Ibu bapa yang sedang mencari kegiatan menarik untuk mengisi cuti sekolah Jun bersama anak-anak kecil boleh ke Gardens by the Bay untuk menikmati pelbagai pengalaman bertemakan alam semula jadi, permainan dan dunia fantasi sepanjang bulan.

Antara tarikan utama ialah Pesta Kanak-Kanak 2026 yang berlangsung di Supertree Grove dari 30 Mei hingga 21 Jun. Festival percuma ini menampilkan pelbagai zon permainan luar yang direka khas untuk menggalakkan aktiviti fizikal dan imaginasi kanak-kanak.

Kanak-kanak boleh mencuba pelbagai cabaran interaktif termasuk trampolin, permainan imbangan dan kolam bola, selain menyertai aktiviti mengumpul setem watak yang boleh ditukar dengan cenderamata.

Beberapa persembahan dan perarakan khas turut dijadualkan pada hujung minggu bagi menambah kemeriahan suasana.

Bagi keluarga yang ingin menggabungkan unsur pembelajaran dengan hiburan, Flower Dome menampilkan pameran bunga Blue Beauties hingga 21 Jun.

Pameran ini membawa pengunjung menelusuri sejarah Empayar Uthmaniyyah menerusi replika Istana Topkapi yang dikelilingi lebih 30 jenis bunga hydrangea dalam rona biru dan ungu.

Selain menikmati keindahan bunga yang sedang mekar, pengunjung juga boleh menyertai bengkel kraf bertemakan hydrangea yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Aktiviti seperti menghasilkan loket beg dan seni lukisan tanah liat memberi peluang kepada keluarga meluangkan masa berkualiti bersama sambil mempelajari fakta menarik tentang tumbuhan.

Mulai 8 Jun pula, Floral Fantasy akan menjadi lokasi kepada Disney Garden of Wonder, sebuah pameran yang menampilkan arca topiari bunga dan diorama watak-watak Disney dan Pixar.

Sebanyak 23 watak akan dipamerkan merentasi enam zon bertema, termasuk beberapa watak klasik dan kegemaran ramai.

Bagi membantu keluarga menguruskan kos lawatan, beberapa promosi turut ditawarkan sepanjang tempoh cuti sekolah.

Antaranya, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh menikmati kemasukan percuma ke pameran Blue Beauties dari 30 Mei hingga 21 Jun apabila syarat promosi dipenuhi.

Dari 8 hingga 21 Jun, tiket untuk memasuki Disney Garden of Wonder dan Blue Beauties ditawarkan dengan potongan 20 peratus pada harga $20 untuk orang dewasa dan $15 untuk kanak-kanak.