Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Oprah Winfrey: Filem The ‘Color Purple’ bantu tangani trauma zaman kanak-kanak

Nov 22, 2023 | 5:30 AM
RATU BUAL BICARA: Oprah Winfrey menghadiri tayangan dokumentari, ‘Maxine’s Baby: The Tyler Perry Story’, semasa festival filem, ‘AFI Fest’ di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.
RATU BUAL BICARA: Oprah Winfrey menghadiri tayangan dokumentari, ‘Maxine’s Baby: The Tyler Perry Story’, semasa festival filem, ‘AFI Fest’ di Los Angeles, California, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: Hos rancangan bual bicara Amerika Syarikat Oprah Winfrey berkata filem, ‘The Color Purple’, telah membantunya mengatasi trauma dirogol ketika masih muda, ketika beliau memperkenalkan filem baharu berdasarkan novel terkenal karya Alice Walker pada 16 November.

Filem itu – sebuah muzikal – adalah adaptasi layar lebar yang kedua, selepas pengarah, Steven Spielberg, memberikan sentuhannya pada 1985.

Sekali lagi ia menggambarkan kesusahan dan penderaan seksual yang dihadapi oleh wanita kulit hitam di Selatan Amerika Syarikat pada awal abad ke-20.

“Dari kali pertama saya membaca, ‘The Color Purple’, ia adalah satu rahmat dalam hidup saya – kerana sehingga masa itu, saya tidak tahu bahawa ada bahasa untuk apa yang telah berlaku kepada saya,” kata Winfrey, 69 tahun, selepas tayangan di Los Angeles.

“Saya telah dirogol dan mempunyai seorang anak pada usia 14 tahun, yang kemudiannya meninggal dunia, dan saya tidak mempunyai sebarang bahasa untuk menjelaskan apa itu.

“Buku itu adalah kali pertama ada cerita tentang saya.”

‘The Color Purple’ mengisahkan Celie, seorang gadis kulit hitam yang tinggal di pedalaman Georgia yang dirogol oleh bapanya sehingga melahirkan dua orang anak.

Semasa ia berlaku, Celie terpaksa menjalani perkahwinan yang kejam, tetapi berjaya mencari kekuatan daripada wanita lain yang berhadapan dengan pelbagai trauma.

Winfrey teringat bagaimana, pada 1980-an, apabila mengetahui bahawa Spielberg sedang mengadaptasi filem itu, beliau menaruh harapan agar diberi peluang untuk terlibat dalam filem tersebut.

Winfrey, yang dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk peranan di Oscars pada 1986, memberitahu penonton pada Khamis bahawa filem itu “mengubah hidup saya”.

Filem Spielberg, ‘The Color Purple’ telah diadaptasi ke pentas muzikal yang dibuka di Broadway pada 2005.

Filem baharu itu pula diilhamkan daripada muzikal tersebut dan memberikan nada yang lebih ringan, selalunya menggembirakan dan membangkitkan semangat.

Spielberg, Winfrey dan Jones semuanya bertindak sebagai penerbit, manakala pelakon Broadway ‘The Color Purple’, Fantasia Barrino dan Danielle Brooks kembali sebagai Celie dan Sofia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg