Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pasangan pelakon kian ligat dari drama ke produksi iklan

May 22, 2022 | 09:33 AM



KETIKA pandemik melanda dengan ramai orang kehilangan kerja, pasangan pelakon Ahmad Yusof, 65 tahun dan Nurijah Sahat, 59 tahun, pula merasakan mereka semakin sibuk menerima pekerjaan.



Bahkan wajah mereka sejak beberapa tahun lalu sering dilihat di layar televisyen atau skrin-skrin iklan daripada pelbagai agensi pemerintah dan badan berkanun yang disiarkan di tempat-tempat awam termasuk poliklinik, hospital, masjid dan sebagainya.



Antara yang paling diingati ialah kemunculan Ahmad dalam iklan "Skim Beli Balik Pajakan" dan Nurijah dalam iklan korporat makanan tambahan.



Bahkan, gara-gara kemunculan mereka yang agak kerap di pelbagai wadah media - sama ada secara bersama atau berasingan - menjadikan Ahmad dan Nurijah semakin dikenali di kalangan masyarakat berbilang bangsa.



"Walaupun kami bermula sebagai pelakon drama televisyen, nampaknya rezeki sebagai pelakon lebih banyak dari iklan-iklan dan kempen-kempen pemerintah, badan berkanun dan syarikat korporat.



"Mungkin sebagai pelakon iklan kami kurang glamour berbanding dengan pelakon drama televisyen atau filem biasa, tetapi dari segi pendapatan, Alhamdulillah, kami dapat tawaran secara konsisten dengan nilai bayaran yang agak berbaloi," kata Nurijah, yang memang awet muda dan lembut bicaranya.



Berkongsi perkembangan kerjaya mereka di produksi pengiklanan, Ahmad, yang masih bekerja pada usia persaraan di syarikat yang mengendalikan sistem keselamatan, berkongsi bahawa mereka, atas nasihat seorang teman pengarah bukan Melayu, telah mendaftarkan nama mereka dalam pangkalan data bagi pelakon, yang diuruskan oleh sebuah agensi bakat.



Mereka membayar yuran $240 setahun seorang untuk menyertakan nama dalam pangkalan data itu untuk beberapa tahun.



Pangkalan itu memudahkan mana-mana pihak yang mencari bakat yang diperlukan untuk penerbitan mereka, sesuai dengan watak, umur, bangsa dan penampilan yang diperlukan.



"Pernah juga kami dipanggil pengarah peringkat pelajar untuk menjayakan projek akhir tahun mereka.



"Berurusan dengan sekolah, bayarannya tidak begitu tinggi, tetapi kami tetap terima kerana memikirkan soal hubungan jangka masa panjang.



"Ternyata, pelajar-pelajar itu, bila dah tamat belajar dan bekerja secara profesional di luar, mereka kenang budi dan panggil kami untuk terlibat dalam projek-projek mereka dengan agensi yang lebih besar," cerita Nurijah.



Apakah perbezaannya berlakon dalam drama biasa dengan produksi iklan?



Kata Nurijah, biarpun kemunculan dalam iklan jauh lebih ringkas dan pendek berbanding drama biasa, pelakon harus tetap menjalankan homework tentang watak yang dibawakan, apatah lagi kebanyakan produksi iklan tidak menyediakan skrip atau dialog.



"Contohnya, dalam satu iklan berjudul Sunyi tentang seorang tua wanita tua yang kesunyian, saya hanya diberitahu bahawa wanita tua itu pekak dan bisu... tak ada skrip.



"Tetapi untuk menghidupkan wataknya, saya tanya pengarah apakah latar bekalang wanita itu? Rupa-rupnya wanita itu kehilangan suami dan dia amat rindu kepadanya... justeru, untuk menggambarkan kesunyian itu, saya memakai cincin kahwin... dan cincin itu saya usap membayangkan kerinduan terhadap suami. Pengarah sangat teruja dengan cara saya sampaikan emosi wanita sunyi begitu rupa," kongsi beliau.



Persediaan serupa juga beliau lakukan ketika menjalani uji bakat bagi watak wanita kampung (dan isteri kepada watak lakonan Suhaimi Yusof) untuk filem arahan Jack Neo, Long Long Time Ago.



"Yang datang beratur untuk watak itu begitu ramai... panjang beratur. Saya datang, bawa baju kurung pesak labuh dan berkain batik.. untuk sesuaikan dengan watak yang dicari pengarah. Justeru apabila pengarah nampak cara pakaian saya, terus di kata... ha... yang seperti ini lah yang saya cari," cerita beliau.



Dari segi pendapatan, menurut Ahmad, bayaran iklan biasanya lebih lumayan sedangkan masa penggambaran tidak begitu lama berbanding drama biasa.



Sebagai contoh, jika purata penerbitan drama menawarkan bayaran $500 bagi penggambaran sehari, untuk iklan bayarannya boleh mencecah $3,000 hingga $4,000 untuk satu produksi yang biasanya mengambil masa sehari atau dua hari penggambaran, bahkan kadang kala hanya beberapa jam.



"Drama bayar $500 sehari memang berbaloi kalau penggambarannya dibuat berhari-hari, terutama jika episodnya panjang. Masalahnya, ada produksi yang bermati-matian mahu habiskan sebeberapa banyak episod dalam satu hari kerana nak kurangkan kos," cerita Ahmad terus terang.



Selain itu, mereka juga mengambil tahu di wadah mana iklan itu disiarkan dan jangka masa tayangannya.



"Pelakon kena tahu soal hakcipta dan hak mereka. Kalau iklan ditayangkan di pawagam, tidak sama bayarannya dengan di wadah lain. Perlu ambil tahu tentang royalti juga," kongsi beliau.



Menjadi pelakon, termasuk untuk iklan juga, tidak ada had usia, tambah Ahmad, bahkan "orang tak ada gigi atau yang gunakan gigi palsu pun kadang kala susah dicari."



Ahmad dan Nurijah, yang bernikah pada 1985, mempunyai dua cahaya mata dan seorang cucu. Pasangan ini aktif berlakon sejak muda - Ahmad menyertai Kelab Muda Mudi Perpustakaan Negara (Stamford) yang dipimpin Allahyarham A. Kadir Pandi. Nurijah pula sudah berjinak-jinak dengan drama televisyen sebaik tamat persekolahan.



Sebagai pelakon, kata Nurijah, mereka sentiasa bersikap terbuka dan bertolak ansur untuk menyesuaikan keadaan dengan keperluan.



"Pada akhirnya, kita kena gembira melakukan pekerjaaan ini. Ia bukan sekadar soal wang... tetapi merasakan kita dapat memainkan peranan untuk menyampaikan mesej-mesej penting untuk kesedaran dan panduan masyarakat," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >