Topic followed successfully
Go to BHkuPejuang lagu Dusun mula 'nampak taring'
Pejuang lagu Dusun mula 'nampak taring'
Pejuang lagu Dusun mula 'nampak taring'

PADA minggu pertama pertandingan, peserta dari Kampung Tibabar, Tambunan di Sabah, Elica Paujin, tampak gementar di pentas Big Stage 2022.
Namun, dalam pertandingan minggu kedua Ahad lalu, 'taring' gadis berusia 22 tahun ini mula kelihatan.
Dengan membawakan lagu dansa motivasi kumpulan Dolla, Impian, Elica nampak selesa menari dan menyanyi dengan lantangnya.
Anak sulung empat beradik yang berketurunan Dusun ini berjaya berada di tempat pertama dengan markah 84.6 peratus.
Beliau sekali gus merampas kedudukan peserta Aisha Retno yang jatuh di tempat ketiga selepas menyanyikan lagu Lisa, Lalisa.
Sebutan Aisha pada malam itu kedengaran kurang jelas ketika beliau menari ligat.
Aisha mendapat markah 75.2 peratus dan turut ditewaskan Sofiaa Marieylla yang meraih markah 75.6 peratus dan dipuji juri Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ajai sebagai bersuara komersial.
Menurut Elica dalam video pengenalannya, pandemik banyak menjejas kerjaya seninya dengan persembahan yang dibatalkan atau ditunda.
Beliau memasuki Big Stage 2022 untuk menajamkan kemahirannya menyanyi dan juga bagi mencari rezeki untuk menampung persekolahannya.
Sebelum ini, beliau memang dikenali di Sabah kerana mempromosikan lagu-lagu berbahasa Dusun.
Elica, peserta Idola Kecil 3 serta Mentor Milenia 2017, yang dibimbing Akim Ahmad juga pernah menjuarai peraduan Stariser: Mencari Bintang Nusantara.
Mengenai persembahannya pada Ahad lalu, Ajai menyatakan beliau sendiri tidak tahu Impian adalah lagu Dolla kerana ia kedengaran seperti dendangan asli Elica.
Beliau malahan mendapat pujian rakan artis seperti Ara Johari dan Wani Kayrie.
Pengarah Michael Ang pula menulis di Twitter:
"Elica ni 'best'. Bolehlah dengar apa dia nyanyi. Yang nyanyi lagu Lisa tadi tak dengar apa. Salah satu persembahan terbaik malam ini adalah dari Elica. Persembahan pentas pun 'cun'. Saya yakin dia adalah salah seorang finalis."

