Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KONSERT 'LANGKAH GERGASI' OMS

Orkestra Melayu S'pura rai 30 tahun lestari muzik Melayu

Dec 17, 2021 | 05:30 AM



MISI tiga dekad memperjuangkan dan memelihara muzik Melayu untuk diperkenalkan kepada masyarakat tempatan dan dunia digalas penggerak dan aktivis Orkestra Melayu Singapura (OMS) dengan penuh amanah dan kegigihan.



Sejak ditubuhkan Persatuan Rakyat (PA) pada 1991, ia mekar sebagai badan seni yang menjalankan program latihan dan inkubasi serta merantau ke festival muzik di peringkat antarabangsa untuk pendedahan anggotanya.



Sebilangan anak didik OMS yang bertatih dalam bidang seni - baik dalam bidang nyanyian, arahan muzik, permainan alat muzik dan ciptaan lagu - kini merupakan ikon dalam bidang masing-masing.



Antara yang OMS lakukan dari tahun ke tahun sebagai orkestra pertama di Singapura yang mempersembahkan muzik Melayu dengan alat muzik tradisional dan moden adalah meraikan sumbangan tokoh muzik Melayu dari Zubir Said, Kassim Masdor dan P. Ramlee.



Kelmarin, konsert meraikan ulang tahun OMS yang ke-30, Langkah Gergasi, disajikan di Panggung Victoria, mengembalikan nostalgia dan memaparkan evolusi muzik Melayu yang rencam dalam suasana santai lagi menghiburkan.



Pengarah muzik OMS, 'maestro' Encik Amri Amin, menyifatkan konsert tersebut sebagai satu imbauan usaha tiga dekad OMS dalam memelihara muzik Melayu.



"Amanah yang digalas OMS berat dalam menjunjung kekayaan budaya dalam muzik Melayu. Kami mencorak semula orkestra ini daripada muzik yang berpangkalan pada muzik ketenteraan atau 'martial music' menjadi sesuatu yang mendakap genre muzik dan alat muzik Barat dan tradisional.



"Apa yang kami sajikan pada konsert ini adalah lambang dedikasi pemuzik OMS yang mempunyai nyala rasa yang sentiasa membara walaupun bergerak sebagai pemuzik sukarela. Melalui konsert ini, kami terus menyajikan evolusi muzik nostalgia dari zaman P. Ramlee, pop-yeh-yeh hinggalah ke era masa kini.



"Antara cabaran yang dihadapi bagi mengadakan konsert dalam tempoh pandemik adalah kami tidak dapat memuatkan semua pemuzik di atas satu pentas kerana perlu akur pada langkah keselamatan yang ditetapkan bagi persembahan.



"Maka, dalam era pendigitalan ini, kami turut menggabungkan pemuzik OMS di Panggung Victoria dengan sajian video pemuzik yang dirakam dari lokasi lain. Kesulitan teknikal inilah yang perlu kami tangani agar dapat sepadukan kedua-duanya dan tiada kegenjotan. Ia memang memeningkan.



"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat melibatkan Datuk Mokhzani Ismail dari Malaysia bagi satu persembahan instrumental, We Are One sebagai lambang kerjasama pemuzik tanpa mengira sempadan negara akan terus diuar-uarkan," tambah Encik Amri.



Langkah Gergasi yang merupakan projek tugasan Wisma Geylang Serai (WGS) penuh warna, dijayakan artis dari pelbagai peringkat usia - dari legenda Datuk Ramli Sarip, bakat Singapura yang sering dikaitkan dengan irama tradisional; Elfee Ismail; hinggalah ke barisan penyanyi muda, Aisyah Aziz, Amni Musfirah dan Syah Riszuan.



Turut menerajui konsert dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Hear65 juga adalah penyanyi OMS, Sheera J dan Hafiz Hamzah dan pengarah kreatif konsert ini, Rudy Djoe.



Langkah Gergasi ini juga turut mengetengahkan alumni OMS yang telah mencipta nama dalam bidang masing-masing.



Syafiqah 'Adha Mohamed Sallehin, Md Riduan Zalani, Ismahairie Putra Ishak, Azura Goh dan Alhafiz Jamat tampil dalam memperkasa sinergi mereka bagi lagu Laluan Timur.



Malam kelmarin juga adalah hari di mana lagu nostalgik berkumandang dengan kesegaran.



Aisyah mengalunkan lagu Seroja (dendangan asal Said Effendi atau S. Effendi) dengan iringan alumni lain.



Sheera tampil dengan lagu malar segar Victor Hutabarat, Fatwa Pujangga, yang beliau dendangkan mengikut versi Datuk Sharifah Aini.



Terdapat kejutan dalam segmen 'Legasi' di mana penyanyi dalam dunia muzik Tamil dan Inggeris, Shabir, pula tampil dengan lagu klasik P. Ramlee, Jangan Tinggal Daku, diberi suntikan segar dan disisipkan dengan irama rap.



Menerusi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Amni memberi penghormatan buat dua penggerak muzik tanah air yang turut menyumbang bakti pada OMS - Allahyarham Jais Minsawi dan DSP Idris Mohd Yusof, yang sudah berpulang.



Lagu-lagu baru yang diterbitkan bersama anggota OMS, Aida Amin dan Irawan Ghani, turut dipersembahkan. Bakat Zulkiflee Md Amin dan Danial Ariffin yang menambah variasi pada susunan lagu juga dapat disaksikan.



Membentangkan harapannya bagi OMS, Encik Amri yang menyertai orkestra tersebut sejak 2009, berkata:



"OMS adalah institusi yang orang Melayu patut banggakan. Kami hargai sokongan PA dan WGS dalam merealisasikan konsert kali ini.



"Pada masa akan datang, kami tidak pasti apakah kemungkinan orkestra ini akan diswastakan. Misi kami adalah untuk terus melestarikan muzik Melayu," tambahnya.



Turut serta menyaksikan Langkah Gergasi kelmarin adalah tetamu terhormat, Presiden Halimah Yacob dan suami, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; penasihat WGS, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; serta Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, turut hadir.



OMS pimpinan Encik Ibrahim Hamid akan menyajikan Langkah Gergasi di platform digital WGS (YouTube dan Facebook) pada 8 malam, 25 Disember ini.




APA KATA MEREKA...



"Saya bermula di OMS pada usia 11 tahun, pada 2005. Saya belajar main biola daripada Kak Ismalia. Walaupun kedengaran gesekan biola saya pada ketika itu masih sumbang, mereka di OMS tidak pernah mengata dan menerima saya seadanya.

Saya belajar bermain dengan orkestra dan membuat persembahan solo. Saya menghargai peluang dewasa bersama OMS dan terlibat dalam konsert kecil dan besar. Kepercayaan yang diberi kepada saya membantu saya berkembang dan belajar lebih lagi."

- Deejay Ria 897 dan alumni OMS, Azura Goh, yang bermain biola.



"Saya masih ingat uji bakat pertama saya bersama OMS pada 2010 di mana saya perlu menyanyikan lagu keroncong dendangan asal Dewi Yull, Angin Malam (versi keroncong). Menggeletar dibuatnya.

Alhamdulillah, menerusi penglibatan bersama rakan lain, saya dapat timba ilmu penyampaian dan penghayatan lagu.

Kenangan paling manis pula adalah apabila saya terlibat dalam konsert ulang tahun OMS dan Esplanade yang dibuat bersama. Sanjungan yang diberi adalah buat tokoh muzik, Pak Zubir Said."

- Penyanyi OMS, Shahirah Jamaludin (Sheera J).



"Saya memasuki OMS ketika di menengah tiga. Sepanjang penglibatan bersama orkestra, saya takkan lupakan pengalaman membuat konsert sanjungan buat Cikgu Yusnor Ef sebab kami dapat bekerjasama dengan orkestra di Johor. Latihan dibuat di sana.

Konduktor pada ketika itu adalah arwah Pak Ngah Suhaimi. Teruja dapat bertemu beliau dan artis lama."

- Penggesek biola dan Ketua Alat Muzik Tali OMS, Cik Ismalia Putri Ishak.



"Kenangan paling manis di Orkestra Melayu Singapura (OMS) pastinya ketika bertemu jodoh dengan isteri saya. Saya juga berpengalaman mengembara bersama OMS ke luar negara seperti Jepun, Hong Kong dan Belanda untuk mempromosikan lagu Melayu.

Sebagai budak sekolah ketika itu yang datang daripada keluarga yang bukannya senang, inilah peluang yang membuka mata.

OMS mencorak saya menjadi pemuzik berdisiplin yang mampu mencari rezeki sebagai pemuzik sepenuh masa buat satu tempoh kehidupan."

- Pemain dram dan Ketua Ritma OMS, Encik Mohammad Hidayat Rahmad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >