Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelakon 'Dualiti' papar dua wajah buruk baik manusia
Pelakon 'Dualiti' papar dua wajah buruk baik manusia
Drama saspens permainan maya usaha Suria saji kandungan segar
Pelakon 'Dualiti' papar dua wajah buruk baik manusia
Dimensi baru dalam televisyen Melayu diteroka menerusi drama terkini Suria, Dualiti. Enam individu, Rashid, Amirah, Zul, Najib, Eliyana dan Deandra, disatukan semula dalam permainan realiti maya bernama Dualiti. Mereka 'dilontar' pada zaman silam lapan tahun lalu, di tapak pendakian di mana teman mereka, Sarah Mazlan, ditemui mati tergantung. Ingin tahu apa yang terbuku dalam jiwa pelakonnya apabila menjayakan drama buat generasi penonton yang terbiasa dengan sajian penstriman Netflix, Apple TV+ atau Disney+? BERITA HARIAN melaporkan.
DIMENSI baru dunia lakonan televisyen diteroka lulusan Institut Teater Berbilang Budaya, Tysha Khan, menerusi drama saspens futuristik Mediacorp Suria, Dualiti.
Dalam era di mana penonton dibanjiri pilihan platform penstriman kandungan hiburan seperti Netflix, Apple TV+ dan Disney+, Tysha, 29 tahun, teruja diberi watak utama dalam drama terbitan Adara Pictures ini.
Sebelum ini, dengan pengkhususan teater yang dimiliki, beliau yang merupakan lulusan wanita Melayu/Islam pertama daripada Institut Teater Berbilang Budaya, lebih banyak terlibat dalam lakonan pentas dan menjayakan peranan pembantu di televisyen.
Menerusi Dualiti, Tysha yang pernah bertugas sebagai perancang kandungan wadah perkongsian video Viddsee membawa watak Sarah Mazlan yang ditemui maut tergantung pada pepohon di hutan semasa satu ekspedisi bersama enam rakan siswanya.
Polis menyifatkan kematiannya sebagai kes bunuh diri. Namun, hakikatnya dia dibunuh dan diperkosa.
Lapan tahun selepas itu, menerusi satu dunia permainan maya Dualiti, enam rakannya, Rashid, Amirah, Zul, Najib, Eliyana dan Deandra, dihimpunkan untuk mencari dalang di sebalik kematian ngeri Sarah.
Apakah yang dilalui pelakon drama arahan bersama Razi Salam dan Erezuwan Yunos Ibrahim?
Ikuti temu bual Berita Harian menerusi Zoom bersama Tysha dan dua lagi pelakon Dualiti, Al-Matin Yatim, 32 tahun, dan Cassandra Spykerman, 31 tahun.
Soalan (S): Jelaskan tentang watak anda dalam 'Dualiti'. Apa pengertian 'dualiti' buat anda?
Tysha: Saya membawa beberapa watak. Sarah di universiti adalah gadis yang baik. Namun, dalam dunia permainan maya, Sarah agak kasar dan jahat kerana penuh dendam dek penderitaan silamnya dalam ekspedisi yang mengorbankan nyawanya.
Bagi watak ketiga yang saya bawa, biarlah rahsia. Anda perlu tonton Dualiti. Takrifan saya tentang dualiti adalah semua orang ada sisi buruk dan baiknya.
Al-Matin: Saya adalah Rashid, teman sekolah Sarah. Sebelum tragedi itu terjadi, terdapat perbalahan bersama Sarah. Lapan tahun kemudian, enam teman ini dibawa ke muka pengadilan dalam ruang permainan maya yang digerakkan seorang 'Game Master'.
Rashid pemarah kerana situasi sekeliling dan bermusuh dengan Zul.
Kita semua mempunyai dua wajah apabila bersama orang dan ketika bersendiri.
Cassandra: Saya membawa watak siswa asal Indonesia, Deandra yang pendiam dan penuh misteri. Dia bukan jenis 'hooray-hooray'.
Deandra akan berfikir berkali-kali sebelum berbuat sesuatu. Dia tidak lantang bersuara macam Rashid atau Zul. Dia lebih senang dalam dunia sendiri tetapi dia pandai.
Beza antara saya dengan Deandra memang macam langit dengan bumi. Saya ramah dan biasanya meriahkan keadaan.
Mengikut situasi, kita akan membawa 'wajah' berbeza. Baik si penjual nasi padang, pekerja pembersihan atau teman kita sendiri mempunyai sisi berbeza dalam keadaan berlainan. Yang penting, kita harus faham semua orang berdepan dengan cabaran hidup. Maka berihsanlah.
S: Apa antara cabaran menghidupkan watak anda? Apa yang anda cuba wujudkan dalam watak ini?
Tysha: Saya baru sahaja tamat pengajian teater lantas bersyukur diberi peranan utama dalam Dualiti buat kali pertama di televisyen.
Ada banyak perkara nak belajar dalam perjalanan seni sepanjang penggambaran drama ini. Ada satu ketika, saya terasa bagai buat 'kerja gila' sebab perlu membawa watak Sarah yang baik dan jahat serta melalui emosi sedih, gembira dan marah silih berganti dalam satu hari. Ia bukan mudah.
Lebih menggerunkan adalah tatkala menjalani babak diperkosa berulang kali. Saya dan pelakon yang membawa watak pemerkosa itu kedua-duanya takut dan bimbang.
Mujurlah, kami dapat bantuan pengarah babak intim serta berbincang dalam sidang Zoom bersama pengarah tentang cara sebaiknya menghidupkan babak ini tanpa rasa tertekan dan secara selamat.
Penonton mungkin mendapati babak pemerkosaan ini kelihatan traumatik tetapi segalanya berjalan lancar dan selamat tanpa bebanan stres dan fobia.
Al-Matin: Saya biasa diberi watak 'geng jahat' dalam drama sebelum ini. Setelah menelaah skrip Dualiti, apa yang cuba saya sampaikan adalah sebab mengapa Rashid jadi begitu mudah berang. Sebenarnya, dia ingin menebus kesalahan lampaunya.
Dia disalahkan kerana menyebabkan kematian ibu bapanya. Justeru, dia nak perbetulkan segala pilihan tidak wajar yang pernah dibuat dalam hidup di mana dia dewasa dengan amarah.
Cassandra: Cabarannya adalah untuk memahami jiwa Deandra yang kuat menyorok rahsia dan taasub dengan dunia sendiri. Deandra sarat misteri dan hanya melontar keterangan dalam perbualannya dengan wajah tanpa ekspresi.
Saya yang jarang berbual bahasa Melayu juga perlu berbual dalam Bahasa Indonesia.
S: Apakah kelainan yang anda lihat dalam 'Dualiti' atau drama lain Suria yang menyenangkan hati memandangkan kita kini dibanjiri kandungan penstriman Netflix?
Al-Matin: Saya lihat kandungan drama Suria kini condong memancing generasi muda yang terdedah pada kandungan penstriman.
Jalan cerita Dualiti mengingatkan saya tentang drama Netflix dari Russia tentang robot atau drama Sepanyol mengenai dua alam - siber dan nyata.
Strategi Suria baik sebab kita sudah lari daripada kebiasaan drama sosial seberang Tambak yang saya selalu lihat ibu mentua saya tonton pada waktu malam. Biasanya ada babak mak cik nangis di hospital atau kakak-kakak bergaduh.
Saya akur generasi penonton berusia mungkin payah hadam kandungan tentang realiti maya seperti dalam Dualiti.
Bagaimanapun, kita harus pertingkat mutu drama kita dengan kandungan unik seperti Distopia, Krono, Identiti dan S.P.Y sebagai satu strategi menarik generasi muda dan menjadikan bahasa Melayu relevan buat mereka hadam. Kita perlu tambahkan kosa kata mereka yang lebih keinggerisan.
Cassandra: Kandungan drama Suria kini lebih terbuka dan peka pada topik yang memerlukan pendedahan. Misalnya, dalam drama Sempurna, isu kesihatan mental yang genting dibincangkan. Kisah sebegini perlu dikongsi penuh keihsanan sebab ia masalah sebenar.
Dalam drama Identiti pula, secara tidak langsung kita dibawa meneroka apa yang ada di sebalik minda si pencuri identiti yang rakus.
Topik berat tetapi tidak mampu disorok lagi perlu kita paparkan sejajar dengan keperluan generasi muda.
Tysha: Saya alu-alukan pembaharuan drama Melayu daripada kita asyik disajikan dengan babak keluar masuk serta menangis di hospital, sibuk nak kahwin atau kahwin lagi. Jangan biarkan plot cerita kita ketinggalan zaman.
Adanya penerbitan sebegini juga memberi saya keyakinan ada ramai anak Melayu berbakat di luar sana, bukan sahaja sebagai pengarah, penulis naskhah drama tetapi kru belakang tabir yang pernah menyiapkan pencahayaan bagi iklan korporat.
Kalau ada bajet bersesuaian dengan kemahiran mereka, rasanya kita boleh saksikan drama televisyen lebih bermutu tinggi.
"Ada banyak perkara nak belajar dalam perjalanan seni sepanjang penggambaran drama ini. Ada satu ketika, saya terasa bagai buat 'kerja gila' sebab perlu membawa watak Sarah yang baik dan jahat serta melalui emosi sedih, gembira dan marah silih berganti dalam satu hari. Ia bukan mudah. Lebih menggerunkan adalah tatkala menjalani babak diperkosa berulang kali. Saya dan pelakon yang membawa watak pemerkosa itu kedua-duanya takut dan bimbang."
- Tysha Khan.
- Dualiti disiarkan pada 11 malam setiap Khamis di Suria serta aplikasi meWATCH.
