HAMPIR dua dekad sebagai suami isteri, pasangan pelakon, Ellie Suriaty Omar, 52 tahun, dan Azri Iskandar, 54 tahun, akhirnya memilih untuk berpisah.

Tiada angin tidak ribut, pasangan yang memang jarang berkongsi ehwal rumahtangga ini tidak dapat menafikan masalah yang membelenggu rumahtangga mereka sejak beberapa tahun. Mereka bagaimanapun masih mahu hanya bercerita yang baik-baik sahaja mengenai hubungan mereka.

Lebih-lebih lagi, sepanjang 19 tahun berkongsi hidup, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 tahun, dan Nur Azreen, 13 tahun, sebagai pengikat kasih.

Dalam nada suara tenang, Ellie memberitahu keputusan untuk berpisah bukan mudah. Malah, akui bintang Spinning Gasing ini, keputusan diambil cukup berat.

Tegas Ellie, bukan beliau mahupun Azri tidak cuba menyelamatkan bahtera perkahwinan, sebaliknya, pelbagai usaha dilakukan sejak empat tahun lalu, namun, tidak berhasil.

"Keputusan ini adalah sesuatu yang cukup berat dan tidak dibuat dalam tempoh singkat. Sebaliknya, kami mengambil masa panjang antara tiga hingga empat tahun sebelum keputusan dicapai.

"Pelbagai usaha sudah kami lakukan, bukan kami tidak berusaha langsung bagi menyelamatkan perkahwinan ini. Kami juga berserah, tawakal serta percaya kepada qada dan qadar.

"Kami cuba sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan ini demi anak. Namun, jodoh dan pertemuan semuanya sudah tertulis," katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Ellie dan Azri bercerai secara rasmi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, dengan talak satu Selasa lalu.

Ellie yang memfailkan perceraian pada 22 April lalu sudah meninggalkan rumah kelamin mereka sebaik perceraian difailkan di mahkamah.