Topik diikuti
Pergi ke BHkuPapa Rok tiup semangat, kongsi cinta bahasa
Acara santai hasil kerjasama La Fez Bakery & Cafe buka kisah perjuangan anak seni
Papa Rok tiup semangat, kongsi cinta bahasa
MUSIM berganti musim. Tahun berganti tahun.
Masa beredar pantas meninggalkan setiap cebisan kenangan nostalgia yang menggamit memori.
Namun, satu yang kekal terpahat di jiwa Papa Rok, Datuk Ramli Sarip, adalah misi menghiburkan orang ramai sambil membawa pencinta lagu puitis 'terbang' ke dalam dunia yang kaya bahasa, budaya dan nilai jati diri anak Melayu.
Inilah yang dapat dirasakan sejurus melangkahkan kaki ke restoran sajian Maghribi, La Fez Bakery & Cafe di East Coast Road kelmarin.
Di sinilah, Ramli, 70 tahun, seorang Duta Bahasa, secara santai mewarnai acara Sesi Intim Bersembang Bersama Ramli Sarip: Rasa| Dengar| Hayati.
Sebahagian yang hadir di acara itu merupakan golongan pendidik di bawah naungan Kementerian Pendidikan.
Lagu-lagu yang disajikan sambil hadirin makan malam merupakan yang dekat di hati ramai seperti Bukan Kerana Nama, Kamelia, Teratai dan Senandung Hidup Berbudi.
Ada juga sajian santapan halwa telinga yang baru daripada album terkininya Rasa iaitu Cinta Di Sebalik Musim dan Srikandi Zaman.
Kadangkala penonton dibawa ke zon desa permai. Dapat dibayangkan suasana bergotong-royong dan saling membantu di sebalik kesederhanaan hidup yang jauh berbeza daripada hingar-bingar hutan konkrit.
Kadangkala, menghayati setiap bait liriknya memberi semacam kesegaran minda dan kesedaran tentang jati diri anak Melayu yang diharap tidak pupus ditelan kemodenan.
Inilah satu usaha Ramli yang bekerjasama dengan usahawan pemilik La Fez Bakery & Cafe, Encik Heikal Gani dan bapanya Encik Mohammad Gani Ahmad, seorang sasterawan serta pendidik, untuk menyemarakkan cinta terhadap bahasa, budaya, sejarah dan nilai Islam sambil berhibur.
Dalam tempoh lebih sejam setengah, acara yang dikendalikan deejay Aura Shai selaku pengacara benar-benar menghiburkan.
Kata Ramli:
"Lagu-lagu yang dipilih bagi acara ini bersesuaian dengan kaedah akustik yang kita sajikan, ruang di kafe ini dan juga profil hadirin yang datang.
"Apabila saya berbincang dengan Heikal, saya tahu acara kecil-kecilan begini takkan dapat buat duit tetapi ia merupakan sesuatu yang kita anggap amanah dan harus dilakukan bersama rakan seni lain untuk berkongsi nilai kemelayuan, bahasa dan budaya dengan orang ramai.
"Saya bahkan tak letakkan had pada jumlah lagu yang disajikan. Ia bergantung pada 'mood' dan kehendak penonton.
"Bagi saya, ia adalah satu acara yang menyatukan saya dengan teman lama ataupun peminat lagu-lagu puitis yang kaya nilai kesusasteraannya.
"Album Rasa berbanding dengan album lama lebih mendalam kupasannya tentang kehidupan. Tapi beberapa lagu yang saya hidangkan juga mengingatkan saya pada susah senang kehidupan sewaktu merakam lagu-lagu ini."
Bagi Ramli, apa yang diharapkan adalah agar penonton yang hadir kelmarin dapat berasakan 'jiwa' lagu-lagu yang disampaikan sehingga ia memberi kesan melembutkan hati ke arah kebaikan.
"Proses ini makan masa. Tak boleh belajar tetapi boleh diajar secara perlahan. Pengalaman mencabar kita untuk lebih berani sebagaimana dalam album Rasa, yang merupakan satu eksperimen.
"Selagi hayat masih ada, saya minta diberi kesihatan dan sahabat-sahabat yang seiring jalan berkorban demi manfaat masyarakat, demi khazanah dan warisan muzik Melayu kita," jelasnya.
Encik Mohammad Gani, 81 tahun, pula gembira melihat semangat juang anaknya Encik Heikal, 30-an tahun, yang pernah mengurus perniagaan di Shanghai, China.
"Saya tahu Heikal adalah seorang pejuang yang berani melakukan sesuatu yang baru dan usahanya menampilkan Datuk Ramli Sarip dalam acara ini memberikan satu gambaran tentang masa depan yang beliau rancang untuk perusahaannya sama-sama dapat memberi manfaat buat perkembangan bahasa Melayu.
"Sewaktu saya mengajar dan menjadi fasilitator di Institut Pendidikan Nasional (NIE)/Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dahulu serta dipilih menjadi penulis khas, bahan-bahan yang saya ketengahkan juga berunsurkan lagu yang dapat menarik perhatian pelajar untuk menelaah.
"Selain Datuk M. Nasir, lagu Datuk Ramli juga menjadi pilihan untuk dianalisis kerana kekayaan unsur bahasanya dan latar sejarah lagu-lagunya," katanya.
Seorang penonton acara kelmarin, Cik Huzaimah Rafie, 38 tahun, pula berkata:
"Acara santai sebegini memang menyeronokkan sebab ia bukan setakat hiburan tetapi lirik lagu Datuk Ramli banyak yang membawa pedoman dan ada juga yang berunsurkan tema pemerkasaan wanita."
Mengenai perancangan 2023, Ramli berkata beliau akan mengadakan konsert Syair Timur di Dewan Filharmonik Petronas pada 13 Mei depan.
"Konsert dengan pengaruh irama Timur Tengah, etnik Melayu dan rok serta 'blues' ini saya rancang nak dibawa ke Singapura selepas itu," jelasnya.