Pelakon Nora Danish menjelaskan bahawa kes rumah tangganya belum selesai tetapi yang pasti, perlahan-lahan ia akan terlerai.
Beliau memberitahu Harian Metro mengenai perkembangan terkini isu rumah tangganya dengan suami, Nedim Nazri yang dilaporkan bergolak.
Nora berkata buat masa ini, tiada sebarang kenyataan baru akan dibuat, sebaliknya bakal berkongsi perkembangan lanjut apabila sudah tiba masa sesuai.
“Saya sudah memberikan kenyataan, jadi tunggu sahaja kata putus yang akan dibuat.
“Kalau boleh, saya nak yang terbaik untuk semua pihak. Saya akan beri komen bila tiba masa sesuai dan mendapat keputusan muktamad.
“Terus-terang hal rumah tangga ini terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Saya nak beri kenyataan sekarang pun sangat tertekan dan hiba.
“Tunggu sampai tiba masa sama ada ia atau tidak (berlaku perceraian), semuanya masih dalam proses,” ujarnya.
Nora sekali lagi menegaskan pergolakan itu bukan disebabkan campur tangan insan ketiga, sebaliknya, berpunca ekoran tiada persefahaman.
“Saya dan Nedim sentiasa berbincang sebelum membuat keputusan. Jadi, tiada anasir luar dan tiada siapa yang menghasut kami.
“Cuma dalam hal ini keadaan yang berlaku memaksa kami untuk tidak sebumbung. Semuanya berlaku dalam jalan cerita yang luar biasa,” katanya.
Terdahulu, Nora mengesahkan perkahwinannya dengan Nedim yang dibina sedang bergolak.
Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal, 15 tahun, sebelum bercerai pada 2008.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg