Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Papi' buat Shenty, Reuben kenang semangat wira bapa tiri

Selebriti suami isteri jayakan bersama telefilem khas Hari Bapa sambil singkap pengertian peribadi
Jun 17, 2020 | 5:30 AM
SELAMI JIWA BAPA TIRI: Pasangan suami isteri, Reuben Elishama (kiri) dan Shenty Feliziana, melihat telefilem khas Hari Bapa 'Papi' yang dijayakan sebagai ruang merenung bahawa wujud juga golongan bapa tiri berjiwa murni yang sanggup melakukan apa sahaja buat anak-anak tiri yang tiada pertalian darah dengannya. Bersama mereka adalah anak comel mereka, Biru Abiyyu Yusuf, yang bakal mencecah setahun bulan depan. - Foto ihsan SHENTY FELIZIANA
SELAMI JIWA BAPA TIRI: Pasangan suami isteri, Reuben Elishama (kiri) dan Shenty Feliziana, melihat telefilem khas Hari Bapa 'Papi' yang dijayakan sebagai ruang merenung bahawa wujud juga golongan bapa tiri berjiwa murni yang sanggup melakukan apa sahaja buat anak-anak tiri yang tiada pertalian darah dengannya. Bersama mereka adalah anak comel mereka, Biru Abiyyu Yusuf, yang bakal mencecah setahun bulan depan. - Foto ihsan SHENTY FELIZIANA -

Pengorbanan dan jasa murni bapa tiri, golongan yang sering disalahanggapkan sebagai jahat atau mempunyai muslihat dek stereotaip masyarakat, menjadi tumpuan telefilem khas Hari Bapa, Papi, pada 9 malam di saluran Suria, Jumaat ini. Apakah pengertian telefilem ini buat pasangan pelakon suami isteri yang menjayakannya? Bagaimana pula sambutan Hari Bapa di mata mereka dan pengarah telefilem terbitan Poetry In Motion ini? BERITA HARIAN melaporkan.

KASIH sayang seorang ayah memang tidak dapat dirasakan pelakon dan pengacara Singapura, Shenty Feliziana Sudirman, kerana mereka hidup terasing lebih dua dekad lalu setelah orang tuanya berpisah.

Namun dalam Shenty merasakan nikmat meraih dakapan cinta ibunya Cik Rosmah Lamai, yang dianggap segala-galanya, beliau bersyukur meraih keprihatinan seorang bapa tiri sejak lima tahun lalu.

Bapa tirinya, Encik Samat Dollah, disifatkan sebagai pelengkap keluarga kecil mereka dan pemberi kebahagiaan buat ibunya yang menggalas amanah sebagai ibu tunggal selama 25 tahun.

Sebagaimana ujar Shenty, 30 tahun, yang telah menyerantau ke seberang Tambak dalam bidang seni menerusi filem Apa Celop Toqq dan Dendam Pontianak:

"Saya tidak pernah merasa kekurangan berbanding dengan teman lain walaupun dibesarkan seorang ibu tunggal. Beliaulah ibu, ayah, kakak dan sahabat.

"Selama 25 tahun, ibu membesarkan saya sendiri sebelum bertemu jodoh sekitar lima tahun lalu.

"Alhamdulillah, sejak itu, saya dikurniakan rezeki mendapat kasih sayang tambahan seorang ayah tiri. Perkara ini membuatkan saya sangat gembira malah saya selalu mendoakan kebahagiaan ibu kerana apa yang saya mahu hanyalah beliau mampu meniti usia senja dengan seseorang yang baik hati dan benar-benar mengambil berat tentangnya.

"Saya hanya mampu berterima kasih kepada ayah tiri saya."

Bapa kandung Shenty merupakan seorang pelaut yang berasal dari Kalimantan, Indonesia. Mereka terputus hubungan sejak Shenty masih kecil lagi.

Ibunya menyara kehidupan Shenty yang merupakan anak tunggal yang bijak lagi berbakat seni dengan menjadi juruwang di hotel dan beberapa tugas sambilan lain.

Sembang kami tentang bapa tiri menerusi e-mel tempoh hari ada kena-mengena dengan telefilem khas Hari Bapa, Papi, terbitan Poetry In Motion, yang dijayakan Shenty bersama suaminya, Reuben Elishama, pelakon berpengalaman dari Indonesia.

Papi, yang memberi sanjungan buat bapa tiri, golongan yang sering disalahanggap atau meraih takrifan negatif sebagai jahat dan bermuslihat terhadap anak tiri, menemui penonton Suria, Jumaat ini.

Reuben, 41 tahun, yang menjayakan drama Singapura buat kali pertama adalah Erik Jannsen, bapa tiri yang baik dan berjanji kepada arwah isterinya akan menjaga anak-anak tirinya dan ibu mentuanya selepas si isteri meninggal dunia.

Namun, beliau berdepan dengan cabaran ayah kandung anak-anak tirinya yang ingin merebut hak sebagai bapa semula.

Shenty pula adalah Hana, rakan kerja Erik yang mengenali hati budi jejaka itu dan masalah yang dihadapi keluarganya.

Dalam kehidupan sebenar, Reuben dan Shenty bertemu jodoh setelah sama-sama terlibat dalam drama melibatkan artis Nusantara, DO(s)A, tiga tahun lalu.

Mengenai naskhah telefilem Papi yang unik pula, Shenty menjelaskan:

"Saya sangat tertarik dan tersentuh apabila diberitahu jalan cerita telefilem ini diilhamkan daripada kisah sebenar seorang bapa tiri.

"Bagi saya, istilah 'bapa tiri' itu hanya satu formaliti yang sering dianggap negatif. Kita lupa akan jasa dan kasih sayang yang bapa tiri ini korbankan buat keluarga.

"Justeru inilah masa kita mengenang dan tidak lupa tentang mereka di samping menunjukkan penghargaan kita buat mereka yang boleh dianggap wira-wira yang dilupakan."

Pengalaman pertama berlakon bersama suaminya Reuben dalam set penerbitan Singapura akan juga dikenang Shenty.

Katanya: "Reuben sangat profesional. Lantaran itu, apabila bekerja, beliau tak kira saya ni isterinya dan mahu fokus dalam menjayakan wataknya.

"Beliau akan minta saya duduk jauh-jauh untuk menjiwai babak emosi di lokasi penggambaran. Tapi seronok dan menjadi bonus berlakon dengan suami sebab kami dapat berlatih dialog sambil tidurkan anak kami, Biru, di katil!"

Reuben, yang nama sebenarnya Reuben Elishama Hadju Soerjosoemarno yang pernah membintangi filem Arisan! dan Berbagi Suami, pula menambah betapa terujanya beliau apabila mengetahui tentang jalan cerita Papi.

"Saya mahu langsung menjayakannya. Saya sangat tertarik dengan tema di luar kebiasaan telefilem Hari Bapa ini di samping tersentuh dengan pesanan moral yang ingin disampaikan tentang kasih sayang tulus seorang ayah terhadap anak-anak yang bukan berasal daripada darah dagingnya.

"Watak Erik, seorang lelaki campuran Belanda-Indonesia ini, memerlukan saya bermain dengan emosi... jadi bila masanya mahu ditahan dan diluahkan perasaan tersebut? Payahnya sebab saya sukar menangis.

"Umumnya, orang selalu mengatakan bapa tiri atau ibu tiri itu jahat. Ia lebih negatif daripada positif. Kerana perjalanan hidup saya sendiri sudah biasa dengan berurusan dengan bapa tiri, ibu tiri atau saudara tiri kerana sudah hampir 15 tahun bersama mereka, maka saya banyak belajar menilai baik buruknya.

"Kita semua manusia biasa yang serba tidak sempurna. Dengan menonton Papi, harapan saya, ia boleh mengubah tanggapan peribadi anda tentang bapa tiri," katanya lagi.

Beliau bersyukur ditemani isterinya, Shenty, dalam penerbitan telefilem di Singapura ini kerana sang isterilah yang membantunya menyesuaikan diri di set penggambaran di samping memahami budaya kerja di sini.

Keselesaan dan kepercayaan juga terjalin antara Reuben dengan kru penerbitan Poetry In Motion yang disifatkannya sebagai profesional.

Hari Bapa pula sangat istimewa buat Reuben yang mempunyai anak remaja, Taj Belleza Izdihar Elishama, yang menetap di Jakarta, Indonesia, hasil perkahwinan pertamanya.

Bersama Shenty, Reuben dikurniakan anak kecil yang bakal berusia setahun bulan depan, Biru Abiyyu Yusuf.

"Hari Bapa adalah hari yang mengingatkan kami, kaum bapa, bahawa kami amat menghargai kerja keras yang dilaburkan serta cinta yang disemai buat keluarga.

"Saya amat bersyukur diberi kesempatan menjadi seorang ayah buat dua anak saya. Kerana itu, saya cuba menjadi versi diri saya yang terbaik sebagai ayah dan suami.

"Ia peranan terindah tetapi paling sukar yang perlu digalas penuh amanah. Bersama anak perempuan saya, walaupun kami berjauhan, jarak bukanlah pemisah kasih sayang kami. Teknologi menjadi jambatan berkomunikasi bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua.

"Yang penting, saya dan dia tahu dalam hati masing-masing, kasih itu tetap mekar," kongsinya lagi.

Dalam pada itu, di sudut hati kecilnya, Reuben teringatkan ayahnya sendiri, Didi Abdulkadir Hadju, seorang pemuzik veteran Indonesia, yang meninggal dunia, April lalu.

"Saya sering ingat pesan ayah agar saya menjadi diri saya sendiri walau apa pun jua keadaannya. Beliau juga menasihati saya agar tidak gentar dengan apa yang saya yakini dalam hidup.

"Saya hargai setiap waktu bermain muzik dengannya. Kenangan manis itu akan terpahat dalam ingatan, lebih-lebih lagi pada Hari Bapa ini," jelas Reuben.

Telefilem khas Papi akan disiarkan pada 9 malam di saluran Mediacorp Suria, Jumaat ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg