Yang seorang bermula dalam pasaran muzik Cina sebelum menembusi pasaran muzik dan drama Melayu dengan jayanya.Yang seorang lagi bereksperimen dengan muzik suku kaum Sabah dan turut menyanyikan lagu Cina sebelum teroka muzik Melayu. BERITA HARIAN melaporkan kisah dua penghibur Cina dari Malaysia yang selesa mewarnai persada hiburan Melayu di Singapura dan Malaysia.

TIGA video TikTok sehari daripada penyanyi dan pelakon Malaysia, Alvin Chong, bak penawar jiwa peminat yang resah terkurung dek pandemik Covid-19.

Ia persis simpulan bahasa Inggeris yang berbunyi 'an apple a day keeps the doctor away' (sebiji epal setiap hari jauhkan doktor daripada anda).

Dalam hal bintang yang beralih dari pasaran hiburan Cina ke pasaran hiburan Melayu melalui drama 'berhantu' Dia Semanis Honey dan Suri Hati Mr Pilot, TikTok wadah penghibur, pemasar dan peluput rasa bosan buatnya.

Alvin, 29 tahun, menceritakan perjalanannya menembusi pasaran Melayu kepada Berita Harian dalam sesi wawancara Zoom selama setengah jam yang diselaraskan label rakaman Universal Music, baru-baru ini.

Lagu terkininya, Sayangku Salmah, berjaya distrim sebanyak 63,126 kali di Spotify.

Ia memanfaatkan TikTok sebagai jentera pemasar kepada generasi muda yang menggunakan aplikasi itu secara berleluasa.

Ikuti wawancara bersama Alvin yang berasal dari George Town, Pulau Pinang dan mempunyai 1.2 juta pengikut Instagram.

Soalan (S): Apakah yang sedang dilakukan kini?

Alvin (A): Saya kini dalam rangka penggambaran drama TV3 buat slot Samarinda, Takdir Yang Tertulis. Pelakon lain adalah Nad Zainal, Elvina Mohamad dan Nazim Othman.

Saya salah seorang hero drama ini, bawa watak peguam. Ada isu tentang mengambil balik hak milik syarikat.

Kali ini, saya bukanlah budak-budak 24 atau 25 tahun yang sibuk dating dan bercinta.

Banyak dialog berat dan realistik. Saya peguam tegas. Lebih banyak babak sedih dan sakit hati.

Cabaran kali ini adalah penghafalan skrip dengan dialog panjang setebal lima halaman bagi setiap babak.

Ia naskhah asli Abang Ezad yang menghasilkan drama Nur.

S: Apakah impak lagu 'Sayangku Salmah' dalam kerjaya Alvin?

A: Saya menyertai dunia hiburan pada 2009. Selepas 11 tahun bergiat dalam bidang seni dan beralih dari industri nyanyian Cina kepada bidang lakonan Melayu, saya kembali mencari identiti saya sebagai penyanyi.

Justeru, Sayangku Salmah membawa kesan paling besar dalam kerjaya saya sebab strategi pemasaran TikTok digunakan.

Berdasarkan data TikTok, klip pemasaran saya menjana 42 juta tontonan. Ia adalah yang tertinggi dalam segmen muzik dari segi keterlibatan penonton di Asia Tenggara.

Saya menganggapnya sebagai satu pengiktirafan. Ada juga perancangan nak bikin album yang memuatkan lagu Melayu dan Inggeris. Kalau ada album, boleh bikin 'showcase' dan konsert di Malaysia, Singapura dan Filipina.

Kita boleh ronda kampus juga bagi mendekati mahasiswa.

S: Ada perancangan bikin lagu Inggeris kolaborasi dengan rapper Amerika?

A: Saya dan penerbit dari Australia berbincang tentang kerjasama dengan 'rapper' Amerika.

Kami sudah mendengar beberapa lagu demo tetapi belum ada yang sesuai. Album saya kelak pastinya ada lagu hip hop.

S: Bagaimana impak TikTok dalam hidup penghibur seperti anda?

A: Semua orang kini boleh jadi artis. Video orang biasa pun jadi tular. Ini era di mana kejayaan diukur dari segi jumlah pengikut.

Namun, kita perlu gunakan wadah TikTok ini dengan betul.

Maklumlah, pengguna TikTok semuda mereka di bawah 12 tahun termasuk yang masih di tadika.

Orang sekarang tidak banyak masa dan mudah bosan tonton video panjang. Anda boleh tonton video TikTok 15 saat, 30 saat atau seminit.

Saya pun nak jadi si jiwa muda. Bikin video TikTok tiga kali sehari sampai orang muak tengok muka saya!

S: Apakah kemahiran baru yang dipelajari sewaktu pandemik?

A: Saya tak suka memasak sebab kelengkapan dapur tak cukup. Dah tu, malas nak mengemas pula. Namun, dalam Covid-19 saya terpaksa belajar memasak.

Hari-hari tengok filem, makan snek... kemudian kemas hadiah pemberian peminat di stor sampai terisi 10 beg plastik tong sampah!

Ada yang saya dermakan kepada golongan memerlukan.

S: Kerana pandemik ada tak perkara yang terpaksa dilepaskan?

A: Tiada rezeki bagi saya jalani penggambaran drama Inggeris di Channel 5 di Singapura. Sepatutnya Oktober lalu tetapi tiada bakat asing dibenarkan masuk ke Singapura dalam tempoh pandemik.

Saya juga tidak tahu perancangan filem Melayu pertama saya. Kalau jadi, akan ada sidang akhbar.

S: Apakah pengajaran terbesar sebagai artis?

A: Tak kira kita dalam industri Cina atau Melayu, kita mesti kekal merendah hati. Sejauh mana atau setinggi mana kita daki, akan ada tempoh kita rasa di bawah atau terjatuh.

Jangan 'plastik'. Kalau tak suka, cakap tak suka. Kalau tak tahu, jangan buat-buat tahu. Ikhlas dan jujur.

Memang kita akan tersepit dengan fitnah dunia hiburan gara-gara warganet. Tapi kalau tak salah, tak perlu jawab dan tak perlu simpan rasa sedih, bersalah atau marah. Kita takkan puaskan hati semua orang.

Anggap sahaja orang yang buka akaun untuk 'bahan' orang lain ini terlalu stres dan setakat ingin lepaskan geram.

BIODATA

ALVIN CHONG

- Usia: 29 tahun

- Tarikh lahir: 23 Januari 1991

- Dilahirkan di George Town, Pulau Pinang

- Tiga idola:

* Penyanyi dan penggubah lagu Singapura, JJ Lin, kerana beliau bijak manfaatkan bakat yang dimiliki.

* Penyanyi dan penggubah lagu Amerika, Billie Eilish, yang jujur menyuarakan sesuatu dalam pengamatannya meskipun ia gelap. Apa orang nak kata tak dihiraukannya.

* Penyanyi dan penggubah lagu Faizal Tahir yang tahu apa yang diinginkan dalam kerjaya seninya dan terus terang dalam setiap wawancara media.