Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pegawai penjara cipta lagu motivasi buat wanita dikasari

Oct 18, 2021 | 05:30 AM



TAHUN 2021 bagaikan membuka pintu rezeki dalam bidang muzik buat pegawai penjara, Mohamed Zulhilmi Mohamed Ya'acob.



Lagu ciptaan Mohamed Zulhilmi, 29 tahun, yang mesra dengan panggilan Zul, bersama eksekutif media, Nurariff Mohamed, juga 29 tahun, yang bertajuk Salah, terpilih dalam kalangan 200 penyertaan bagi peraduan cipta lagu Suria, Projek Lagu. Lagu itu didendangkan bakat Singapura, Mai Dhaniyah.



Apabila Zul dan Nurariff mara ke peringkat suku akhir kedua, lagu Dia Cinta dendangan bersama Mai dan Danial Baharin pula dipertaruhkan.



Dua lagu ini diterbitkan rakan baiknya, Shawal Ziyad, 29 tahun, dari Sallys Music Productions.



Dalam kesibukan Zul meluangkan masa menggarap kemahiran mencipta lagu di dalam pertandingan yang disertai penggubah bukan calang-calang, satu lagi lagu buat kaum Hawa, Keadaanmu, diciptanya.



Lagu tersebut dinyanyikan peserta Anugerah 2017, Shalyza Rosly, 27 tahun serta mendapat sentuhan terbitan Shawal juga.



Ketika dihubungi Berita Harian baru-baru ini, Zul berkata:



"Ilham melodi lagu Keadaanmu ini tercetus apabila saya secara santai bermain papan nada di rumah.



"Dari segi penulisan lirik pula, saya mengambil inspirasi daripada isu semasa yang kita baca di suratkhabar atau tonton di televisyen mengenai keganasan dalam rumah tangga.



"Saya simpati dengan nasib wanita yang perlu berdepan dengan penderaan sang suami dalam rumah tangga mereka.



"Kebiasaannya, wanita sangat sabar melalui cabaran dan keperitan dikasari. Namun, pesanan utama dalam lagu ini adalah memberi semangat agar kaum Hawa kita lebih kuat dan terus cekal dengan masalah yang dihadapi ini. Pastinya ada jalan keluar daripada isu yang mencengkam ini."



Dari segi cabaran merakam Keadaanmu, Shawal pula berpendapat ia timbul dari segi gubahan lagu.



"Saya ingat lagi ada beberapa idea yang tercetus awalnya tetapi ia terasa kurang memuaskan.



"Akhirnya, berkat kerjasama kami bertiga, dapatlah kami wujudkan lagu dengan klimaks yang memuaskan kami semua," jelas Shawal.



Shalyza pula merasakan sekatan pergerakan yang berubah-ubah sewaktu pandemik menimbulkan cabaran buatnya bertemu dengan Zul dan Shawal bagi membereskan projek ini.



"Kami perlu akur dengan peraturan dan had perhimpunan sosial yang terbatas pada dua orang sebab kami bertiga.



"Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar," katanya yang sebelum ini merakam lagu Jauh Lebaran ciptaan dirinya bersama Zul.



Bagi Zul, Keadaanmu sangat istimewa kerana ia menerapkan pesanan positif sebagai pembakar semangat kaum Hawa yang terjejas dengan masalah penderaan rumah tangga.



Shawal pula menambah:



"Shalyza memiliki nada suara unik dan lembut. Tugas saya adalah menonjolkan keupayaannya dari segi julat atau 'range' suara dan intonasi yang dinamis.



"Dari segi pengertian lagu ini buat saya pula, ia memberi saya imbauan pada fasa hidup lalu di mana Tuhan menentukan segalanya tepat pada masanya dengan kita hanya mampu merancang."



Sebagai penyampai lagu ini pula, Shalyza merasakan ia memiliki pengertian tentang kekecewaan seorang wanita yang berulang kali memaafkan.



"Saya kira sesiapa yang pernah mengalami perasaan ditindas dan didera dalam rumah tangga akan merasakan kesannya apabila mendengar lagu ini.



"Secara peribadi, saya merasakan lagu ini sesuai dijadikan runut bunyi drama tempatan. Ia mempunyai faktor tarikan setanding dengan lagu runut bunyi drama di seberang," ujar Shalyza yang selesa dengan lagu balada tetapi tidak gentar mencuba irama lagu lebih rancak.



Bagi Zul pula, pengalaman bekerja dengan beberapa bakat tempatan yang tidak dikenali sebelum ini bagi Projek Lagu amat dihargai. Beliau juga mengambil panduan juri untuk perbaiki karya ciptaannya.



"Saya rasakan kebersamaan dan semangat ukhuwah. Saya pula tak terlintas akan masuk tv. Saya pemalu dan pendiam. Jadi perlu belajar untuk senyum lebih di kaca televisyen!" selorohnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >