Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan imbangi rutin, fleksibiliti semasa cuti sekolah
Panduan imbangi rutin, fleksibiliti semasa cuti sekolah
Cuti sekolah bermakna lebih banyak masa lapang dan kurang struktur dalam kehidupan harian.
Rutin menghantar dan menjemput anak dari sekolah tidak lagi perlu dilakukan, waktu tidur mungkin berubah, dan keluarga mungkin perlu mengatur penjagaan anak, percutian atau kunjungan ke rumah saudara-mara untuk mengisi hari-hari mereka.
Ini bermakna setiap anggota keluarga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam rutin harian.
Jadi, bagaimana ibu bapa dan penjaga boleh mewujudkan rutin yang memberi anak-anak sedikit kepastian tanpa menjadikan cuti sekolah seperti satu lagi jadual yang perlu dipatuhi?
Kepentingan rutin
Pada asasnya, rutin berkait dengan kepastian.
Melalui rutin, kanak-kanak belajar secara beransur-ansur apakah yang boleh mereka jangkakan.
Mereka mula memahami urutan sesuatu perkara berlaku, petunjuk yang menandakan apakah yang akan dilakukan seterusnya, serta apakah yang mungkin berlaku apabila mereka mengikuti rutin biasa.
Dengan kata lain, corak rutin membantu membentuk jangkaan mereka tentang apakah yang akan dilalui sepanjang hari.
Apabila kanak-kanak tahu apakah yang mungkin berlaku, mereka lebih mudah menjalani kehidupan harian.
Rutin, tindak balas dan batasan yang tekal juga memberi mereka peluang untuk mengasah kemahiran seperti mengurus emosi, tingkah laku dan tumpuan.
Fleksibiliti juga penting
Ini tidak bermakna setiap minit perlu dirancang.
Kepastian dan fleksibiliti boleh wujud bersama.
Apa yang penting, kanak-kanak mempunyai ketekalan yang mencukupi untuk mengetahui apakah yang boleh dijangkakan, sementara keluarga boleh menyesuaikan diri apabila keadaan berubah.
Tiada satu rutin keluarga yang dianggap paling baik untuk semua.
Setiap keluarga mempunyai aturan kerja, tradisi budaya, pengaturan penjagaan anak dan keperluan anak yang berbeza.
Rutin yang baik ialah rutin yang cukup teratur untuk memberi anak-anak kepastian, bahkan juga dapat dikekalkan oleh keluarga.
Cabaran cuti sekolah
Rutin anggota keluarga sering berubah sepanjang tempoh cuti sekolah, yang boleh menimbulkan perasaan janggal dan ketidakpastian.
Pertama, struktur yang disediakan oleh sekolah tidak lagi ada.
Ini bermakna anak-anak tiba-tiba mempunyai lebih banyak masa lapang.
Bagi ibu bapa pula, ini mungkin bermakna mereka perlu mengambil cuti kerja, mengatur penjagaan anak atau mengubah aturan kerja yang biasa.
Kedua, perancangan cuti boleh menimbulkan perselisihan faham antara orang dewasa.
Mereka mungkin berbeza pendapat mengenai perkara seperti, “Nenek dan datuk yang mana hendak kita kunjungi?”.
Ibu bapa juga mungkin tidak sependapat mengenai peraturan, termasuk penggunaan skrin.
Ketiga, anak-anak mungkin memberikan tindak balas berbeza terhadap persekitaran yang sama.
Sesetengah anak mungkin menikmati kebebasan dan kegiatan spontan sepanjang cuti sekolah, manakala sesetengah yang lain mungkin berasa tidak selesa dengan perubahan daripada rutin biasa mereka.
Ini bermakna ibu bapa dan penjaga perlu memberi perhatian kepada tindak balas anak masing-masing dan menyesuaikan rutin sewajarnya.
Jadi, bagaimanakah keluarga boleh membentuk rutin cuti sekolah yang sesuai?
Rancang dan capai persetujuan awal
Jika boleh, bincangkan pengaturan sebelum cuti sekolah bermula, terutama apabila melibatkan keluarga besar atau beberapa isi rumah.
Tolak ansur mungkin diperlukan, seperti bergilir-gilir mengunjungi rumah datuk dan nenek setiap tahun.
Anda juga boleh melibatkan anak-anak yang lebih besar dalam perancangan.
Memberi mereka peluang menyuarakan pendapat boleh membantu mereka memahami sebab di sebalik sesuatu keputusan dan mengembangkan kemahiran membuat rancangan.
Jika anak-anak mempunyai kerja rumah atau tugasan sekolah lain, tentukan bila mereka akan melakukannya sepanjang cuti, daripada membiarkannya sehingga saat-saat akhir.
Fikirkan juga bagaimana anda akan membantu mereka kembali kepada rutin persekolahan.
Kekalkan sedikit kebiasaan
Mengekalkan beberapa rutin biasa boleh membantu anak-anak menyesuaikan diri dengan rutin cuti sekolah tanpa menjadikannya terlalu padat.
Kenal pasti perkara yang penting bagi keluarga anda, seperti masa menonton filem bersama keluarga atau kunjungan mingguan ke rumah datuk dan nenek.
Kekalkan perkara ini secara konsisten.
Anda juga boleh memutuskan untuk mengekalkan waktu makan, bangun tidur dan masuk tidur yang hampir sama, atau kegiatan yang dirancang seperti berjalan kaki setiap hari.
Pada masa yang sama, sediakan ruang untuk kegiatan spontan dan ingat bahawa rutin cuti sekolah juga perlu sesuai untuk ibu bapa dan penjaga.
Tumpu pada perkara yang boleh dikawal
Bagi keluarga yang mempunyai ibu bapa bekerja mengikut syif, berkongsi hak penjagaan anak atau anak-anak yang berpindah antara rumah, rutin yang sama mungkin tidak dapat dilaksanakan.
Sebaliknya, tumpukan pada mewujudkan kepastian sepanjang anak-anak bersama anda dan berkomunikasi dengan penjaga lain jika boleh.
Sebagai contoh, ibu bapa yang bekerja mengikut syif berbeza mungkin menjadikan membaca buku cerita sebelum tidur sebagai rutin bersama anak, walaupun kegiatan itu kadangkala dilakukan pada waktu pagi dan bukannya malam.
Minta bantuan apabila perlu
Keibubapaan tidak perlu dipikul sendirian.
Program keibubapaan berasaskan bukti, termasuk program dalam talian, boleh membantu ibu bapa membina keyakinan dan mengembangkan strategi untuk mengurus kehidupan keluarga seharian.
Ingat, cuti sekolah tidak perlu disusun sepenuhnya.
Anak-anak memerlukan masa untuk berehat, bermain dan melakukan kegiatan secara spontan.
Matlamatnya bukan untuk menjadikan rumah seperti sekolah.
Sebaliknya, ia adalah untuk mewujudkan kepastian yang mencukupi agar anak-anak tahu apakah yang boleh dijangka, sambil mengekalkan fleksibiliti supaya keluarga dapat menikmati cuti bersama.
Penulis, Tianyi Ma merupakan penyelidik di Sekolah Psikologi, Universiti Queensland, Australia. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.