apabila Laura Lee dari Singapura - memakai gaun merah berkilauan mula menyanyi dan menari salsa mengikut irama lagu dendangan Michael Buble, Sway.

Wanita berusia 47 tahun itu - peserta paling muda dalam kalangan 17 wanita tetapi sudah bergelar nenek kepada enam orang cucu - akhirnya meraih mahkota Grandma Universe 2023 (buat golongan nenek).

Pertandingan yang berakhir pada 23 Januari itu merupakan pertandingan ratu cantik ketiganya dan kemenangan kedua.

Pada usia 44 tahun, Cik Lee - yang mempunyai lima cucu ketika itu - mengambil bahagian dalam pertandingan pertamanya, Mrs Singapore, di mana beliau muncul sebagai naib juara.

Lewat tahun itu, beliau memenangi pula pertandingan Ratu Antarabangsa Pelancongan di Thailand.

Ibu tiga anak, yang bakal berusia 48 tahun pada Mac ini, juga merupakan usahawan berjaya di sebalik perniagaan logistik dan lima syarikat makanan dingin dan beku.

Namun kehidupan tidak selalu indah mewangi bagi Cik Lee, yang pertama kali menjadi ibu pada usia 20 dan nenek pada usia 37 tahun.

Tiga anaknya - Cheryl, Sean dan Lester - kini masing-masing berusia 28, 27 dan 24 tahun.

Wang sukar diperolehi ketika beliau membesar. Bapanya, seorang jurulektrik menyara keluarga enam orang dengan gaji bulanan $1,500, manakala ibunya, seorang suri rumah, menjaga empat anak mereka.

Menjelang usia 13 tahun, Cik Lee, anak bongsu dua beradik, memberi tuisyen Bahasa Inggeris dan matematik kepada murid-murid Darjah 1 untuk mendapatkan wang saku.

Pada usia 16 tahun, beliau bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat cenderahati, menjual bunga, hamper dan perhiasan ketika beliau tidak bersekolah.

"Kami tidak pernah kelaparan, tetapi kami juga tidak mampu membeli apa-apa kemewahan. Ia membuatkan saya mahu menjadi lebih berkebolehan, jadi saya boleh menyediakan anak-anak saya dengan kehidupan yang lebih baik," ceritanya kepada The Straits Times dalam satu panggilan video.

Cik Lee berkahwin dengan kekasihnya ketika di sekolah menengah pada usia 19 tahun.

Beliau terus melanjutkan pelajarannya dan memperolehi diploma lanjutan dalam bidang jualan dan pemasaran dari Sekolah Perniagaan Thames yang berpangkalan di Singapura pada usia 21 tahun.

Pada tahun yang sama, beliau melahirkan seorang anak lelaki, Sean. Tetapi pasangan muda itu menghadapi masalah kewangan.

Cik Lee memegang tiga pekerjaan - menjual insurans dan mesin salinan pada siang hari, dan pelayan pada waktu malam.

Walaupun beliau kadang-kadang berasa ingin berputus asa, dirinya terus berjuang demi anak-anaknya.

Cik Lee melahirkan anak ketiga, Lester, pada 1999.

"Saya memberitahu diri saya bahawa tidak kira betapa sukarnya, kita perlu yakin. Jadi, saya teruskan hidup kerana anak-anak saya bergantung kepada saya dan mereka masih kecil," katanya.

Tetapi masalah wang telah menjejas perkahwinannya. Cik Lee memfailkan perceraian ketika berusia 31 tahun.

"Itu adalah masa paling teruk dalam hidup saya kerana saya bersendirian dengan tiga anak. Tetapi tidak ada penyesalan. Saya percaya saya membuat keputusan yang betul," katanya.

Untuk memberi makan kepada anak-anaknya yang masih kecil, beliau menjual trak peti sejuk untuk sebuah syarikat barangan industri.

Beliau memberi yang terbaik dalam pekerjaan itu, menghasilkan $15,000 hingga $20,000 sebulan.

Dalam beberapa bulan, beliau telah menjelaskan semua hutangnya dan dalam perjalanan bebas daripada masalah kewangan.

Pada 2009, dengan $50,000 yang beliau simpan, Cik Lee mengasaskan Trade-Pro Trading, syarikat pakar dalam logistik dan pergudangan.

Hari ini, beliau juga mempunyai lima syarikat lain yang berurusan dengan makanan sejuk dan beku.

Syarikatnya menggajikan lebih daripada 70 orang.

"Saya cukup bernasib baik kerana mempunyai ramai orang baik di sekeliling saya.

"Mereka membantu saya membina kerjaya saya dan memperkenalkan ramai rakan perniagaan kepada saya, dan itulah cara saya dapat berkembang," katanya.

Beberapa bulan kemudian, Cik Lee menjadi satu-satunya nenek yang bertanding dalam Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa di Bangkok.

Kali ini, beliau menang.

"Saya tahu apa yang diharapkan ketika itu, jadi saya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk mempersiapkan diri saya.

"Saya juga pergi ke kelas menyanyi dan menari," katanya.

Walaupun dengan dua tiara kemenangan dalam genggaman, beliau tidak mengambil mudah dan percaya pencapaiannya adalah hasil kerja keras dan ketabahan.

Cik Lee, yang mempunyai cucu antara usia dua hingga 10 tahun, bersenam tiga kali seminggu dan melakukan rutin penjagaan kecantikan estetik seperti pengisi dan suntikan Botox dan sel stem untuk mengekalkan penampilan anggunnya.

"Kita mempunyai teknologi untuk membantu kami kelihatan baik, jadi mengapa tidak?" katanya.

Beliau juga telah menemui cinta semula dan telah menjalin hubungan dengan rakan kongsi perniagaannya sejak 15 tahun lalu.

Dengan kerjaya yang lancar dan kehidupan bercinta, Cik Lee merasakan sudah tiba masanya untuk mengambil langkah susulan.

Beliau dalam proses menyerahkan perniagaan kepada Cheryl dan Lester.

Sean mempunyai perniagaan automobilnya sendiri.

"Pencapaian terbesar saya dalam hidup adalah tiga anak saya," katanya. - THE STRAITS TIMES

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg