Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pelakon Fir Rahman hitung hari temu anak semula

Menjayakan telefilem khas Hari Bapa, 'Papa Pilot', ingatkan tentang erti pengorbanan, amanah ayah
Jun 17, 2021 | 05:30 AM



Hasrat seorang ayah mahu terus membanggakan anak-anak dan keluarga dengan kerjaya sebagai juruterbang tiba-tiba tergenjot apabila beliau hilang pekerjaan sewaktu pandemik Covid-19. Telefilem khas Hari Bapa, 'Papa Pilot', yang disiarkan di aplikasi meWATCH dan Suria mulai 9 malam esok menyelongkar kisah pengorbanan sang ayah. Apa pula pandangan pengarah dan pelakon filem ini tentang peranan seorang ayah daripada pengalaman peribadi? BERITA HARIAN melaporkan.



PELAKON Fir Rahman bagaikan menghitung hari dalam masa beberapa minggu lagi bagi mengubati rindu terhadap empat anaknya kerana sudah dua bulan tidak bertemu mereka.



Fir, 40 tahun, yang kini di Batam bagi satu projek antarabangsa yang masih dirahsiakan, begitu sebak kerana inilah kali pertama berjauhan lama daripada mereka yang berusia antara tiga bulan dengan lapan tahun.



Ingatannya sentiasa buat Muhd Ilhan Rezqy, Nurul Izza Insyirah, Muhd Indra Faiq dan Muhd Izzul Qayyim meskipun sibuk mencari rezeki di rantauan.



Apatah lagi, Fir yang sebelum ini menjayakan drama Hasrat Tersirat, Poskad Dari Alhambra dan Hilang Kasih Di Sarajevo, tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan lalu dan Hari Bapa hujung minggu ini bersama mereka.



Bayangkan hanya panggilan video setiap hari menjadi penawar rindunya yang sangat mesra dengan anak-anak.



Sebagaimana jelasnya dalam satu wawancara Zoom:



"Saya memang tak pernah berjauhan lama dengan mereka sampai masuk dua bulan. Apabila pulang dalam masa seminggu dua nanti pun, perlu jalani kuarantin dahulu.



"Semasa saya jalani penggambaran di Sepanyol pun, saya hanya di sana sebulan sahaja.



"Awalnya, memang nak tolak projek di Batam ni sebab saya baru mendapat cahaya mata baru... kasihan melihat isteri menguruskannya dan anak-anak lain seorang diri.



"Bagaimanapun, isteri saya Jannah memberi saya galakan agar menerimanya demi masa depan keluarga. Ini satu amanah. Ia juga peluang keemasan buat saya. Lagipun, belum ada tugasan lain semasa pandemik. Batam pun bukan jauh sangat. Maka saya pergi atas restu isteri dan doanya."



Pengalaman peribadi Fir sebagai ayah melambangkan pengorbanan yang beliau akur datang dengan tanggungjawab.



Kisah pengorbanan sang ayah juga menjadi antara teras telefilem khas Hari Bapa, Papa Pilot, yang dijayakannya dan berlatarbelakangkan suasana pandemik Covid-19 serta impaknya pada sektor penerbangan.



Dalam telefilem terbitan The Moving Visuals Co. itu, Fir merupakan juruterbang pesawat komersial antarabangsa Dubai Air bernama Ashraf.



Sepanjang lebih lima tahun, dia yang 'terbang tinggi' dalam kerjayanya sentiasa terpisah berbulan lamanya daripada isterinya Hariani, seorang jururawat, dan dua anak mereka.



Ashraf kemudian mengambil keputusan berpindah ke syarikat penerbangan swasta yang menawarkan khidmat penerbangan serantau termasuk China agar lebih dekat dengan keluarga.



Namun sayangnya, dalam keterujaan menyahut cabaran kerjaya baru, pandemik pula melanda dengan beliau terbiar tanpa pekerjaan kerana tiada penerbangan beroperasi.



Ashraf terpaksa menerima tugas sebagai duta jarak selamat di Singapura sebagai menyara hidup keluarga tetapi menyoroknya daripada pengetahuan isteri dan anak-anak.



Sebabnya, beliau malu dan tidak mahu membebani isteri yang sibuk dan tertekan dengan tugas sebagai pekerja barisan hadapan.



Kata Fir mengenai peranannya ini:



"Ashraf rasa tempang kehilangan pekerjaan dan bingung memikirkan bagaimana ingin menyara hidup keluarga. Baru nak rasa gembira dapat tugas yang mendekatkannya dengan keluarga, dah tak ada kerja pula.



"Disebabkan dia payah berterus terang dengan isteri yang merupakan sahabat karibnya, keadaan menjadi lebih perit lagi kerana satu pembohongan membawa kepada satu lagi penipuan demi menyorok kebenaran.



"Bagaimana nak kekalkan gaya hidup sebagai juruterbang sebelum ini? Apa rasanya tatkala sepupu dan keluarganya yang selalu membanding-bandingkan dirinya dan gemar bersaing dari dahulu dapat tahu?



"Telefilem ini lebih santai dan banyak nilai kekeluargaan dalam mengupas isu sosial lebih serius. Ia mengajar kita agar tidak menyimpan sesuatu daripada pengetahuan keluarga. Apa kesulitan yang dihadapi pun, ambillah sikap berterus terang."



Menurut Fir, beliau dapat kaitkan dirinya dengan watak Ashraf ini kerana sebagai ayah pastinya inginkan yang terbaik buat keluarga khususnya anak-anak yang menyanjungi diri dan kerjayanya sebagai juruterbang.



"Tak dapat disalahkan sebab ini kali pertama pandemik Covid-19 yang meluas melanda. Jadi, ramai yang tak tahu bagaimana nak respons apabila kehilangan pekerjaan tiba-tiba.



"Dari seseorang yang berkedudukan kerana jawatan yang tinggi, alih-alih hilang segalanya. Nak cakap dengan isteri, malu. Dalam hati tahu anak-anak mesti kecewa.



"Saya sendiri bayangkan kerjaya saya sebagai pelakon. Apa yang akan berlaku kalau suatu hari nanti saya tak dapat nak berlakon kerana pelbagai ujian yang meragut keupayaan saya?



"Apa perasaan anak-anak? Suatu ketika, ayah mereka dikenali di kaca televisyen dan diteladani kerana kerja keras sehingga mampu membina nama. Ia bukan soal ego tetapi lebih rasa sebak sebab hilang sumber pencarian dan menghampakan anak-anak," ceritanya lagi.



Dari segi cabaran, ia datang dalam bentuk mengekalkan stamina sewaktu penggambaran kerana Fir baru sahaja mendapat cahaya mata bongsu dan semalaman tidak cukup tidur kerana bayi yang terjaga mahu disusukan atau ditukar lampin.



"Mengantuk sangat di set. Memang saya akur sejak bergelar ayah empat anak, nak cari masa untuk diri sendiri memang payah.



"Namun, tanggungjawab dan pengorbanan inilah yang memberi makna pada peranan sebagai ayah yang saya hargai. Semua saya buat demi keluarga. Saya juga terapkan dalam diri anak-anak pentingnya tanggungjawab," kongsinya.



Fir memang terbiasa menggalas bermacam-macam amanah sejak zaman bujang malah pernah berhenti kerja sebagai pramugara Jetstar Asia untuk menjaga ibu bapa yang sakit hingga akhir hayat mereka.



Bapanya, Allahyarham Abdul Rahman Awang, pernah bekerja lembur sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam selesai tugas sepenuh masa selaku penyimpan rekod di pejabat Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras).



"Kami hidup susah dahulu. Kebanyakan masa, abah tiada di rumah kerana sibuk buat dua tiga kerja. Kerja siang malam. Saya tak malu beritahu teman-teman malah bangga abah rajin.



"Abah pula tidak banyak berbicara. Kadangkala diajaknya saya ke tempat dia bekerja sebagai pengawal keselamatan, antaranya di AA Building sekitar River Valley.



"Daripada abah, saya belajar erti berkorban demi anak-anak. Kalau kita kerja lebih, hasilnya kita manfaatkan buat keluarga atau beli apa yang kita kehendaki. Keberkatannya terasa apabila kita jaga amanah kita sebagai ayah," jelas Fir lagi dengan nada sebak, mengenang arwah abahnya.



Sebagai ayah kini, Fir enggan memaksa anak-anaknya mengikut jejaknya sebagai pelakon. Beliau dapati anak-anaknya sangat pemalu, ciri yang ada pada dirinya di luar skop sebagai pelakon.



"Walau ada kawan yang kata mereka tampan atau cantik dan sesuai untuk televisyen, saya enggan memaksa. Yang sulung lebih suka melukis. Biarlah mereka buat pilihan kerjaya sendiri asal mereka tahu erti tanggungjawab dan berikan yang terbaik dalam tugas," ujarnya lagi.



  • 'Papa Pilot' disiarkan di aplikasi meWATCH dan saluran Suria pada 9 malam esok.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >